Share

Bab 5

AAZAD tergesa-gesa mencari Ainan di wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya. Hampir luruh jantungnya apabila Syazana memarahinya.

"Abang dengar tak ni? Abang pergi mana tinggalkan Kak Ainan dekat rumah sorang-sorang? Abang tak tahu ke Kak Ainan tak sihat? Blood pressure dia low lagi!" Terkedu Aazad mendengar jerkahan Syazana. Memang dia sedar sejak akhir-akhir ni Ainan sentiasa lesu. Malah wajahnya juga sering pucat. Namun, Ainan tidak pernah mengadu apa-apa kepadanya membuatkan dia berfikir Ainan baik-baik saja.

"Abang tak tahu. Kak Ainan takde bagitahu abang apa-apa pun." Lemah sekali suara Aazad. Syazana merengus geram.

"Macam mana nak bagitahu kalau abang langsung tak ambil berat pasal Kak Ainan? Bukan Sya tak tahu abang sibuk dengan handphone," ucap Syazana kecewa. Sungguh dia kecewa dengan sikap Aazad yang selalu lepas tangan. Langsung tak peduli akan kesihatan Ainan.

"Kak Ainan ada dekat wad emergency PPUM. Dia cakap kepala dia berpusing, sedar-sedar dah berdarah kepala. Dengan anak-anak menangis menjerit-jerit masa tu. Dia call abang berpuluh kali takde satu pun abang jawab. Semua abang reject." Aazad mengeluh kesal. Dia sedar ada panggilan masuk dari Ainan. Tapi kerana memandu, dia terpaksa menolak panggilan daripada Ainan. Dia bukan sengaja. Memang ketika memandu dia tidak menjawab sebarang panggilan yang masuk.

Aazad segera menghampiri Ainan apabila terlihat Ainan diruang menunggu. Jelas terpancar keletihan di wajah Ainan.

"Ainan..." Sayu hati Aazad melihat Ainan yang termenung disisi Syazana. Namun Ainan sedikit pun tidak menoleh memandangnya. Ainan hanyut dengan dunianya sendiri.

"Sya nak pergi tandas kejap ye kak." Syazana terus meninggalkan Ainan dan Aazad berdua untuk memberi ruang mereka bersembang.

"Kenapa boleh jadi macam ni?" soal Aazad lembut. Tangan Ainan digenggam erat. Ainan hanya menjungkit bahu sebagai jawapan. Hatinya sakit. Hari demi hari, Aazad semakin bersikap acuh tak acuh dengannya. Entah dimana silapnya. Dia sendiri tidak pasti.

Sakit, pening, letih, semua dia tanggung sendirian. Bahkan ketika dia mengadu beberapa hari lepas, Aazad seakan tidak peduli. Tetap juga menatap telefon bimbit. Benarlah semakin canggih teknologi, manusia semakin hanyut. Tidak peduli apa yang berlaku disekeliling.

"Doktor cakap apa?" Aazad masih menyoal.

"Tak penting pun pada abang." Aazad terpukul mendengar jawapan Ainan.

"Ainan... kenapa cakap macam tu?" Ainan senyum sinis mendengar soalan Aazad.

"Tak apa. Ainan okey. Tak perlu risau. Ainan boleh jaga diri sendiri." Sengaja Ainan menekankan perkataan sendiri. Aazad meraup kasar wajahnya.

"Ainan, abang minta maaf. Abang tengah drive tadi sebab tu abang tak jawab call Ainan. Ainan pun tahukan yang abang takkan jawab sebarang panggilan masa tengah memandu." Aazad cuba menerangkan situasi sebenar namun, Ainan hanya tersenyum. Tangan kanannya memegang lembut tangan Aazad.

"Ainan dah tak kisah dah, abang. Ainan tahu Ainan tak penting pun dalam hidup abang. Ainan tahu, abang kahwin dengan Ainan pun sebab onar yang bini abang buat pada Ainan. Ainan tahu semua tu. Jadi, abang tak perlu nak rasa bersalah. Ainan bebaskan abang dari semua rasa bersalah tu. Ainan juga bebaskan abang dari semua tanggungjawab kepada Ainan dan anak-anak jika itu yang terbaik. Antara Ainan dan abang, Ainan serahkan pada abang. Ainan serahkan pada takdir. Ainan dah letih." Dalam senyum Ainan meluahkan.

