Share

SIMH:2

'AKU benci kau, betina!  Mampus lagi baiklah!  Menyusahkan hidup aku saja!' 

Erin mengusap dadanya kerana terkejut.  Lafaz istighfar tidak henti-henti meluncur di bibirnya.  Dilihat Tia yang sudah berubah air muka.  Jika Erin rasa sakit hati dengan mesej tersebut, maka Tia lebih lagi.  Tubuh Tia yang terhinggut menangis didakap sepenuh hati.

Titis-titis jernih mengalir di pipi mulus Tia.  Seleranya terbantut dengan emosi Syamil yang bergelora seperti ombak ganas.  Kini, pesanan mesej yang baru diterima merobek-robek hatinya yang sedia sakit.

Setelah beberapa detik, keadaan Tia kembali tenang.  Keluhan panjang dilepaskan seolah-olah turut sama membuang segala beban yang terpikul di pundak.  Mata bundar Tia yang indah membengkak seperti bola ping pong.

“Kau boleh bersabar lagi dengan dia, Tia?”  

Erin melontar soalan seraya wajah Tia direnung dalam-dalam, cuba mencari jawapan yang pasti setelah situasi tegang mereda.  

Jika dia di tempat Tia, sudah lama cinta Syamil dibuang dalam tong sampah. Dia tidak akan membiarkan lelaki durjana itu memperlakukanya sesuka hati. Hakikatnya dia bukan Tia.  Beza Erin Syafina dengan Tiara Amanda  begitu jauh.  Bagai langit dan bumi.  

“Apa nak buat, Erin.  Aku dah terlanjur sayang dekat dia,” jawab Tia polos.  Bagi Erin sebaliknya pula, dungu!  

Pandangannya dipaku ke lantai, takut untuk menatap wajah menyinga Erin.  Dia tahu, Erin terlalu menyayangi persahabatan mereka.  Sebab itulah Erin seringkali memberi sokongan setiapkali Tia dan Syamil bercakaran.

“Sayang dan setia kau tak bertempat.  Kalau aku jadi kau, dah lama aku tinggalkan mamat tak guna tu.  Tengoklah… dihantarnya mesej maki hamun dekat kau.  Macam-macam dia hina kau.  Kau tak nampak lagi ke, Tia?”

Geram Erin dengan sikap Tia yang boleh tahan kepala batu.  Hari ini, Erin 'basuh' pemikiran Tia cukup-cukup.  Biar gadis itu buka mata luas-luas bahawa Syamil bukanlah seorang lelaki yang baik.  Apatah lagi untuk dijadikan sebagai teman hidup.

Tetapi lain pula halnya dengan Tia.  Ini adalah tentang soal hatinya sendiri dan juga Syamil.  Mereka telah merancang untuk membawa hubungan itu ke sebuah gerbang perkahwinan tidak lama lagi.  Sementelahan, hubungan cinta yang terjalin bukannya sekejap.  Sudah memasuki ke lima tahun.  Tidak semudah itu Tia membuang Syamil dari hidupnya.

“Sudahlah tu.  Tak payah nak bazirkan air mata kau lagi.  Daripada kau fikirkan tentang dia, baik kau makan muffin red velvet aku ni.”

Sebiji muffin diletakkan di depan Tia.  Tia merenung kosong muffin tersebut tanpa ingin mencubanya.

“Kau tenung sampai nak tembus mufin tu buat apa.  Bukannya dia boleh melompat sendiri masuk ke dalam mulut kau," bebel Erin lagi seraya menggeleng.  

Erin pamit selepas mengutip pinggan kotor ke dapur.  Sengaja dia tinggalkan Tia termangu-mangu di meja makan seorang diri agar sahabatnya itu dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Perlahan-lahan, lensa mata Tia jatuh kepada keju di permukaan muffin.  Dikuis-kuis keju itu dengan hujung sudu.   Lapisan keju yang melekat di sudu dibawa ke mulutnya, lalu dijilat sehingga habis.  Erin yang mengintai di sebalik dapur tersengih bak kerang busuk.  Dalam susah hati, sebiji muffin red velvet itu habis juga dimakan Tia.

