Share

BAB 6

RIDHWAN memerhatikan cermin di depannya. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia segera melangkah keluar. Cuti begini, bosan pula duduk di rumah. Kebetulan barang dapur dan juga makanan ringan di rumahnya sudah habis, jadi dia menggunakan cuti ini untuk mendapatkan keperluannya.

"kau nak ke mana?" sapa Karim. Terkejut Ridhwan dibuatnya.

"Nak beli baranglah. Tu kat dapur tu barang banyak dah takde. Kau ni tak kerja ke?" Ridhwan yang sedang mengikat tali kasut memandang Karim yang masih berseluar pendek.

"Aku cutilah hari ni. Tukar cuti dengan Si Becok tu. Ada hal katanya jumaat ni. Tu yang minta tukar cuti dengan aku." Ridhwan hanya mengangguk mendengar jawapan Karim.

"Kau keluar dengan siapa?" Ridhwan memandang pelik wajah Karim.

"Aku ada awek ke nak keluar dengan awek?" soal Ridhwan kasar.

"Manalah tahu. Kalau sorang tunggu aku siap boleh tak? Kau nak beli barang apa je pakai motor tu?" Ridhwan menjulingkan matanya ke atas. Mentang-mentang dia cuma ada motor je. Sedap mulut je cakap macam tu.

"Cepatlah. Kau lambat aku tinggalkan kau. Dahlah bersiap kalah pompuan." Karim tersengih sebelum berlalu masuk ke dalam biliknya. Usai bersiap, dia segera mendapatkan Ridhwan.

"Hoi, Kau tak mandi ke?" soal Ridhwan apabila melihat Karim yang telah berpakaian kemas.

"Hello, tolong sikit eh. Aku awal pagi lagi dah mandi. Kau membuta, apa kau tahu." Geram pula Karim dengan tuduhan Ridhwan.

"Ha, yelah tu. Bukan boleh percaya kau ni." Ridhwan masih galak menyakat.

"Kau jangan macam-macam eh. Aku tumbuk muka kau baru tahu." Ridhwan ketawa geli hati melihat Karim marah.

"Dahlah. Jom cepat. Petang ni aku nak layan movie pulak." Ridhwan segera mengunci pintu rumah.

"Mana?" soal Karim apabila mereka telah berada di dalam kereta.

"Tescolah. Nak pergi mana lagi?"

"Manalah tahu kot kau nak tukar angin ke kan? Sejak kebelakangan ni aku tengok makin smart je." Ridhwan menepuk kepala Karim. Faham benar dia apabila Karim ingin menyakatnya.

"Jangan nak macam-macam. Takde maknanya." Karim ketawa berdekah.

Itulah Ridhwan apabila cuba disakat mengenai perempuan. Ada je jalan nak melarikan diri.

"Wan, minggu depan aku nak balik kampung tau. Cuti aku dah lulus. Lama dah aku tak balik tengok orang tua aku." Karim tetap fokus dengan pemanduannya.

"Berapa lama kau balik?"

"Seminggu. Sebab khamis malam jumaat, mak aku nak buat tahlil." Ridhwan mengangguk faham.

"Bosanlah aku, kau takde. Dengan siapa pulak aku nak bertekak?" Karim ketawa kecil.

"Kau ni macam takde kawan lain pulak, kan?" Ridhwan tersengih mendengar kata-kata Karim.

"Memanglah ada je kawan. Kau rasa dengan kerja aku macam ni, ada masa ke aku nak melepak? Cuba bagitahu sikit." Karim tersengih.

"Yelah. Aku nak tanya sikit ni. Tapi kau jangan marah pulak." Ridhwan kerut dahi.

'Soalan apa pulalah Si Karim ni nak tanya.' Detik hati Ridhwan. Bukan boleh percaya sangat.

"Apa dia?" Karim tarik nafas panjang.

'Janganlah Si Wan ni mengamuk.' Karim berkira-kira untuk meneruskan pertanyaannya sehinggalah kedengaran Ridhwan berdecit. Tersengih dia memandang Ridhwan sekilas.

"Kau memang tak fikir nak kahwin ke? Umur kau dah lebih tiga puluh tahun kot." Ridhwan terdiam mendengar soalan Karim.

Dia membuang pandangannya keluar tingkap. Susah untuk orang faham situasinya saat itu. Dia bukan sengaja. Dia bukan suka-suka untuk membujang sehingga kini.

Dia punya tanggungjawab. Dia tidak punya masa untuk memikirkan soal kahwin. Bukannya dia tidak punyai kawan perempuan.

"Aku bukan gay ye kalau itu yang kau fikirkan." Entah mengapa ayat itu yang keluar dari mulut Ridhwan. Karim ketawa besar. Meleleh air matanya.

"Bila masa pulak aku cakap kau gay? Wan, tahun depan aku nak bernikah dah tau. Aku ni lagi muda dari kau. Patut kau dah fikir soal masa depan kau. Soal hala tuju hidup kau." Panas pula telinga Ridhwan mendengar kata-kata Karim.

"Kau takde kat tempat aku. Kau tak hadap apa aku rasa. Aku ada mak yang perlu aku tanggung. Ada abang yang perlu aku bagi makan. Aku sorang je yang cari nafkah. Zaman sekarang bukan senang nak cari pompuan yang betul-betul ikhlas terima keadaan aku." Ridhwan mengeluh. Bukan menyesali nasibnya.

"Aku minta maaf, Wan. Aku tahu apa kau kena hadap. Tapi aku tak sangka sejauh tu kau fikir." Karim serba salah. Lebih tiga tahun hidup serumah, jadi sedikit sebanyak dia tahu apa yang terpaksa Ridhwan lalui.

