Share

Bab 6

WAJAH ceria mak cik Salmah aku perhatikan dengan penuh minat. Wanita seusia mama itu nampak tenang saja wajahnya. Kalau diperhatikan, wajah Zarif tidak banyak persamaan dengan ibunya. Lagi-lagi hidungnya. Mak cik Salmah berhidung jambu, hidung kebanyakkan orang Melayu, berbeza dengan Zarif yang berhidung mancung. Mungkin Zarif banyak ikut muka arwah ayahnya kot.

Aku perhatikan pula Zafirah, adik Zarif yang duduk di hadapanku. Dia juga nampak tenang menyuap nasi ke dalam mulut. Mukanya menyerupai mak cik Salmah, cuma versi lebih muda. Manis orangnya. Zafirah mengangkat wajahnya dan mata kami saling berlaga. Aku senyum dan meneruskan suapanku. Zafirah juga membalas senyumanku. Sesekali dia mengerling Zarif yang duduk di sebelahku.

Selepas insiden air panas terpercik di tanganku, aku diarahkan duduk sahaja sambil Zafirah menuam tanganku dengan kain tuala yang direndam dengan air sejuk. Takut benar Zarif tanganku akan berparut akibat kejadian tadi. Bagiku, perkara tersebut perkara biasa bila bekerja di dapur.

"Fish, nanti senang-senang datanglah ke sini lagi," pelawa mak cik Salmah. Dia sudah berhenti makan. Sudah kenyang, mungkin. Nasi di pinggannya juga tinggal sedikit.

"Ibu... cik-"

"Insyaallah, mak cik." Cepat aku menabur janji sebelum Zarif sempat menegur ibunya. Sudah pasti dia tidak selesa aku datang lagi ke rumahnya, kan? Tapi, aku dah berniat dah nak datang lagi untuk jenguk mak cik Salmah dan hulurkan bantuan apa yang termampu.

Aku cepat tersentuh tengok orang susah. Tak dapat aku bayangkan bagaimana mak cik Salmah bergerak dengan tiada kedua belah kakinya sepanjang Zarif keluar bekerja. Tadi pun Zarif yang mengangkat ibunya ke meja makan. Lagi satu, mesti mak cik Salmah tidak selesa dengan memakai lampin pakai buang hampir sepanjang masa.

"Kak Fish datang sini baru nampak abang banyak ketawa, tau."

"Adik!"

Aku kerling wajah merah Zarif. Tak pasti dia malu atau marah dengan kenyataan Zafirah. Aku ketawa bersama Zafirah. Baru dua kali aku melihat Zarif ketawa sepanjang aku mengenalinya.

"Ibu dah kenyang?" Soalan Zarif dijawab dengan anggukan mak cik Salmah.

Aku perhatikan saja Zarif yang menghabiskan nasi dan ayam goreng di pinggan mak cik Salmah. Sempat juga dia memasak nasi dan menggoreng ayam serta menyediakan sup sayur selepas selesai membuat jala emas tadi. Tak sempat aku nak mengulang aksi menjala ekoran tangan yang sedikit melecur terkena air panas tadi.

Selesai makan, Zarif mengangkat pinggan ke dapur. Kedengaran bunyi pili air dibuka. Sudah pasti Zarif sedang mencuci pinggan mangkuk yang ada. Peralatan membuat puding raja tadi juga masih belum sempat dibasuh. Bertuah sungguh mak cik Salmah ada anak sebaik Zarif.

"Zarif tu memang macam tu. Kadang kala mak cik rasa dia terlalu manjakan makcik." Mak cik Salmah ketawa kecil. Aku hanya senyum sambil menghabiskan nasi yang berbaki di dalam pinggan.

"Mak cik minta maaf kalau sepanjang Zarif berkerja di restoran Fish, dia ada buat perkara-perkara yang kurang menyenangkan Fish sebagai majikan." Wajah ceria mak cik Salmah berubah suram.

"Ish... tak adalah mak cik. Zarif tu salah seorang pekerja terbaik saya pernah ada."

“Kalau akak nak tau, majikan abang sebelum ni teruk. Abang nak balik rumah pun dia tak bagi, tau. Dahlah-”

“Adik, tak baik cakap macam tu.” Cepat-cepat mak cik Salmah potong kata-kata Zafirah. Nampaklah riak tidak puas hati Zafirah.