“Sedap?  Makanlah.  Ada banyak lagi dalam oven,” kata Erin gembira.  

Memasak adalah hobi yang paling Erin suka.  Tetapi, melihat orang lain menikmati masakannya dengan berselera membuatkan hatinya lebih teruja.  Bahu Tia dipeluk seolah-olah cuba menyalurkan kekuatan  ke dalam diri Tia.  

***

PAGI itu Tia terlewat bangun.  Solat Subuh pun di hujung waktu.  Kepalanya berdenyut sakit.  Dia bersiap ala kadar untuk ke pejabat.  Ketika melintasi meja makan, matanya tertancap pada satu beg kertas yang ditulis namanya beserta sebaris nota.

"Sila makan saya.  Senyuman awak akan manis seperti saya.  Fighting!" - Erin

Ulas bibir Tia yang dicalit gincu merah jambu tersenyum merekah.  Erin sentiasa memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepadanya saat dia jatuh.  

Dia akui sebaris nota itu berjaya menyuntik sedikit kekuatan buat dirinya yang terumbang-ambing dengan emosi.  Isi di dalamnya membuatkan hati Tia melonjak suka. 

“Tia, Encik Uzayr mana?” tanya Nelly, merangkap Pegawai Promosi di Juta Empire.

“Encik Uzayr pergi ke kilang.  Katanya hendak tengok corak kain sebelum cetakan dibuat,” jelas Tia.  Mukanya dimaniskan setiap kali bercakap dengan staf lain di situ.

“Bila dia balik?” soal Nelly ingin tahu.  Hujung rambutnya dipintal dengan jari.

“Saya tak pastilah, Cik Nelly,” jawab Tia jujur.  Wajahnya tetap manis seperti tadi.

“Hai... macam mana awak jadi PA?  Bila bos balik pun tak tahu?” sindirnya tepat ke muka Tia.  

Suara Nelly yang lantang berjaya menarik perhatian staf Juta Empire yang lain.  Masing-masing mula memanjangkan leher sambil memasang telinga.  Silap hari bulan boleh jadi topik hot untuk bergosip.

“Selalunya, selepas tugas Encik Uzayr selesai baru dia balik ke pejabat.  Tapi saya tak pastilah berapa lama Encik Uzayr akan berada dekat situ.  Beginilah, Cik Nelly.  Bila Encik Uzayr balik nanti saya call Cik Nelly.  Boleh?”  Tia cuba bersabar dengan songeh Nelly yang semakin mengada-ngada dari hari ke hari.  

“Tak payah!  Saya boleh call dia sendiri,” jawab Nelly angkuh.  Rambut panjangnya sengaja dilibas sehingga bau minyak wangi yang dipakainya menusuk ke rongga pernafasan Tia.

“Kenapa tu?”  Gina, kaki tangan paling kepoh di situ menjalankan tugasnya menyoal siasat Tia setelah lama menjadi pemerhati.  Bola matanya mengikut rentak lenggok badan Nelly yang seksi.

“Dia tanyakan Encik Uzayr,” jawab Tia malas.  

Kepalanya kembali berdenyut dengan babak lima minit lakonan Nelly.  Suasana tegang itu membuat dada Tia sesak.  Salahnya juga yang dicari, padahal dia sudah menerangkan hal sebenar kepada gadis itu.

“Lepas tu?”  

Gina menarik kerusi di depan Tia dan punggung dihenyak di situ. Takkanlah hal itu saja yang mereka bualkan.  Informasi yang diberi seakan-akan tidak relevan dengan babak yang terjadi.

