Share

Bab 7

SUDAH seminggu Aazad tidak pulang ke rumah. Selama seminggu itu jugalah Ainan tidak menjawab sebarang panggilan mahupun W******p darinya. Mujur saja Syazana tidak terus menerus memarahinya.

"Sya kesian kat akak. Sekarang ni dia kerap termenung. Selera makan pun tak ada. Mak dengan ayah tak bagi balik tapi akak tetap nak balik. Jadi, mak minta Sya temankan akak sepanjang abang tak ada." Aazad mengeluh kesal mendengar khabar yang diterima daripada Syazana.

Aazad telah memaklumkan kepada mak dan ayah mertuanya bahawa dia tidak akan pulang ke rumah bagi memberi ruang kepada Ainan untuk bertenang. Namun, dia sendiri tidak menyangka tindakannya membuatkan Ainan semakin tertekan.

Khuatir dengan keadaan Ainan, Aazad terus memohon cuti kecemasan beberapa hari bagi menenangkan emosi Ainan. Mungkin silapnya kerana mengasingkan diri. Adakalanya dia buntu untuk berhadapan dengan emosi Ainan yang dirasakan tidak menentu.

"Sya... abang nak minta tolong boleh?" Aazad menghubungi Syazana sebelum dia bergerak balik ke rumah.

"Abang nak minta tolong Sya tengokkan anak-anak untuk sehari dua ni. Abang nak bawa Kak Ainan bercuti." Aazad meluahkan permintaannya.

"Sya tak kisah. Tapi abang janji abang jangan buat akak stress. Nanti boleh tak abang datang rumah ayah dulu? Sya ada benda nak bagitahu abang. Penting sangat." Aazad mula berasa gundah mendengar permintaan Syazana.

Syazana sememangnya tidak bekerja kerana tidak dibenarkan oleh ayahnya. Jadi Syazana hanya duduk di rumah sambil menjalankan perniagaan atas talian.

Aazad memandu pulang menuju ke rumah mertuanya. Sampai saja di sana, Safwan terus menyambut kepulangannya. Tubuhnya didakap erat. Erat seeratnya seperti tidak mahu dilepaskan tubuh Aazad. Aazad berkali-kali mencium pipi Safwan.

Saat kakinya melangkah masuk ke dalam rumah, Umairah yang baru bertatih itu terkedek-kedek mendapatkannya. Aazad terus mendukung Umairah bersamanya senyuman di bibir. Pipi anak kecil itu dikucup berkali-kali melepaskan rindu.

Matanya melilau mencari kelibat Ainan. Namun, sia-sia.

"Kak Ainan dekat rumah. Dia tak nak datang sini. Dasuki dah empat hari demam. Hari ni baru kebah demamnya," Syazana menjelaskan kepada Aazad. Maimun mendapatkan Umairah.

"Aazad duduklah dulu. Mak buatkan air." Aazad hanya mengangguk sambil melabuhkan punggungnya di atas sofa.

"Ayah mana?" soal Aazad. Syazana terdiam seketika memerhatikan Aazad.

"Ayah pergi surau. Kejap lagi baliklah tu." Aazad hanya mengangguk. Maimun datang menatang air dan sedikit kek lalu di letakkan di atas meja kopi.

"Jemput minum ye Aazad," pelawa Maimun.

"Terima kasih mak. Buat susah mak je." Aazad terasa malu dengan dirinya. Layanan keluarga Ainan kepadanya tak pernah kurang.

"Mak nak tunggu ayah balik ke?" soal Syazana. Maimun diam seketika.

"Aazad tak kisahkan tunggu ayah balik?" Aazad mula berdebar. Bagai ada sesuatu yang berat untuk disampaikan kepadanya.

"Tak apa mak. Aazad boleh tunggu." Safwan ralit bermain dengan jari jemari Aazad. Sesekali Aazad menangkap tangan Safwan. Maka, mengekeklah Safwan keriangan.

"Assalamualaikum." Kedengaran salam diberi. Aazad terus memandang kearah pintu seraya menjawab salam.

"Dah lama ke sampai?" soal Bahrom saat Aazad menyalaminya.

"Baru je, ayah." Aazad mengambil semula duduknya selepas Bahrom duduk disisi Maimun.

"Apa sebenarnya masalah kamu?" Tanpa sebarang mukadimah, Bahrom terus bertanya. Tertunduk Aazad tidak terkata.

"Pagi tadi ayah bawa Ainan ke klinik. Doktor sahkan Ainan mengalami depress." Tersentak Aazad mendengar penjelasan Bahrom.

"Semalam akak kelar tangan dia. Mujurlah Sya terjaga masa tu. Sempat halang akak. Cuma luka sikit je." Aazad tercengang. Tak disangkanya Ainan akan bertindak begitu.

"Mungkin salah kami juga sebab buat Ainan selalu tertekan sebelum ni. Ayah pun tak sangka sampai ke tahap macam ni." Aazad tak tentu arah.

"Aazad nak balik. Ainan dengan Suki je dekat rumah. Mak, ayah, Sya, Aazad minta tolong jagakan anak-anak Aazad untuk beberapa hari ni. Nanti Aazad hantar Suki dekat sini ye." Terkocoh-kocoh Aazad menyalami mak dan ayah mertuanya lantas mencium anak-anaknya sebelum bergegas pulang.

* * * * *

BETAPA bosannya hidup seorang Ainan. Ainan ketawa mengekek. Entah apa yang melucukan, dia sendiri tak pasti.

Semenjak bersalinkan Safwan hanya Ainan berubah sepenuhnya. Tiada lagi kawan-kawan. Yang ada hanyalah suami, anak-anak dan keluarga. Dunianya hanya di rumah bersama anak-anak.