“Macam mana sekalipun bekas majikan abang sebelum ni, dia dah banyak tolong kita.” Tegas suara mak cik Salmah.

“Tolong apa? Sampai kadang-kadang adik kena ‘tuang’ kelas sebab abang susah nak balik atau cuti.” Zafirah sudah mencebik. Aku pula yang rasa serba salah melihat wajah mendung mak cik Salmah.

“Kalau abang tak kerja, mana dia dapat nak tanggung makan minum kita? Sekolah adik? Jadi, walau macam mana sekalipun bekas majikan abang sebelum ni, melalui doranglah abang cari rezeki. Bersyukur, jangan banyak merungut.”

Aku hanya senyum nipis ke arah Zafirah. Dia pula hanya mengangguk. Mungkin masih tidak berpuas hati dengan kata-kata ibunya, namun tidak pula dia membalas semula. Bagus tingkahlaku mereka dua beradik. Hormat kepada syurga mereka.

“Apa maksud Ira yang Zarif susah balik? Dia kerja jauh ke sebelum ni?” Setahu aku, sebelum bekerja denganku Zarif bekerja di Jebat Café. Atau mungkin apa yang Zafirah maksudkan pekerjaan Zarif sebelum itu lagi?

“Eh, taklah… abang kerja kat Jebat Café tulah. Cumanya, abang tak dibenarkan balik sekejap sebelah petang, macam sekarang.”

“Oh ya, kenapa Zarif balik dalam jam 3.30 hingga 5.00 petang setiap hari?” soalku sedikit teruja. Terlontar juga persoalan yang sudah lama bermain di benak fikiranku. Nak dapatkan jawapan daripada Zarif macam mustahil pula. Pendiam dan perahsia orangnya. Cuma hari ini baru aku nampak sisi Zarif yang banyak cakap berbanding biasa.

“Zarif tak bagitau Fish sebab apa dia balik?” soal mak cik Salmah.

Aku geleng. Muka mak cik Salmah nampak serba salah.

“Habis tu macam mana Fish boleh benarkan Zarif balik? Mak cik ingatkan dia dah bagitau Fish.”

Aku ketawa kecil. “Tak jadi masalah pun Zarif keluar masa tu. Sebab masa tu dekat café tak sesak sangat.”

“Oh… harap tindakan Zarif tak menyusahkan Fish.”

“Tak, mak cik. Zarif pekerja yang rajin. Sebelum dia balik dia akan selesaikan kerja-kerja dia dulu. Langsung tak susahkan Fish.” Aku meyakinkan mak cik Salmah. Tak naklah dia fikir yang bukan-bukan pula.

“Sebenarnya, Zarif balik tu sebab nak uruskan mak cik. Sejak mak cik kena potong kaki ni, mak cik terpaksa solat jamak suri. Dialah yang tolong mandikan mak cik, tolong mak cik untuk solat semua. Makanan pula memang dia dah siapkan awal-awal lagi sebelum pergi kerja.”

“Jamak suri?” Berkerut dahiku mendengar perkataan yang baru keluar daripada mulut mak cik Salmah. Tidak pernah pula aku mendengar istilah jamak suri sebelum ini. Yang aku tau jamak taqdim atau jamak ta’khir.

“Jamak suri ni, kita melewatkan Zohor atau Maghrib hingga ke akhir waktu dan solat Asar dan Isyak di awal waktu.”

“Oh… Fish tak pernah tau pula selama ni.” Terasa jahilnya aku bab-bab agama ni. Banyak lagi benda yang aku tak tahu.

“Kami pun tak tau sebelum ni kak. Nasib baik ada ustazah Sarifah yang bagitau.” Aku hanya angguk. Mungkin ustazah Sarifah tu ustazah di sekolah Zafirah kot.

“Ustazah kata, solat jamak suri ni dibolehkan dalam beberapa keadaan. Salah satunya sebab sakit. Macam ibu, dia pakai pampers… jadi perlukan masa yang agak lama nak bersiap untuk solat. Lagipun nak ganti pampers tiap kali masuk waktu tu makan kos tinggi. Tak pakai pampers pula abang Zarif bukan sentiasa ada kat rumah nak tolong ibu ke tandas,” sambung Zafirah lagi.