“Aku jawablah aku tak pasti bila Encik Uzayr balik ke pejabat semula.  Lepas tu dia bising-bising.  Cik Nelly cakap aku ni tak ambil tahulah.  Kerja sambil lewa.  Mulalah dia sekolahkan aku sampai timbul urat tengkuk dia.  Tak semua benda Encik Uzayr akan beritahu aku.  Takkanlah dia nak berak pun beritahu juga, kan?”  Tia pula yang membebel, sekaligus melepaskan isi hatinya yang terbuku.

Gina terkekeh-kekeh ketawa hingga bergoyang lemak-lemak di pipinya yang tembam.  Marah betul Tia.  Sampai pen di tangannya pun dipatahkan.

“Tu bukan urat tengkuklah,” sanggah Gina dengan sisa tawa yang semakin perlahan.

“Habis tu apa?” Berkerut dahi Tia kehairanan.

“Itu halkum!”  Pecah berderai ketawa mereka berdua di situ.  Kadang-kadang, Gina boleh tahan gilanya jika dilayan.  Hilang tekanan Tia dengan tingkah Gina tadi.

“Siapa yang berak?” celah satu suara.  Mereka serentak berpaling kepada pemilik suara berkenaan.

“Err… Tia.  Aku sambung kerja dululah."  

Gina bangun lalu meminta diri untuk beredar.  Niat untuk membawang terbejat.  Sambung masa rehat nantilah nampak gayanya.  Masih banyak yang ingin dia cungkil dari Tia tentang Nelly.  Lidah Tia kelu untuk bersuara.  Sejak bila Uzayr mencuri dengar perbualan mereka.  Matilah jika Uzayr mencuri dengar apa yang mereka bualkan tadi.

“Bos... awal bos balik ke pejabat?” soal Tia cuba menutup getaran di hati.

“Awak tak suka ke saya balik cepat?” soal Uzayr mendatar.  Mata disorot tajam berserta jelingan yang boleh menggugat jiwa.

“Bukan begitu, bos.  Maksud saya….”

“Buatkan saya kopi!” arah Uzayr seraya menapak ke biliknya.

Tia mengurut dada.  Mulutnya ditepuk kerana tersalah bicara.  Tidak lama kemudian, dia masuk ke pejabat Uzayr bersama secawan kopi dan tiga biji mufin red velvet di dalam piring.  Tia meletakkan cawan dan piring dengan berhati-hati di atas meja yang diperbuat daripada kayu jati itu.

“Kalau tak ada apa-apa lagi saya minta diri dulu, bos,” pamit Tia dengan hormat. 

“Okey.”  

Uzayr menjawab tanpa menoleh.  Raut Wajah Uzayr tegang dan serius.  Lebih baik dia angkat kaki sebelum apa-apa yang tidak diingini terjadi.  

Langkah Tia dibawa ke meja kerja.  Bunyi papan kekunci ditekan rakus oleh Tia melatari suasana.  Detakan tapak kasut tumit tinggi yang kian menghampiri meja Tia sudah dapat diagak siapa pemiliknya.  Belum sempat dia berkata apa-apa, Nelly menonong masuk ke pejabat Uzayr tanpa melalui Tia terlebih dahulu.

‘Tak semenggah betul,’ gerutu Tia.

Sedang leka menaip, Encik Uzayr memanggil Tia melalui interkom.  

“Ya, saya.”  Lunak suara Tia menyambut panggilan Uzayr.

“Masuk sekejap, Tia," arah Uzayr.  Cemas saja bunyi suara Uzayr di corong interkom.

Tia mengambil buku catatan dan sebatang pen dan bergegas memasuki bilik Uzayr.  Sempat dia membetulkan tudungnya yang senget sebelum pintunya diketuk.  Kelihatan Nelly duduk bersilang kaki di kerusi dengan gayanya yang tersendiri.  Lagak Nelly seperti seorang ‘mem’ besar saja.  

"Masuk, Tia," gamit Uzayr dengan dahi berlapis.  

