Bum! Street...
Ahwaz dan Night, kedua-duanya jatuh tergolek di atas tanah. Dua orang sahabat baik itu termengaduh sesama sendiri, tetapi Ahwaz terlebih dahulu pantas memicit butang kecil di alat pembuka permainan di pergelangan tangan Night.
"Pergi, Night!" ujarnya seraya tersenyum pahit sebelum perlahan-lahan, matanya memberat dan berubah kabur.
"Kapten..." Suara laungan Night terus sirna daripada pendengaran dek dalam sekelip mata, figura sahabatnya turut sirna di udara.
"Selamat meninggal, Kazz," ucap Reaper pula seraya menghilangkan diri.
'Ya Allah, adakah ini pengakhiran aku?'
Ahwaz tersenyum pahit sebelum perlahan-lahan, dia memejam mata. Dia... terlalu sakit untuk mengungkap kata. Akibat terkena balingan batang bet, kepalanya berasa teramat sakit bagaikan digodam bertalu-talu dengan batang besi.
Dia juga sudah tidak tahu lagi keadaan sekelilingnya. Apa yang dia tahu, formasi permainan digital maya RS sedang mengalami keruntuhan maha hebat.
Adakah dia... akan bersemadi di sini?
Unit Kecemasan Khas, Malaysia Sport Centre Hospital.
"PROF., tolonglah buat sesuatu. Keadaan kapten semakin buruk," tekan Isbah.
Pagi ini, dia dikejutkan lagi dengan perkhabaran mengenai ritma jantung kaptennya semakin berentak tidak sekata. Sesekali, badan Ahwaz yang masih lagi berada dalam keadaan koma akan menggigil hebat dan tersentak-sentak. Sungguh keadaan terkini sahabat baiknya itu membuatkan dirinya berasa bersalah.
'Sepatutnya aku yang terbaring di situ, Kazz. Bukannya kau!' Isbah merintih pedih.
Masih segar di dalam ingatannya tempoh hari ketika insiden di RS berlaku. Dia yang memakai gelaran Night hampir dibunuh oleh Reaper dan geng-gengnya. Namun, dia terselamat apabila Ahwaz terlebih dahulu mematahkan serangan tersebut dengan bertindak menolaknya keluar dari game.
Tetapi, malang menimpa Ahwaz apabila di dalam game tersebut, Reaper terlebih dahulu berjaya memukul kuat kepalanya. Jadi, buat masa sekarang, dia sendiri tidak tahu kondisi sebenar kaptennya itu di dunia sana. Cederakah? Sakitkah? Tapi, apa yang dia pasti adalah Ahwaz akan mengalami amnesia.
"Kau tak sepatutnya berkorban, Kazz," keluhnya lagi.
Ahwaz Zulfan, kapten itu merupakan nadi e-sport negara bagi pelbagai jenis permainan maya. Tanpanya, pasukan atlet sukan maya bertaraf dunia itu takkan mampu bersaing dengan atlet negara lain.
Namun, apa yang penting adalah ia juga akan membawa musibah besar dalam dunia sukan maya digital jika Ahwaz gagal untuk keluar dari game baharu yang sedang menyambung nyawanya seterusnya sedar daripada koma!
"Profesor, kalau kapten tak berjaya keluar, nyawanya akan terancam." Gugup, pembantu penyelidik kejuruteraan perisian bertag nama Hariri menggenggam erat kedua-dua belah tangannya. Menggeletar!
"Ya, aku tahu! Tapi, siapa je yang mampu bawa keluar atlet kita si Ahwaz tu dari situ?" Stres, Profesor Zhou memicit dahinya.
Sakit kepalanya memikirkan perihal tersebut. Figura Ahwaz Zulfan, kapten pasukan Psychic Eagle yang terbaring kaku di atas katil dengan topi permainan maya berlabel Malaysia i-Sport dipandang penuh runsing. Sudah seminggu anak muda itu terperangkap di alam sana!
"Wardah. Ya, Dr. Wardah Azkiya mungkin boleh bantu." Tiba-tiba, Isbah bersuara setelah agak lama terpunduk walang.
"Tapi... dia." Hariri memandang tepat ke arah Isbah. Kemudian, dia berpaling pula kepada Prof. Zhou.
Ya Allah, sungguh hatinya resah. Betul, Dr. Wardah Azkiya dari Jabatan Psikiatri mungkin boleh membantu. Tetapi, mahu ke gadis itu mempertaruhkan nyawanya sendiri semata-mata untuk menyelamatkan Ahwaz sedangkan hubungan mereka tidak direstui oleh ibu kepada tersebut? Angkara perbuatan Puan Suhana, hubungan mereka berdua retak menanti belah.