“Solat Maghrib dengan Isyak, siapa pula tolong makcik?” Aku perhatikan muka Zafirah. Larat ke gadis kecil molek ni uruskan ibunya seperti Zarif? Sebab Zarif hanya balik jam 10 malam dari cafeku sebelum dia meniaga burger pula.

“Lewat petang, adik mak cik datang sini. Dia duduk selang dua buah pintu je dari sini. Dia dengan Ira yang akan tolong uruskan mak cik pula.”

Kagum aku mendengar penerangan mak cik Salmah. Betapa keluarga ini kaya dengan kasih sayang. Mereka serba kekurangan dari segi harta benda, tapi kasih sayang mereka sangat besar.

*

“SIBUK ke harini?” soalan Haziq selepas aku menjawab salamnya membuatkan aku terpejam sebentar.

Sibuk dan penat juga seharian di rumah Zarif. Ingatkan lepas makan tengah hari aku nak balik, tapi tak sampai hati pula nak hampakan permintaan mak cik Salmah untuk aku mencuba kuih pepena. Bersemangat mak cik Salmah mengajar Zarif dan aku membuat kuih tersebut. Menurut kata Zarif, pepena tu kuih tradisi orang Pahang. Ya, mak cik Salmah asal Pahang. Sebab itulah agaknya resipi puding rajanya sangat sedap. 

Kali pertama aku rasa kuih pepena. Kuih yang beralaskan daun pisang yang dipotong bulat. Kuihnya diperbuat daripada tepung pulut dan berbentuk seakan bintang kecil. Rasanya manis serta wangi, mungkin kerana air daun pandan yang turut menjadi bahan membuat kuih tersebut.

“Fish…” Suara Haziq mematikan khayalanku tentang kuih pepena. Tangan kanan diangkat dan kuletakkan ke dahi. Macam manalah aku boleh lupa Haziq di hujung talian.

Sorry…”

Terdengar gelak garau Haziq. “You tengah mengelamun ke?”

“Hurm…”

“Fish, jangan lupa tau, Sabtu ni. You nak I ambil kat rumah?”

“Eh, ada apa Sabtu ni?” Kedengaran lagi gelak Haziq. Kepala yang tidak gatal aku garu. Rasanya aku tak ada berjanji apa-apa dengan Haziq.

You ni comellah Fish.”

Aku hanya tersengih mendengar kata-kata manis Haziq. Ya, Haziq dengan ayat-ayat gulanya memang tidak boleh dipisahkan.

“Sabtu ni kan my mom’s birthday.”

“Ya Allah… sorry you. I betul-betul lupa.” Cepat-cepat aku minta maaf. Haziq sudah pun menempah kek untuk sambutan hari jadi ibunya. Dan dia juga sudah menjemputku ke majlis tersebut. Boleh pula aku terlupa.

It’s okay. I faham you sibuk. Nanti nak I jemput kat rumah?” Lembut suara Haziq bertanya.

“Eh… tak pe. I boleh pergi sendiri.”

As you wish, dear. Jangan lupa bawa Fariha dengan your mom sekali tau. Nanti boleh kenal-kenal dengan family I.”

Kali ini aku pula yang tergelak. Teringat pula pertanyaan Fariha pagi tadi. Macam manalah adik aku tu tak jatuh hati dengan Haziq. Belum apa-apa lagi dah ajak seluruh keluarga berkenalan. Orang kata, nak pikat anak kena pikat ibunya dulu. Macam tu ye?

“Fa mesti happy ni kalau I bagitau you jemput dia sekali,” ujarku dalam tawa yang masih bersisa.

I lagi happy kalau you datang dengan family you.” Lagi-lagi aku tergelak. Haziq… Haziq.

By the way, you buat apa harini? Harini café tutup, kan?”

I pergi rumah Zarif. I-

“Zarif? Pekerja paling handsome kat kedai you tu?” Kedengaran agak tinggi pula suara Haziq. Atau mungkin hanya perasaanku sahaja.

“Er…”

You buat apa rumah dia?”