Tia tercegat di depan Uzayr dan sabar menunggu arahan seterusnya.  Dia malas untuk melihat ulah gedik Nelly lama-lama.  Hatinya panas.  Bukan kerana dia cemburu.  Tetapi, Nelly suka mencari pasal dengannya tanpa sebab yang munasabah.

“Tolong panggilkan cleaner.  Suruh dia bersihkan kotoran tu.”

Lensa mata Tia mengekori jari telunjuk yang dituding ke satu arah; lantai pejabat Uzayr yang terpalit dengan kesan makanan.  

‘Muffin!’ jerit Tia di dalam hati.

Muffin red velvet pemberian Tia bertaburan di lantai.  Tersiat hatinya melihat mufin tersebut tergolek ke karpet yang tebal dan mahal itu.  Sekalipun tidak suka dengan pemberiannya, tidak perlulah ia dihina begitu rupa.  Niatnya cuma untuk berkongsi rezeki pemberian-Nya.  Bukannya ada niat lain yang tersembunyi.

Tanpa berlengah, Tia menunduk lantas mengutip muffin yang sudah terpalit debu itu lalu dibuang ke dalam tong sampah.  Uzayr terkedu melihat ulah Tia yang tidak disangka-sangka itu.  Hati lelakinya diserbu dengan rasa bersalah.

“Tia, saya suruh awak panggil cleaner.  Bukan suruh awak yang bersihkan sendiri,” tegas Uzayr tidak senang dengan tingkah Tia yang bersahaja.

Tia memejamkan matanya seketika.  Ketika dia bangun untuk membalas kata-kata Uzayr, air mata Tia bergenang.  Beberapa biji muffin dari kedai pastri yang terkenal di ibu kota terletak elok di atas piring sama yang dibawa oleh Tia tadi.

‘Patutlah…,’ gumam Tia kecewa.

“Tak apalah, bos.  Hal kecil saja,” tukas Tia sebak.

Simpati yang bukan sedikit melanda diri Uzayr. Dia tak sengaja tertepis piring berisi muffin hingga jatuh ke lantai.  Tiada sebesar kuman niat pun untuk membazirkan makanan seperti itu.  Dia tidak diasuh untuk membazir dan mensia-siakan pemberian orang yang ikhlas memberi.

“Dah selesai, kan?  Boleh keluar tak sebab kami ada hal nak dibincangkan.”  

Nelly berkata dengan angkuh tanpa menghiraukan perasaan Tia yang sudah lumat dicencang.  Sebelum Tia melangkah keluar, sempat lagi dia mendengar suara manja Nelly yang menyesakkan dadanya.

“Rasalah cupcake tu.  Sedap tahu.  Bersusah-payah I beratur demi you.”

Boleh meleleh tahi telinga sesiapa yang mendengarnya.  Buru-buru Tia keluar dari bilik Uzayr.  Kepalanya semakin kuat berdenyut kerana menangis.  Beberapa helai tisu ditarik dari kotak.  Kesan maskara yang mengotori wajahnya dibersihkan.  Semasa ingin ke bilik air bagi menata rias wajahnya semula, langkahnya terhenti.

“Cik Tiara Amanda?” tanya seorang pemuda yang tidak dikenalinya.

“Ya, saya.”

“Ini ada bunga untuk Cik.  Boleh tanda tangan di sini?”

Jambangan bunga mawar merah dihulur kepada Tia bersama sehelai kertas.  Usai menanda tangan, Tia menarik sekeping kad yang terselit di jambangan indah tersebut.

Please forgive me.  I Love You My Darling.

- Syamil.

Itulah sikap Syamil yang Tia cukup arif.  Bila buat salah, pasti dia akan meminta maaf dan menghadiahkannya sejambak bunga.  Masih ada sisi romantis dalam jiwa Syamil yang walaupun sikapnya sukar ditelah.  Sekejap baran, sekejap romantis; bikin hati Tia walang.