"Kita dah tak ada pilihan." Prof. Zhou memicit pelipis.
Dua minggu lalu, sebuah syarikat permainan digital dari Jerman berjaya meyakinkan pihak Majlis Sukan Negara supaya menerima baik cadangan mereka untuk menguji sistem permainan digital berasaskan penggunaan imaginasi. Dengan permainan ini, seseorang pemain boleh merasai sendiri pengalaman bermain di dalam dunia digital seolah-olah mereka berada di alam realiti.
Pihak kerajaan bersetuju untuk mencuba permainan gaya baharu ini memandangkan keberjayaannya pada pemain dari negara kesatuan Eropah. Malaysia akan menjadi negara Asia pertama yang akan menerima baik dan mencuba permainan digital ini. Ini kerana, jika projek ini berjaya, maka Malaysia akan menempa nama sebagai negara Asia pertama yang berani menyahut cabaran permainan maya digital berteknologi tinggi.
Akhirnya pada minggu lalu, berlangsunglah sesi percubaan permainan maya digital bernama Ruth Seed atau singkatannya RS. Permainan ini dijamin bebas keralatan. Jadi, untuk peringkat ini, pasukan atlet e-sport negara Psychic Eagle dipilih untuk mencuba permainan tersebut. Pasukan ini akan menentang pasukan Black Greeth dari Jerman.
Pada mulanya, permainan tersebut sangat mengujakan. Namun, pada suku masa kedua, ia mula menunjukkan tanda-tanda abnormal. 10 orang ahli daripada kedua-dua pasukan yang bertanding tiba-tiba kelihatan menggigil dan tersentak-sentak serta ritma jantung masing-masing tidak sekata. Skrin yang memaparkan situasi permainan juga mula kelihatan bergaris-garis.
Ketika itu, baik pihak Malaysia ataupun Jerman, kedua-duanya panik dan pasukan kejuruteraan perisian masing-masing terus berusaha mengeluarkan pemain mereka dari dunia digital. Namun, malangnya pada saat akhir, hanya tinggal Ahwaz sahaja masih belum berjaya dikeluarkan. Hasilnya, seperti hari inilah.
Kapten pasukan Psychic Eagle masih belum sedarkan diri dengan topi permainan digital kekal terpasang di kepalanya. Ini kerana, menurut pihak pengeluar permainan tersebut, adalah berbahaya untuk nyawa pemain jika topi tersebut ditanggalkan dalam keadaan pemain tersebut masih berada di dunia digital.
"Isbah, mari kita ke bilik pengarah. Hariri, pantau kondisi Ahwaz. Apa-apa hal, beritahu kami." Setelah lama termenung, akhirnya Prof. Zhou bangun dari kerusi lalu menuju ke pintu.
"Satu lagi, Hariri. Tanya Aina sama ada dia dah siapkan ke belum program akhir BTA2121. Lagi cepat, lagi baik. Itu usaha jitu kita untuk bawa pulang Kazz," arahnya pula seraya memulas tombol pintu.
Lantas, dengan jawapan balas berupa anggukan daripada Hariri, dia menapak keluar dari pejabatnya lalu berjalan laju ke arah bilik pengarah. Kini, misinya hanya satu iaitu memujuk bosnya agar memberi kebenaran kepada doktor psikiatri yang dipilihnya untuk masuk ke dalam permainan maya digital yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
BTA2121 peringkat akhir, itulah senjata yang akan digunakan untuk menyelamatkan Ahwaz Zulfan daripada berterusan terperangkap di dalam dunia digital walaupun sekarang Ahwaz sudah pun berada di dalam game tersebut. Jadi, walau apa pun yang berlaku, risiko besar ini harus diambil. Dan... satu-satunya cara yang ada adalah dengan menggunakan khidmat Wardah Azkiya.
Tetapi itulah... dia juga resah. Mahukah gadis itu menerima tawarannya jika hatinya sudah remuk-redam dikerjakan oleh ibu kepada Ahwaz? Oh, malang sunggguh nasib puteri kepada Encik Latif dan Puan Habibah. Hanya kerana ego, Puan Suhana menghukumnya dengan begitu teruk sampaikan gadis itu bertindak memutuskan tali pertunangan!
