Share

Stranger In My Heart (Bahasa Malaysia)
Stranger In My Heart (Bahasa Malaysia)
Author: Ruby RA

SIMH:1

BIBIR mungil itu tersenyum mekar saat nama si buah hati tertera di skrin telefon pintarnya.   Jari runcing itu segera meleretkan butang hijau ke tepi.

“Assalamualaikum," ucap Tia sejurus telefonnya melekap di cuping telinga.

“Waalaikummusalam.  Jom, pergi makan!” Ceria suara Syamil mengajak.

Tia menjeling pada jam tangan Fossil di pergelangan.  Sudah jam satu!  Patutlah perutnya berdangdut sakan.

“Mil, bos Tia ada kat pejabat ni,” jawab Tia separuh berbisik.    

“Awak ni, Tia… itu ajelah jawapan awak bagi. Bos adalah, banyak kerjalah.  Bila masa awak boleh bagi perhatian pada saya?  Saya rasa terabai, tahu tak?”  Ada keluhan kecewa di hujung suara Syamil.  

Dia mula dah.  Macam ada bau-bau perang dunia ketiga akan meletus.  Tia picit pelipis, mata terpejam rapat dalam beberapa saat.  Bukannya dia tak mahu keluar.  Tapi, tugasnya sebagai seorang pembantu peribadi adakalanya memerlukan Tia berkorban masa dan tenaga.

“Mil faham kan kerja Tia macam mana?   Tia… Hello!  Hello!

Syamil menamatkan talian mereka dan membiarkan Tia bercakap seorang diri.

'Ish… merajuk pulak dah….'

Tia garu kepala yang tidak gatal.  Skrin yang gelap ditenung lama.  Hatinya jadi libang-libu. Biarlah, lagipun fail-fail yang belum terusik masih bertimbun di atas meja.  Draf-draf surat juga masih belum ditaip. 

'Nanti-nanti sejuklah hati Syamil tu.'  Tia menyedapkan hati sendiri.

“Tia, mana fail yang saya minta tadi?” soal Uzayr melalui interkom.

"Oh!  Sebentar, ya…  saya bawa masuk."

Tia mengutuk diri sendiri kerana terlupa.  Otaknya berserabut memikirkan itu ini.  Tia mendapatkan fail putih berkulit tebal lalu diserahkan kepada Uzayr.

Baru saja tubuhnya dipusing, nama Tia diseru. 

“Tia, mana pen saya?  Dari tadi saya cari tak jumpa.”  Raut wajah Uzayr kelihatan bingung.  

Ketika Uzayr berpusing menghadap komputer, kornea mata Tia menangkap satu benda yang tersepit di cuping telinga kiri Uzayr.

Tawa yang ditahan terhambur jua.  Uzayr merenung gadis tinggi lampai persis ketinggian Nasha Aziz itu tidak berkerdip, tidak tahu kenapa Tia ketawa dengan tiba-tiba.

“Maafkan saya, bos.  Saya rasa saya dah jumpa pen kesayangan bos tu.”  

“Mana?” Uzayr menyoal laju.

“Tu....”

Telunjuk Tia lurus ke cuping telinga Uzayr.  Semerta Uzayr menarik pen itu untuk diguna.  Pipinya panas menahan malu.  Habitnya sejak sekolah rendah itu sukar dikikis sehingga dewasa.

“Saya dah nyanyuk agaknya,” kata Uzayr diselangi ketawa hambar. 

“Haa… saya rasa saya tahu apa yang bos perlukan,” balas Tia lalu beredar meninggalkan kamar kerja majikannya ke ruang pantry.

Beberapa minit kemudian, Tia masuk dengan dulang di tangan.  Di atasnya, tersusun kepingan biskut coklat dan segelas susu.  Tia meletakkan dulang itu di meja kecil tidak jauh dari Uzayr.  Bola mata jejaka itu ligat memerhati ulah Tia.  

“Macam tahu-tahu je saya tengah lapar.  Tapi, kan… kalau dapat nasi kandar atau nasi ganja ke, lagi best.”   Sempat Uzayr mengusik.  

"Boleh… nanti saya order dengan Grab."  Tia menjawab laju.

"Hahaha… saya bergurau je.  Ni pun dah cukup.  Terima kasih."  Uzayr mengangguk tanda hormat.  Dia bukanlah jenis yang memilih makanan.  Asal perutnya dapat diisi sudah cukup buat jejaka berkulit kuning langsat itu.