Kuntuman bunga mawar merah dipindahkan ke dalam pasu.  Bilik gadis itu kini dipenuhi dengan bau bunga ros yang mekar.  Mood Tia juga berubah serta merta, meskipun sakit kepalanya hanya berkurangan sedikit.

“Untunglah orang tu dapat bunga.  Kita juga melopong tak dapat apa-apa," keluh Gina di sebalik pintu.  

“Kau nak ke? Nah!  Ambil ni.”  

Tia menghulurkan sekuntum bunga mawar kepada Gina.  Bersinar-sinar mata Gina menyambutnya.  Kelopak bunga dicium bertalu-talu.  Tia ketawa geli hati.

“Tia….”  Gina menghampiri Tia setelah dipastikan tiada sesiapa di situ.

“Aku tahu.  Kau nak bergosip, kan?”  Tia menelah.  Gina menepuk perlahan lengan Tia.  

“Aku bukan nak bergosip.  Aku cuma nak tahu kesahihannya.  Mak Lampir tu ada kat dalam lagi ke?”  Gina berbisik dengan muka serius.

“Siapa Mak Lampir?”  Tia bingung.  “Siang-siang hari begini pun ada hantu juga ke?” sambung Tia lagi.

“Pembarisnya kau ni.  Si Nelly tulah Mak Lampir di sini.”

Tia sakit perut ketawa.  Matanya berair mendengar gelaran Mak Lampir yang diberi kepada Nelly secara tidak rasmi.

Belum sempat Tia menjawab, Nelly limpas di depan mereka dengan pinggul yang digoyang seksi.  Gina membuat aksi ingin muntah.

“Memang dia cantik pun, Gina,” ujar Tia sambil menggeleng.

“Cantik plastik!”  Gina berlalu dengan meniru aksi goyang pinggul Nelly.  Tak kering gusi Tia ketawa.  Ada-ada saja telatah Gina yang menggelikan hati.  

***

LANGKAH Tia diayun laju ke stesen LRT.  Tiba-tiba, lengan bajunya ditarik oleh seseorang sebelum sempat dia menaiki tangga jejantas.

“Syamil, awak buat apa kat sini?”  Tia terkejut dengan kedatangan Syamil yang tanpa diduga itu.

Sebelum ini, Syamil tidak pernah menemuinya di pejabat Tia.  Syarat keluar makan tengah hari pun mestilah jauh dari tempat kerja Tia.  Takut tak ada privasi kata Syamil.

“Saja, nak bagi kejutan.”

“Memang terkejut pun.  Tadi bunga mawar, sekarang ni Mil pula yang datang.”  Tia memegang dada sambil tersenyum.

“Temankan Mil makan.  Mil belum makan tengah hari lagi.”  Syamil pandai membuat Tia dihimpit rasa serba-salah.

Tia menurut juga walau badannya berasa cukup letih dengan tugas-tugas seharian di pejabat.  Saat ini, dia membayangkan keempukan tilam dan nyaman alat pendingin hawa membelai tubuhnya yang lesu.

“Tadi kata lapar?  Kenapa tak pesan makanan?”  Jus kiwi dicicip perlahan oleh Tia.

“Tak ada selera.”  

“Kenapa ni, Mil.  Cakap dengan Tia apa masalahnya kali ni?” Tia merengus geram bila Syamil tidak menjawab soalannya yang mudah.

“Tak nak cakap tak apalah.  Tia balik dulu.”  

Tia angkat punggung untuk beredar, namun ditahan oleh Syamil.  Kolam mata Syamil melimpah dengan manik-manik jernih.  Tia duduk semula di kerusi dan menghulurkan tisu kepada Syamil.

“Mil ada masalah.  Tolong Mil, sayang."  

Suara rayuan Syamil menujah gegendang telinga Tia yang diselangi esakan perlahan.

Comments (1)
goodnovel comment avatar
ALISSA ALEE
NELLY TU ..HUHUHUH
VIEW ALL COMMENTS

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status