Jabatan Psikiatri, Malaysia Sport Centre Hospital.PAGI itu, cuaca sangat baik. Setelah semalam bumi ditimpa hujan, kini sang mentari mulai muncul memberikan senyuman kepada warga dunia. Dan, hari ini juga, Wardah berasa jiwanya agak tenang berbanding dengan sebelum ini. Seketika, gambar ibu bapanya di atas meja ditenung lembut sebelum perlahan-lahan, bibirnya mengulaskan senyuman.Apa khabar agaknya ibu bapanya di kampung? Sudah agak lama dia tidak bertanya khabar. Maklumlah, dia selalu sibuk. Hospital tempatnya berkhidmat ini memang gah dan terkenal di seantero dunia. Jadi, sesuai dengan nama baiknya, hospital ini selalu padat dengan pesakit berprofil tinggi dari seluruh dunia. Makanya, dia sendiri turut terpalit sama dengan kesibukan tersebut."Dr. Azkiya, pengarah nak jumpa."Dalam sibuk dia mengelamun, satu suara halus tiba-tiba menerpa deria pendengarannya. Tanpa ketukan, tanpa salam. Aina, si jururawat merangkap teman
Unit Kecemasan Khas, Malaysia Sport Centre Hospital.FIGURA Ahwaz yang sedang 'lena' di atas katil dipandang sayu. Sungguh, Wardah merindui wajah tersebut namun apakan daya, dia hanyalah gadis biasa. Dia bukan orang kayangan seperti yang diidamkan Puan Suhana. Dia hanyalah burung pipit yang terbang tidak sama tinggi dengan enggang.Disebabkan itulah, dia mengambil keputusan untuk mengundur diri sebelum wanita elegan tersebut mengambil tindakan drastik tidak membenarkan Ahwaz menyertai lagi sukan berprestij tersebut. Walhal, e-sport adalah jiwa dan raga serta segala-galanya bagi atlet sukan maya negara itu.Puan Suhana mahu anak lelaki tunggalnya mewarisi empayar perniagaannya. Tetapi, Ahwaz pula menentang hasrat ibunya dek dia lebih meminati bidang sukan maya. Pertelingkahan berlaku antara dua beranak tersebut. Namun, orang yang dipersalahkan atas semua yang terjadi adalah dia, Wardah Azkiya.Katanya Puan Suhana, dia menyeba
Suara ajakan Aina serta-merta mengembalikan Wardah ke alam realiti. Nampak sangatlah jauh benar fikirannya mengembara sehingga ke tiga tahun lepas. Ya, sudah tiga tahun dia memutuskan pertunangan dengan Ahwaz hanya disebabkan dia mahu menjaga kerjaya lelaki itu. Dalam masa tiga tahun itu jugalah, dia membawa diri ke Sweden dan menyambung pelajaran peringkat Master's di sana."Ha, yalah," jawab Wardah.Ya, anggap saja pertolongannya kali ini hanyalah untuk membalas jasa Ahwaz 14 tahun yang lepas. Semoga ada sinar untuk Ahwaz pulih seperti sediakala dan meneruskan lagi e-sport yang dicintainya. Sudahnya, pantas dia berjalan keluar dari unit itu lalu membuntuti Aina ke makmal untuk membuat persediaan ke dunia digital.Unit Kecemasan Khas, Malaysia Sport Centre Hospital."FUH, selamat!" Aina mengurut dada.Hampir naik gila dia dan semua orang yang berada di situ tadi apabila melihat carta graf ritma jantung
Dunia Digital Back to Ancient, BTA2121. Kamar Peraduan Utama, Istana Besar Sakti Kota. AHWAZ membuka matanya perlahan-lahan. Kepalanya berasa sangat sakit bagaikan dipalu dengan lesung. Otaknya terasa ingin bersepai pecah! Ketika ini, pandangannya kabur dan segala-galanya berpusing hebat. Seketika, dia memejamkan kembali matanya sambil tangannya dibawa mengurut dahi. "Anakanda dah bangun? Syukur pada Tuhan." Tiba-tiba, Ahwaz berasa tangannya disentuh lembut dan kepalanya dipicit perlahan oleh suatu tangan. Ya, suara daripada seorang wanita berpakaian bangsawan itu sangat mendamaikan jiwanya yang berasa bagaikan tidak keruan tadi. Dalam diam, picitan itu dinikmati sekejap sebelum perlahan-lahan, dia memfokuskan pandangannya kepada wanita separuh usia tersebut. "Anakanda nak air?" soal wanita itu lagi. Geleng. Ahwaz berasa tidak dahagakan air, tetapi dia dahagakan kasih sayang seseorang. Ulah wanit