"Kau tahu tak, aku banyak dengar cerita bila kita ni sebagai lelaki kahwin, bini control. Aku tak nak macam tu. Katalah aku kahwin lepas tu bini aku tak bagi aku bagi abang aku makan. Macam mana?" Ridhwan mengeluh. Karim tak faham apa yang bermain difikirannya.

"Hye dude, buka semua pompuan macam tulah." Karim cuba menyakinkan Ridhwan.

"Ye aku tahu. Tapi untuk cari yang betul-betul ikhlas zaman sekarang ni, mungkin satu dan seribu kot." Ridhwan tetap pertahankan pendiriannya. Karim mengeluh.

"Kalau itu yang kau fikirkan, memang susahlah. Apa pun aku harap satu hari nanti Allah temukan kau dengan jodoh yang terbaik buat kau," kata Karim sambil menepuk bahu Ridhwan.

Tali pinggang keselamatan dilepaskan sebaik saja enjin kereta dimatikan. Mereka sama-sama melangkah keluar masuk ke dalam Tesco untuk membeli keperluan dapur.

* * * * *

AINAN bergegas ke sekolah Dasuki sebaik saja mendapat panggilan dari Cikgu Kila yang memberitahu Dasuki demam. Safwan dan Umairah ditinggalkan bersama Syazana.

"Maaf cikgu. Saya betul-betul tak tahu yang Dasuki demam. Pagi tadi elok je." Ainan rasa bersalah kerana telah menyusahkan guru tadika Dasuki.

"Ish... takpe mama. Baru je kejap tadi dia cakap mata dia panas. Baru lagi demamnya ni. Mama bagi dia rehat ye." Tersenyum manis Cikgu Kila cuba menghilangkan rasa bersalah Ainan.

"Dasuki balik rehat, okey? Makan ubat tau. Nanti dah sihat baru datang sekolah. Boleh?" Cikgu Kila membongkokkan sedikit badannya untuk bercakap dengan Dasuki.

"Okey, cikgu," jawab Dasuki lemah. Kepalanya terasa berat. Badannya juga semakin membahang.

"Kami minta diri dulu ye cikgu." Ainan memegang erat tangan Dasuki. Dia perlu bawa Dasuki ke klinik.

Tiba-tiba langkah Ainan terhenti. Dia memandang Dasuki dengan perasaan bersalah. Dompet yang berada dalam poket seluarnya digenggam erat. Hancur luluh hatinya ketika itu.

"Mama, Suki tak larat nak jalan." Ainan segera mengendong Dasuki. Mujur saja Dasuki kurus. Jika tidak, mana maunya Ainan mengendong Dasuki.

"Mama beli panadol. Kita balik rehat okey." Ainan mencapai telefon bimbit yang diletakkan di dalam poket belakang, lalu mengirimkan pesanan ringkas kepada Syazana.

Ainan terus pulang ke rumah sebaik saja mendapatkan panadol untuk Dasuki. Dibukanya pakaian Dasuki lalu dibawa masuk ke dalam bilik air. Dimandikan Dasuki agar panasnya berkurangan.

"Suki dah makan?" soal Ainan ketika memakaikannya baju. Dasuki mengangguk sebagai jawapan. Dirinya tidak berdaya untuk menjawab soalan Ainan.

Ainan ke dapur mengambil secawan air suam lalu mendapatkan semua Dasuki yang sedang terbaring di dalam bilik.

Panadol disuakan kepada Dasuki. Sebaik saja Dasuki selesai menghabiskan panadol yang dikemamnya, Ainan mengarahkan supaya Dasuki berehat. Tak sampai lima minit, Dasuki terus terlena.

Ainan ke ruang tamu, kembali menyambung kerjanya yang terbengkalai tadi sementara menunggu Syazana menghantar Safwan dan Umairah.

Memandangkan Safwan dan Umairah tiada, Ainan segera menyiapkan apa yang patut. Jika mereka pulang, jawabnya lambatlah siap segala kerja rumah Ainan.

Ainan tersenyum lega apabila dia sudah siap masak. Pakaian di dalam mesin basuh juga telah siap dijemur. Ainan merehatkan badannya di atas sofa. Hampir saja dia terlena ketika mendengar Syazana memberi salam.

"Sorry lambat. Safwan ajak singgah taman dulu. Makan ais krim." Syazana ketawa riang. Safwan yang kelihatan comot dengan sisi ais krim hanya tersengih.

"Oh... paw mummy ye. Nakal eh anak mama ni," seloroh Ainan. Safwan mengekek ketawa. Faham apa yang dikatakan oleh Ainan.

"Sedap," ujar Safwan sambil menaikkan ibu jarinya.

"Dah. Masuk bilik air dulu. Mama ambil tuala. Kita mandi, okey?" Safwan mengangguk lalu meluru ke bilik air.

"Sya tengokkan Umairah. Dia nak tidur ni. Akak pergilah mandikan Saf dulu." Ainan sedikit lega mendengar tawaran Syazana.

Syazana dapat melihat betapa Ainan sengsara tanpa Aazad disisinya. Berlari Safwan keluar dari bilik air mendapatkan Syazana yang sedang menonton TV.

"Budak bertuah. Terkejut mummy." Syazana yang terperanjat segera mengeletek Safwan.

"Saf, mari sini pakai baju." Ainan memanggil Safwan masuk ke dalam bilik.

"Nak mummy." Ainan geleng kepala. Akur dengan kehendak Safwan. Lampin pakai buang dan juga baju Safwan diserahkan kepada Syazana.

Dia bertubuh memiliki keluarga yang sentiasa bersamanya tak kira susah mahu pun senang. Dia juga bersyukur kerana Syazana tak pernah berkira memghulurkan bantuan kepadanya.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status