Share

Bab 8

AINAN termenung. Rambutnya yang panjang paras pinggang dibiarkan mengerbang ditiup angin. Berada di situ, membuatkan dia berasa tenang dan damai.

Pantai Teluk Kemang

Di sinilah tempat biasanya Aazad akan membawanya untuk menenangkan fikiran suatu masa dulu. Di sini jugalah rasa sayang mula berputik. Di sinilah rasa bahagia itu menyelinap masuk ke setiap pembuluh darahnya. Namun, bahagia itu tidak kekal lama. Aazad semakin hari semakin berubah sikap. Semakin dingin dengannya.

"Sedarlah wahai Ainan. Inilah akibat apabila engkau mengambil hal orang."

Dahi Ainan berkerut. Semakin kerap bisikan itu menjengah pendengarannya kebelakangan ini. Semakin ditepis, semakin menjadi-jadi. Ainan tekup telinga. Berharap suara itu hilang. Dia sudah tidak sanggup mendengar bisikan itu. Bisikan itu membuatnya hampir separuh gila. Membuatnya putus harapan untuk terus hidup.

"Kau tekuplah macam mana sekalipun, kau akan tetap dengar suara aku. Sebab aku berada di minda kau. Di fikiran kau. Kau tak mampu mengusir aku. Selamanya aku akan terus menghantui kau."

Bergema ketawa bisikan itu. Gugur lagi air mata Ainan. Semakin dia cuba mengusir suara itu, semakin kerap suara itu kedengaran membuatkan jiwanya semakin rapuh.

"Kau ingat laki kau sayang kau? Dia tak sayang kau pun. Dia cuma pergunakan kau je. Kalau kau takde, kau ingat dia hairan ke? Dia langsung tak peduli. Kalau kau mati pun dia tak kisah! Kau tu yang bodoh. Bodoh sebab percayakan lelaki."

Ainan alih tangan. Tidak lagi menekup telinganya. Hatinya sakit mendengar bisikan itu. Berusaha keras dia menidakkan kata-kata itu.

"Masih nak sedapkan hati sendiri? Mana dia saat kau perlukan dia di sisi? Dia pergi tinggalkan kau terkontang kanting. Masih nak nafikan lagi?"

Ainan berang. Dia terus berlalu menuju ke bilik. Aazad tidak bersamanya. Ketika dia ingin keluar tadi, Aazad masih lagi lena diulit mimpi. Sesekali Ainan melihat Aazad tidur sambil mengukir senyuman yang bahagia.

Ainan panjat beranda. Tangannya di depakan. Matanya terpejam rapat. Ainan membiarkan bayu laut menampar tubuhnya. Dia terasa ingin terbang jauh.

"Ainan..." Ainan segera berpaling saat namanya diseru.

"Turun sayang. Buat apa kat situ?" Aazad mula menggelabah melihat aksi Ainan seperti aksi hero dan heroin dalam filem Titanic.

"Abang jangan dekat!" Ainan mencengkam gerigi beranda. Dia tidak mahu Aazad menyentuhnya. Aazad mengangkat kedua belah tangannya sebelum mundur beberapa tapak.

"Okey. Abang tak datang dekat. Tapi abang nak Ainan turun sekarang." Aazad memujuk lembut. Ainan berhati-hati untuk turun. Sebaik kakinya menjejak lantai, Aazad segera menyambar tubuh Ainan. Dipeluknya erat. Terasa luluh jantungnya ketika itu.

"Ainan jangan buat macam tu. Abang tak nak kehilangan Ainan." Sayu sekali nada Aazad. Ainan hanya membatu. Sedetik kemudian, dia cuba membebaskan dirinya dari pelukan Aazad.

"Lepaskan Ainan. Abang bukan sayang Ainan pun. Kalau abang sayangkan Ainan, abang tak buat hidup Ainan macam ni." Ainan membentak. Wajahnya merah menahan marah. Tubuh Aazad ditolak kasar.

"Abang seksa hidup Ainan demi bini abang tu. Kan Ainan dah cakap, kalau sayang dia berambus dari hidup Ainan. Aku benci kau." Jerit Ainan bagai orang hilang akal. Aazad tergamam.

Dah lama dia tak melihat Ainan dari sisi ini. Sungguh dia terkedu. Namun, dia berusaha untuk memahami keadaan Ainan ketika itu.