Balairung Seri Istana Sukma, Negeri Sakti Kota.BUNYI kicauan burung yang berkicau riang di luar istana mengganggu konsentrasi menungan Ahwaz. Sejak sedar daripada pengsan semalam, macam inilah dia. Termenung dan terpungguk sendirian tanpa tanda mahu bercakap dengan sesiapa pun. Masa yang ada pula dihabiskan di atas karpet yang dijadikan sejadah."Tuanku," tegur Panglima Tangkas.Namun, malang baginya apabila teguran tersebut dibiarkan sepi tanpa sahutan daripada sang sultan. Pelik. Sejak sembuh daripada gering, Sultan Nadim Alam yang dikenalinya kelihatan berubah perangai. Baginda... kelihatan seperti orang lain. Tetapi, lelaki berkumis nipis dan berambut panjang itu bertindak mengabaikan sahaja perasaannya."Tuanku, saudagar permata dari negara China sudah pun sampai di pelabuhan," lapor pula ketua pengawal istana merangkap pembantu peribadi Ahwaz."Baiklah. Dalam masa tiga hari, panggil mereka menghadap beta." Tanpa perasaan, Ah
Kamar Peraduan Puteri, Istana Makmur Gelang Putih. "CANTIK tuanku hari ni," puji Inang Sejahtera sambil tangannya lembut menyisir rambut sang puteri asuhannya. Kata-kata ketua dayang merangkap inang pengasuh kepada Puteri Indah Kencana disambut dengan senyum simpul oleh Wardah. Pujilah mana-mana pun sama ada si puteri itu ataupun dia sendiri, memang tak apa. Tidak timbul pun rasa cemburu dek wajah figura yang terpantul cermin itu pun boleh menceritakan segala-galanya. Alahai, takkan nak panas hati dengan diri sendiri, kan? "Mana ayahanda, inang?" tanya Wardah dengan selamba. Semalam, gigih dia mengkhatamkan sejarah negeri dan peribadi Puteri Indah Kencana. Melalui Inang Sejahtera, segala-galanya mengenai hal ehwal di sini diketahuinya. Namun, apa yang menariknya adalah hubungan diplomasi antara negeri ini dengan Sakti Kota yang dilembayungi oleh Sultan Nadim Alam. Seperti namanya si sultan, nama negeri itu juga
Balairung Seri Istana Makmur, Gelang Putih. AHWAZ menumpukan lagi perhatiannya kepada wajah penguasa negeri Gelang Putih di hadapannya. Sebenarnya, dia agak gerun dengan lelaki yang digelar sebagai Raja Dewata Perwira ini. Yalah, ayahanda kepada gadis yang bakal dipinangnya memang dikenali sebagai raja naga dek perangainya yang garang semacam naga. "Beta amat gembira dengan kesudian tuanku memperisterikan anakanda tunggal beta." Tutur kata Raja Dewata Perwira yang bersalut teruja disambut dengan senyuman oleh Ahwaz. Sejujurnya, bukanlah kehendaknya semua perkara ini berlaku. Ah, tolonglah! Dia tak nak berkahwin dengan Puteri Indah Kencana. Dia hanya mahu memperisterikan Wardah Azkiya. Tapi, itulah... "Beta juga gembira kerana tuanku sudi melepaskan puteri kesayangan tuanku kepada beta," jawab Ahwaz. Sekonyong-konyongnya, Ahwaz berasa geli anak tekak mengucapkan perkataan tersebut. Dia gembira dapat berkahwin dengan sang puteri
Ruang Legar, Istana Makmur Gelang Putih. "TUAN puteri, berhenti!" jerit beberapa orang pengawal istana sambil berlari-lari mengejar langkah kencang Wardah. "Jangan mimpilah..." Wardah berpaling ke belakang seraya menjelirkan lidahnya kepada para pengawal tersebut. "Tuanku. Kasihanilah patik semua," rayu pula para inang yang turut sama berusaha menangkapnya. "Memang taklah aku nak kesiankan kau orang. Siapa suruh ayahanda nak kahwinkan aku dengan sultan kasanova tu? Hell no!" balas Wardah dengan nada naik seoktaf. Lantas, dia menarik kain batik sarung yang dipakainya lalu melemparkannya ke muka ketua dayang. Melihatkan tindakan berani si puteri, para pengawal dan dayang-dayang terkesima. Kenapa puteri kerajaan Gelang Putih ini berkelakuan sangat pelik daripada kebiasaan dan tanpa ada rasa malu pula, bertindak memecat kainnya di hadapan orang ramai? Mereka buntu. "Yahoo! I'm free!" jeritnya pula puas ha