Deringan telefon yang bergema mematikan lamunan Tia yang jauh mengembara.  Hal Syamil diketepikan dahulu meskipun notifikasi di telefon pintar masuk bertalu-talu.

Waktu pantas berjalan dan jarum jam mencecah ke angka 5.  Suasana pejabat sunyi-sepi dan Tia mengintai ke bilik Uzayr.  Gelap, lampu yang terpadam menandakan Uzayr sedang siap-siap untuk pulang.  Pandangan dijatuhkan ke papan kekunci semula.

Derapan tapak kasut yang menghentak lantai kian menghampiri meja Tia.  Deheman Uzayr membuatkan tumpuan Tia terganggu dan sekaligus mukanya terdongak memandang jasad yang berdiri di depannya.

“Awak tak balik lagi, Tia?” Garau suara Uzayr menyapa Tia.

“Belum lagi.  Sekejap lagi saya baliklah.  Masih ada kerja yang perlu disiapkan," jawab Tia.  Wajah tampan Uzayr ditatap sekilas.  

“Hari macam nak hujan ni.  Baik awak balik cepat.  Lagipun….”  Kata-katanya mati di situ.  Nada suaranya juga direndahkan seakan-akan berbisik.

Raut wajah Uzayr seperti serba-salah.  Kepalanya pula ditoleh ke kiri dan ke kanan seolah-olah sedang mencari-cari sesuatu.  Tangan kanannya mengusap dagu dengan mata disorot tajam ke arah Tia yang sedang bungkam.

“Lagipun apa, bos?” tanya Tia kehairanan.  Nada suaranya juga direndahkan.  Entah kenapa mereka berbisik-bisik begitu.

Bola mata Uzayr bergerak ke segenap ruang pejabat yang kosong.  Wajahnya didekatkan kepada Tia seakan-akan ingin membisikkan sesuatu yang teramat sulit.  Secara otomatik Tia memasang telinga.

“Lagipun… saya ada dengar staff di sini cakap yang pejabat ni berhantu.”  Uzayr menyusun ayatnya satu per satu.

“Apa?”  jerit Tia lalu berdiri secara spontan.  Kulit muka terasa sejuk dan salur darahnya seperti membeku.

Lekas-lekas beg tangannya dicapai seraya membuntuti langkah Uzayr yang sengaja membuka langkah besar dengan laju.

"Bos… tunggu saya!"

Tia berlari menyaingi langkah Uzayr dan berjalan beriringan hingga ke pintu lif.  Ini semua Uzayr punya pasal.  Tak pasal-pasal dia kena balik awal.  

“Penakut juga awak ni, ya?”  Uzayr tersengih nakal sebaik saja pintu lif tertutup.

Tia tidak menjawab soalan itu sebaliknya mata bundar Tia terbeliak melihat sesuatu yang menakutkan di belakang Uzayr.  Tia merapatkan tubuhnya ke dinding lif.  Uzayr meoleh ke belakang dengan penuh tanda tanya.

"Kenapa dengan awak ni?" Uzayr bertanya geram.

Tia mengangkat wajahnya yang tanpa senyuman.  Lama Uzayr ditenung.  Seketika dia ketawa.

"Gotcha!  Haaaa… bos pun penakut jugak!"

Suka hati Tia dapat mengenakan Uzayr kembali.  Pemuda yang pada mulanya diserang ketakutan kini berlagak selamba.  Jatuh air mukanya kalau rahsianya terbongkar.

Lif turun dengan perlahan dari tingkat 15 terus ke lobi.  Tia menapak untuk keluar namun ditahan Uzayr.

“Esok saya masuk office lambat sikit. Saya nak ke kilang dulu untuk periksa corak terbaru sebelum dicetak."

Ekor mata Uzayr mengesan riak gembira pada wajah Tia.  Kepala digeleng perlahan.  Sukalah tu bila bos tiada di pejabat.

"Okey, bos…."  

Tia tersenyum lebar sebelum pintu lif itu tertutup dan menuju ke aras bawah, iaitu tempat letak kereta di bangunan milik keluarganya, Juta Empire.  