Dulu dah biasa pegang duit sendiri. Tapi bila tidak bekerja, hidupnya jadi sedikit huru-hara. Apatah lagi terpaksa bercatu macam-macam keperluan. Malah kehendak dan keinginannya juga terpaksa diabaikan demi anak-anak.

Pada awalnya tak terasa sangat sebab masa tu Ainan masih mempunyai simpanan. Dasuki juga menerima nafkah setiap bulan walaupun adakalanya, Ainan terpaksa mengingatkan berkali-kali mengenai nafkah Dasuki kepada bekas suaminya.

Bukit kalau ditarah hari-hari pun boleh jadi rata. Inikan pula simpanannya. Pada Ainan, bukanlah menjadi satu bebanan sebagai suri rumah sepenuh masa. Cuma adakalanya dia juga ingin seperti orang lain. Dapat memenuhi keinginan dan kehendak hati.

Semenjak mendirikan rumahtangga dengan Aazad, Ainan tidak lagi bersosial seperti dulu. Dia lebih banyak menumpukan perhatian pada rumahtangganya. Anak-anak adalah penghiburnya. Suka duka mereka kongsi bersama.

Punyai suami tapi bagaikan hidup sendiri. Dirinya seringkali tidak dipeduli. Apatah lagi perasaannya. Ainan sering tertanya di mana silapnya. Dia sendiri tidak mengerti. Adakah dia bukan yang terbaik buat Aazad.

"Tak takut ke karma berkahwin dengan suami orang?"

Itulah soalan yang seringkali diajukan kepadanya. Namun pada Ainan, setiap perbuatan tak kira sama ada baik atau buruk pasti akan mendapat balasan yang setimpal.

"Inilah karma untuk kau. Sebab tu hidup kau macam ni. Sebab kau perampas suami orang. Kau hancurkan rumahtangga orang lain."

Ainan berperang dengan perasaan sendiri. Air matanya tumpah entah buat kali yang keberapa. Andai itulah hukuman buatnya, dia terima. Karma atau tidak, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Jatuh bangunnya seorang Ainan, hanya dia yang tahu. Orang lain yang tidak melalui tidak akan tahu apa yang dia rasa. Apa yang dia tanggung. Selama ni, Ainan hanya mempamerkan yang indah. Tiada siapa tahu kedukaannya.

Dia mempunyai enam orang anak tiri. Yang sulong dah besar panjang. Dah bekerja dan bakal berkahwin tak lama lagi. Yang nombor dua pula sedang menuntut di UiTM. Nombor tiga, jadi kutu rayau. Tiga lagi masih dibangku sekolah.

Ainan tidak boleh berkata lebih-lebih mengenai anak-anak tirinya. Jika tidak, dia terpaksa berdepan dengan amukan Aazad. Aazad bukanlah seorang yang boleh menerima jika sesiapa saja bercakap mengenai anak-anaknya dengan isteri pertama. Dia tak akan terima walau perkara itu adalah kebenaran.

Saat anak tiri keduanya kehabisan duit untik belanja makan, Ainan tidak teragak-agak untuk masukkan ke akaun bank anak tirinya itu. Pada Ainan  ansk tiri tetap anaknya.

Tapi tidak untuk Dasuki. Aazad tidak pernah menganggap Dasuki seperti anak. Bahkan Dasuki sentiasa berasa tersisih. Nampak mentah, tapi dia sudah mengerti. Sebelum munculnya Aazad, Dasukilah yang bersamanya mengharungi segala macam dugaan hidup ini. Dasukilah punca kekuatan Ainan selama ini. Jikan bukan kerana Dasuki, pastinya sudah lama Ainan bunuh diri akibat tertekan.

Saat itu pada Ainan, hidup sebagai janda bukanlah mudah. Fitnah sepanjang masa.

Korang tahu tak, hidup sebagai janda ni fitnah sepanjang masa?

Ainan berdiri di depan cermin. Merenung dirinya yang tidak terurus. Rambut mengerbang macam hantu Kak Limah. Namun sedikit pun dia tidak peduli.

"Puan tak boleh stress. Dari pemeriksaan saya, puan sedang mengalami tekanan. Jadi saya mohon untuk puan kawal diri puan. Puan sendiri tak nak makan ubat yang saya bekalkan. Jadi puan kena pandai kawal emosi." Lembut sekali Dr. Zubaidah memujuk.

Ainan menarik nafas panjang apabila mengingati pesanan doktor itu. Sudah lama dia menjadi pengunjung tetap Klinik Zubaidah dan Rakan-Rakan. Dari dia kecil sehinggalah sudah beranak pinak.

Ainan meraung sendirian mengenang nasib diri. Tidak lama kemudian, dia ketawa pula. Emosinya bercampur baur. Beberapa minit kemudian dia diam. Kembali memerhati pantulan imejnya di dalam cermin di depannya.

"Aku ni dah gila ke?" soal Ainan kepada dirinya sendiri. Dia tersenyum kemudian ketawa. Tidak lama wajahnya berubah murah.

"Eh... tak. Aku tak gila. Aku tak gila." Ainan masih berinteraksi dengan pantulan dirinya.

"Ya... kau tak gila. Doktor cakap kau cuma tertekan je. Tekanan perasaan." Ainan semakin ralit bersembang dengan dirinya sendiri.

Beberapa saat kemudian dia menangis hiba. Bukan mudah hidup sebagai seorang Ainan. Orang tidak tahu betapa hebatnya dugaan yang terpaksa dilaluinya.

"Allah uji kau, sesuai dengan kemampuan diri kau sendiri." Ainan memujuk dirinya.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status