Hatinya sendiri terguris dan terluka dengan bicaranya namun, dia terlalu lelah untuk mengadapi masalah rumahtangga mereka. Mungkin kerana usianya yang masih muda jika nak dibandingkan dengan Aazad yang telah banyak pengalaman.

Wajah Aazad berubah. Dia terkedu mendengar kata-kata Ainan. Bukan itu yang dia harapkan. Sungguh dia menyayangi Ainan sepenuh hati. Dia menyintai Ainan setulus jiwanya.

Perkahwinannya dengan Ainan bukan sekadar atas dasar menjaga maruah Ainan. Bukan atas dasar sumpahan yang dia buat terhadap Imah tetapi tulus dari hati.

Dia terpesona dengan kelembutan Ainan. Terpesona dengan perwatakan Ainan. Walau seteruk mana pun fitnah yang ditabur Imah, Ainan sentiasa menyantuni anak-anaknya dengan baik.

Jika orang lain, mungkin saja tidak mengendahkan anak-anaknya kerana sakit hati dengan sikap dan perbuatan Imah. Tapi Ainan berbeza meskipun ketika itu Ainan seorang janda muda yang cukup sosial.

"Kenapa Ainan hukum abang macam ni?" Ainan tersenyum. Dia bukan mahu menghukum. Dia tahu dia tidak punya apa-apa hak untuk menghukum.

"Bukan kerja Ainan untuk menghukum abang. Ainan bukan tuhan. Ainan cuma manusia biasa yang tak punya apa-apa. Ainan tak mampu bahagiakan abang seperti mana bini abang bahagiakan abang." Lepas satu lagi beban perasaan yang ditanggungnya.

Aazad benar-benar terpukul dengan kata-kata Ainan. Hakikatnya dia merasakan dirinya seorang lelaki yang tak berguna apabila melihat Ainan begitu. Mendengar luahan hati Ainan cukup membuatnya terluka.

Ketika nama Ainan dipanggil dibahagian farmasi, Aazad ingin bangun tetapi dihalang oleh Ainan.

"Tak perlu susahkan diri abang. Ainan boleh uruskan sendiri." Ainan terus menuju ke kaunter farmasi. Sekali lagi Aazad terhenyak dengan kata-kata Ainan.

Aazad mendapatkan Syazana yang baru tiba dari bilik air. Dia tidak kuat untuk berdepan dengan rajuk Ainan.

"Sya, tolong tengok-tengokkan Kak Ainan. Abang tak boleh nak dekat dengan Kak Ainan. Abang minta maaf. Bukan abang nak lepaskan tanggungjawab abang. Tapi, abang tahu Kak Ainan perlukan masa untuk bersendirian tanpa abang." Syazana tercengang mendengar permintaan Aazad.

Aazad sempat menghulurkan telefon bimbit Ainan kepada Syazana. Bingung Syazana ketika itu. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku ketika ketiadaannya.

Syazana hanya melihat Aazad berlalu pergi sebelum dia mendapatkan Ainan yang berada di kaunter farmasi.

"Dah. Jom balik." Ainan langsung tidak mengendahkan ketiadaan Aazad. Dia tidak peduli dan tidak mahu ambil tahu. Syazana hanya memerhatikan tingkah Ainan.

"Akak tidur rumah ayah ye malam ni?" soal Syazana seakan memujuk. Ainan hanya mengangguk lemah.

Masuk saja ke dalam perut kereta, Ainan membuang pandangan keluar tingkap. Dia langsung tidak mahu berbicara. Fikirannya menerbang jauh.

Syazana yang sedang memandu sesekali menoleh kearah Ainan. Sedih hatinya melihat keadaan Ainan begitu. Entah mengapa begitu sukar untuk kakaknya mengecap bahagia. Syazana ketap bibir menahan sebak di dada. Dia harus sentiasa memberi kekuatan kepada Ainan.

"Kak... kak... kita dah sampai ni." Berkali-kali Syazana memanggil Ainan. Akhirnya Syazana menepuk peha Ainan. Tersentak Ainan dengan tindakan Syazana.

"Akak menung apa? Kita dah sampai ni." Ainan tidak menjawab, sebaliknya terus melangkah keluar dari perut kereta. Perbuatan Ainan tidak ubah seperti orang bodoh.

Fikirannya kosong. Jiwanya juga kosong. Semangatnya juga entah hilang kemana. Syazana risau melihat perubahan Ainan.

Ainan berjalan menuju ke lift tanpa sepatah kata. Dia ibarat patung yang tak bernyawa ketika itu. Terasa seperti putus harapan untuk terus hidup.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status