"Ainan, abang akan buat apa je yang Ainan nak. Tapi, tolong jangan macam ni." Ainan peluk tubuh mendengar kata-kata Aazad. Jika Aazad sanggup lakukan apa saja, ini peluangnya. Dia ingin lihat sejauh mana kesungguhan Aazad.

"Ainan nak kerja. Ainan dah buat keputusan. Abang bagi atau tak, Ainan tetap nak kerja. Ainan tak nak anak-anak Ainan mati kebulur sebab sifat tamak bini kesayangan abang tu." Nada suara Ainan masih lagi tinggi. Aazad meraup kasar wajahnya.

Dia tak rela melihat Ainan bekerja. Dia tahu Ainan tidak boleh terlalu penat. Dia tahu kondisi tubuh Ainan macam mana.

"Sayang tak boleh penat. Macam mana sayang nak kerja?" Aazad kembali menyoal. Berharap Ainan berubah fikiran. Namun Ainan hanya tertawa mendengar soalan Aazad.

"Selama ni Ainan uruskan kerja rumah sendiri. Uruskan anak-anak sendiri. Abang fikir Ainan tak penat? Abang tahu ke Ainan cukup rehat atau tidak? Ada ke abang tolong? Tak ada. Abang sendiri tak peduli pasal keperluan kami. Jadi jangan halang Ainan." Ainan terdiam seketika sebelum menyambung.

"Maaf abang. Bukan niat Ainan untuk bersikap kurang ajar. Tapi Ainan terlalu lelah dengan semua yang berlaku dalam hidup ni. Ainan harap lepas ni abang puas dapat bagi semuanya kepada anak bini abang di sana. Anak-anak Ainan adalah tanggungjawab Ainan. Kami bukan lagi tanggungjawab abang." Aazad tersepuk.

Kali ini dia benar-benar tersepuk dengan kekerasan hati Ainan. Ainan mula menidakkan haknya sebagai seorang suami dan juga ayah. Tergamaknya Ainan memperlakukannya sebegitu rupa.

Percutian yang diharapkan akan menjadi memori indah buat mereka rupanya hanya menambah luka dihati. Ainan masih dengan rajuknya. Betapa kerasnya hati Ainan ketika itu. Walau pelbagai cara Aazad lakukan, masih belum mampu untuk melembutkan hati Ainan.

Bagi Ainan, percutian itu langsung tidak membawa sebarang erti dalam hidupnya. Sakitnya dia hanya Allah SWT yang tahu.

Hatinya semakin tawar. Bagai hilang segala rasa sayang dan cinta yang disemai selama ini. Namun apabila menatap wajah Aazad yang sedang lena dibuai mimpi, pasti hatinya terusik hiba. Rindu untuk mendakap tubuh suaminya itu.

Seminggu perpisahan sementara mereka menyiksa jiwa Ainan. Hakikatnya Ainan tidak mampu berjauhan dengan Aazad. Rasa cinta dan sayangnya pada lelaki itu membuatkan dia terus menerus menerima setiap perbuatan Aazad walau perit, walau sakit.

Ainan terduduk lesu dibirai katil. Aazad hanya mampu memerhati. Hendak dihampiri, takut Ainan mengamuk.

Ainan menarik sedikit rambut depannya lalu dililit keliling jari telunjuknya. Sesekali bibirnya mengalunkan lagu.

Oh tuhan berikanlah aku

Kekuatan menempuhi dugaanMu

Aku percaya ada hikmahnya

Disetiap dugaan yang terima

Andainya hatiku bersuara

Pastinya ia akan berkata

Cukuplah sayang, aku tidak berdaya

Mengharungi segala sengsara

Berapa kali harus aku terluka

Barulah kan ku sedar

Cintaku tidak layak untuk dirinya

Mengapa masih aku setia disisinya

Tidak ku mengerti, tidak ku fahami

Seperti insan biasa aku ingin bahagia

Menyintai dan dicintai tiada duanya

Andai terlampau permintaan ku ini

Maafkanlah kasih

Ainan meraung sebaik saja menghabiskan lirik lagu itu. Hatinya sakit. Aazad tidak sanggup melihat keadaan emosi Ainan yang tidak menentu.

'Allah... dugaan apakah ini?' Aazad merintih dalam hati. Dia jatuh tersepuk melihat keadaan Ainan. Jiwa Ainan benar-benar terganggu.

Mengapa ini yang perlu berlaku? Mengapa? Aazad tak mampu untuk memujuk, apabila melihat Ainan tiba-tiba ketawa dalam linangan air mata. Dia dihimpit rasa bersalah.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status