I belajar buat puding raja.”

“Kenapa dia tak ajar dekat café je?” Aduh! Menyesal pula aku berterus terang dengan Haziq. Tak fasal-fasal aku kena bersoal jawab dengan dia pula.

“Mak dia tak sihat. Jadi, sambil dia ajar I tu, dia boleh jaga mak dia sekali.” Alasan paling logik aku fikirkan saat ini. Malas dah nak berterus terang dengan Haziq. Takut makin banyak soalannya kalau aku beritahu perkara sebenar tentang hadiah birthday bersyarat daripada Zarif.

“Oh, mak dia sakit apa?” Pula dah… aku ingat dah habis.

“Mak dia-”

“Akak!” suara bingit Fariha mematikan kata-kataku. Sepantas kilat dia sudah terbaring di sebelahku. Masa bila dia ketuk pintu aku tak perasan pula.

“Siapa tu?” Kedengaran lagi suara Haziq.

“Fa…”

“Abang Zarif ke?” Fariha berbisik di telingaku. Aku geleng.

“Abang Haziq?” Aku angguk. Aku menunjukkan handphoneku kepada Fariha dan laju sahaja dia mengangguk.

“Haziq, Fa nak cakap dengan awak. Kejap eh…” Belum sempat Haziq menjawab, cepat-cepat aku hulurkan handphoneku kepada Fariha. Lebar sungguh senyumannya menyambut huluran daripadaku.

Melihat Fariha yang sudah tersengih bagai kerang busuk berbual dengan Haziq, laju saja aku bangun mencapai tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik air. Biarlah Fariha pula yang melayan segala persoalan Haziq.

*

AKU menyuap nasi ayam penuh berselera. Masakan mama tak pernah mengecewakan. Tiba-tiba teringat pula ayam goreng masakan Zarif tengah hari tadi. Sekadar kunyit dan garam, tapi rasanya sangat sedap hingga bertambah nasiku. Puding raja juga masih berbaki tiga bekas di dalam peti sejuk. Bolehlah ulang makan sebagai dessert lepas ni.

“Fish… dari tadi ibu tengok tersengih je. Ada apa-apa ke?” Eh, bila pula aku tersengih ni? Aku tengah makan kot.

“Baru balik jumpa buah hati ma.” Kujeling Fariha yang sudah terkekeh di hadapanku. Suka benar dia mengenakan aku dengan Zarif.

“Fa, makan elok-elok. Ada pula ketawa dengan nasi penuh dalam mulut.”

Aku jelirkan lidah ke arah Fariha. Padan muka kena tegur dengan mama.

“Fa ada apa-apa ke dengan Zarif?” Aku toleh ke arah mama. Jelas terpancar riak risau di wajahnya.

“Dia kan pekerja Fish. Lagipun, mama tau kan… yang harini dia ajar Fish buat puding raja.”

“Baguslah kalau macam tu. Dia pekerja, Fish majikan dia. Mama kalau boleh tak nak Fish terjebak dengan lelaki yang salah.”

“Lelaki yang salah? Apa maksud mama?” Pelik aku mendengar keluhan mama. Kenapa Zarif dikatakan lelaki yang salah.

“Tak ada apa-apalah.” Mama senyum namun aku rasa senyuman mama tidak ikhlas. Tiba-tiba sahaja aku berasa tidak sedap hati. Apa sebenarnya maksud mama?

“Kalau abang Haziq tu, okay tak ma?” Soalan Fariha menarik perhatianku.

“Haziq… yang bagi Fish jam tangan tu, kan?” tanya mama dengan senyuman lebar. Aku hanya angguk. Masih memikirkan perihal Zarif.

“Baik budaknya. Hormat orang tua.”

“Kan, ma kan? Mama happy tak kalau abang Haziq jadi menantu mama?” Ceria sahaja muka Fariha bertanya. Nampak sangat yang adik aku ni dah tangkap cintan dengan Haziq.

“Siapa tak suka dapat menantu kacak dan baik macam tu.” Kali ini bergema gelak tawa mama dan Fariha. Aku sekadar senyum kerana otakku masih memikirkan tentang Zarif yang mama katakan sebagai lelaki yang salah. Apa salah Zarif?

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status