Tia berjalan ke stesen LRT yang berdekatan untuk pulang ke rumahnya di apartment Vista Angkasa, Kerinchi.  Langit yang mendung mula menitiskan air hujan ke bumi.  Orang ramai berasak-asak memasuki tren sebelum masing-masing dibasahi hujan.  Sempat Tia menyelit antara celahan manusia yang tolak-menolak antara satu sama lain.

Gadis langsing dan tinggi lampai itu  cuma berdiri di tepi pintu tren.  Dia lebih suka begitu kerana senang untuk meloloskan diri sekiranya tiba ke destinasi.  Lagipun, ada insan-insan lain yang lebih memerlukan tempat duduk daripadanya yang masih muda dan sihat tubuh badan.

Anak kunci dicucuk ke dalam tombol lalu dipusing.  Dari luar rumahnya lagi hidungnya menangkap bau kek yang sedang dibakar di dalam oven.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummusalam.  Awal kau balik hari ni?”

“Aku takut hantu.  Tu yang balik awal,” balas Tia selamba.  Kasutnya ditanggalkan dan disangkut di atas rak kasut.

“Hantu?” tanya Erin terkejut.

“Tu yang Encik Uzayr cakap.  Aku apa lagi, blah sajalah dari situ.  Takkan nak berkenalan dengan hantu-hantu tu kut. Kau buat kek apa hari ni?”  

“Pembetulan.  Bukan kek, tapi muffin,” ujar Erin tersengih.  

Minah peramah merangkap kawan baik dan kawan serumah Tia memang pakar dalam membuat kek dan roti.  Cakaplah apa saja jenis kek yang Tia suka, semuanya pasti ada di depan mata.  Untung juga ada kawan seperti Erin.

"Errr… ada beza ke antara kek dan muffin?" Soal Tia ingin tahu.  

"Mestilah ada beza," balas Erin laju.

"Apa dia?"  Banyak pula soalan Tia.

"Kau tanyalah Encik G****e. Nanti semua informasi fasal kek dan muffin kau dapat. Hahahaha."

Jelingan Tia mematikan sisa tawa Erin.  Beberapa saat kemudian, Tia kembali teruja apabila melihat muffin yang sedang mekar di dalam oven.

“Mesti sedap, kan?”  Wajah Tia didekatkan pada pintu kaca oven tersebut.

“Pernah ke aku buat tak sedap?”  Kening Erin terjongket.

"Eleh, baru puji sikit dah riak."  Tia menjelirkan lidah kepada Erin yang sedang ketawa terbahak-bahak sambil memegang perut.

“Aku masuk bilik dululah.  Nak mandi.”  Tia meminta permisi pantas kakinya diayun ke bilik tidur.  

Pintu dikuak lebar dan tas tangan diletakkan di atas meja.  Tia merebahkan diri ke katil.  Seketika kemudian, dia teringat akan kiriman mesej yang belum dibacanya.

'Banyak betul mesej dari Syamil,' rungut Tia sambil memicit pelipis.  Senarai mesej dibaca mengikut turutan.

'Nak balas ke tak?' monolog hatinya lagi.

Syamil dan Tia sudah hampir tiga tahun menjalin cinta.  Seperti pasangan lain juga, hubungan cinta mereka ada pasang surutnya.  Tetapi, cinta mereka tetap mekar dan utuh di hati masing-masing.

Syamil

Malam ni kita dinner sama-sama.

Tia

Erin dah masak.  Esok boleh?

Syamil

No excuse.  Tadi pun kita tak jadi lunch.

‘Adui, malasnya!’ 

Tia mengeluh sambil mengetuk perlahan dahinya dengan telefon pintar.  Dia cuba mencari jawapan yang sesuai agar tidak menyinggung perasaan Syamel.

Dia sebenarnya kepenatan setelah berhempas-pulas bekerja pada siang tadi dan bercadang  mahu berehat saja sambil menonton TV dan menikmati muffin red velvet di sofa empuk.

Tia

Baiklah.

Sebaik pesanan terakhir dihantar, Tia mencapai tuala dan langsung ke bilik air.  Usai mandi dan bersolat dia bersiap-siap untuk keluar dengan si buah hati.

Terjengket-jengket Tia mencari bayang kereta milik Syamil di kawasan letak tempat kereta. Menurut Syamil tadi, dia sudah sampai di bawah apartment.  Tetapi batang hidung Syamil pula langsung tidak nampak.  Dalam termangu-mangu itu, tidak semena-mena sebuah kereta Mitsubishi berwarna perak berhenti betul-betul di Tia.

“Masuklah, sayang.  Takkan nak tercegat saja kat situ,” arah Syamil sebaik saja cermin tingkap diturunkan.

Tia terkebil-kebil melihat tampang wajah Syamil yang tersengih di dalam kereta mahal itu.  Selamba saja lagaknya seperti tiada apa-apa yang berlaku.  Sedangkan, minda Tia sarat dengan pelbagai soalan.

“Kereta siapa ni?” soal Tia, bukan kerana teruja, tetapi lebih kepada rasa ingin tahu yang menebal.

“Kereta kawan.  Mil pinjam sekejap.”

“Kereta Mil rosak ke?” tanya Tia lagi.

“Taklah.  Saja nak test kereta baru dia.”

Test kereta baru?  Boleh pula dia bagi orang bawa kereta baru dia.  Siapa kawan Mil tu?  Tia kenal ke?”

Soalan demi persoalan yang diajukan membuatkan Syamil rimas. Dia memberhentikan kereta di bahu jalan dan menoleh kepada Tia di sebelahnya.  Air muka Syamil jelas berubah tidak seperti masa mereka mula-mula bertemu tadi.

“Apa masalahnya ni?  Salah ke kalau dia bagi Mil bawa kereta dia?  Takkanlah pasal kereta kita nak bertekak?”  

Syamil meninggikan suara.  Tangannya dihentak ke stereng beberapa kali tanda protes.  Susah sangatkah untuk Tia berprasangka baik.  Kenapa Tia tidak duduk diam-diam dan menikmati perjalanan tanpa banyak bunyi.  Ini tidak, ada saja benda yang diungkit.   

“Tia tak cakap pun salah.  Tia tanya saja.  Yang Mil nak marah-marah ni kenapa?”  Mata Tia menikam tepat ke dalam mata Syamil.  Dengusan nafas Syamil tidak keruan kerana dikuasai amarah.

“Sudahlah!  Mil tak ada selera nak makan!” dengus Syamil dengan wajah kelat.  Stereng diputar memasuki ke jalan raya.

“Keluar!”  

Entah apa yang merasuk Syamil hingga hilang segala kewarasan akal.  Bahu Tia ditolak kasar oleh Syamil setelah keretanya diberhentikan.  Laju Syamil memecut kereta itu sebaik saja Tia menutup pintunya dan meninggalkan Tia tanpa pesan.  Tersayat hati gadis lurus itu dengan tingkah kasar Syamil terhadapnya.  Perlahan-lahan bayang kereta itu hilang dalam pekat malam.

“Eh, cepatnya kau orang makan?”  Erin berhenti mengunyah apabila Tia labuh punggung di sebelahnya.  Agak terkejut apabila tidak sampai setengah jam berlalu Tia pulang dengan wajah sugul.

“Tak jadi," jawab Tia pendek.  Ditahan air mata dari gugur di depan Erin.  

Ini bukanlah kali pertama Erin menyaksikan drama pergaduhan mereka berdua.  Pasangan lain pun ada juga yang bertikam lidah.  Tetapi, tidaklah sekerap mereka.

Tergeleng Erin kerana dapat mengagak apa yang terjadi.  Erin berlalu ke dapur dengan sebiji pinggan di tangan.  Nasi putih bersama lauk-pauk yang dimasaknya tadi  diceduk ke dalam pinggan, lalu disua kepada Tia yang duduk menopang dagu di meja makan.

“Makanlah.  Tak payah fikir tentang semua tu lagi.  Kalau lambat makan nanti perut tu masuk angin," nasihat Erin bercampur simpati.

Telefon pintar milik Tia bergetar menandakan ada pesanan mesej yang diterima.  Tia membaca barisan ayat itu dengan kerutan di dahi.  Mata bundarnya berkaca lagi.  Bahu terhinggut menahan rasa.  Besar sangatkah kesalahannya hingga Syamil sanggup melukakan hatinya begitu sekali?

“Kenapa?” 

Erin cuba mengintai mesej yang membuatkan air muka Tia berubah.  Belakang badan Tia diusap bagi meredakan segala rasa yang membelit jiwa Tia saat itu.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status