Share

Bab 5

AKU berdiri tegak menghadap almari pakaianku. Sedang berfikir nak pakai baju apa harini. Isnin, hari cuti cafeku. Seminggu sekali saja kami cuti. Sengaja aku pilih Isnin sebagai hari cuti sebab kononnya nak elakkan Monday blues.

Blouse berwarna hitam aku capai dan acukan ke tubuhku. Erm... nampak suram pula pakai warna gelap ni. Okay, tukar merah jambu. Ha, barulah nampak ceria. Harini kena terlebih ceria sebab nak jumpa Zarif. Eh, bukan... nak belajar buat puding raja dengan Zarif. Hihihi.

Banyak betul syarat Zarif sebelum dia setuju untuk membuka kelas mengajarku. Syarat pertama kena belajar semasa hari cuti. Aku dah bagitahu yang aku boss, jadi dia kena ikut arahanku. Tapi, dia balas hari kerja dia tak nak susahkan rakan-rakan yang terpaksa cover kerja dia. Bila difikirkan, betul juga. Nanti apa kata staff yang lain? Orang lain sibuk bekerja, aku dengan dia sibuk buka kelas buat puding raja. Lagipun itu bukannya menu untuk café pun. Makanya, aku setuju.

Syarat kedua pula, semua bahan-bahan dia akan sediakan dan dia tak nak aku bagi duit satu sen pun untuk dia beli bahan-bahan tu. Alasannya, semua tu sebagai hadiah birthday aku. Walaupun aku ungkit yang dia dah buatkan puding tu sebagai hadiah, tetap dia berkeras juga. Jadi, demi kelas bersama Zarif, aku setuju lagi.

Syarat ketiga, kelas hanya akan dijalankan di rumah dia. Ha... yang ni aku ada rasa cuak sikit. Dibuatnya dia duduk sorang, tak fasal-fasal aku kena tangkap khalwat dengan dia. Aku minta dia ajar kat cafe je, tapi dia kata sebab ni hadiah daripada dia, jadi kos bahan api dan peralatan lain termasuk peralatan memasak biar dia yang tanggung. Bila dia kata ada wanita dewasa duduk dengan dia, aku akhirnya setuju juga.

Syarat keempat, Zarif kata dia akan datang jemput aku di rumah. Ni pun dia kata sebagai hadiah birthday juga. Dah macam nak pergi dating pula aku rasa dengan syarat-syarat Zarif ni. Tapi, demi resipi puding raja yang sedap, aku setuju dengan syarat bukan naik motor dia. Bukanlah aku pandang rendah pada motor dia atau menghina dia tiada kereta, cuma aku rasa tak manis untuk aku membonceng motosikal bersama lelaki bukan mahram.

Dalam mengingat kembali syarat-syarat Zarif, terdengar bunyi ketukan di pintu bilik tidurku. Belum sempat aku berjalan ke arah pintu, pintu sudah terbuka dari luar.

"Akak... buat apa tu?" Ceria suara Fariha. Ni mesti ada apa-apa ni. Sudah lama rasanya kami tidak berbual mesra. Aku perasan, sejak birthday aku tempoh hari, Fariha seakan-akan sudah kembali seperti dulu. Manja dan manis.

"Tengah pilih baju nak pakai."

"Oh, akak jadi ke pergi rumah abang Zarif?" Aku nampak kerutan di dahi Fariha. Memang ibu dan Fariha mengetahui perancanganku harini. Lama jugalah aku bersoal jawab dengan mama mengenai syarat-syarat Zarif.

"Jadi. Kenapa Fa tanya?"

"Hurm... akak tak pelik ke dengan syarat-syarat dia? Dah macam ajak akak keluar dating pula." Ha, rupanya Fariha pun berfikiran macam aku.

"Mula-mula akak fikir macam tu juga. Tapi, bila fikir-fikir balik, ada logiknya syarat-syarat dia."

"Ke sebenarnya abang Zarif tu nak ngorat akak?" Fariha tayang riak nakalnya. Kening sengaja diangkat berulang kali.

"Ish... taklah. Dia memang nak ajar akak buat puding raja tu."

"Tapi, kalau akak dengan abang Zarif pun Fa setuju. Akak cantik, dia pun handsome. Cuma, dia miskinlah. Harapnya lepas kahwin dia tak kikis harta akak."

"Fa, tak baik cakap macam tu. Macam mana Fa tahu dia miskin?" Sengaja aku tanya soalan tu. Nak tahu juga macam mana Fariha ni menilai status kekayaan seseorang.

"Dah jelas dan nyata kak. Semua orang bagi akak hadiah mahal-mahal. Tapi dia, bagi akak puding raja je. Ha, lepas tu kan... akak tengok tak handphone dia? Dah boleh masuk muzium handphone dia tu, siap ikat dengan getah lagi." Fariha gelak selepas menghabiskan kata-katanya.

Aku capai tangan Fariha dan kutepuk perlahan. "Fa, dia mungkin miskin harta benda. Tapi, bagi akak dia kaya jiwa, kaya kudrat dan kaya budi bahasa. Zarif berjiwa besar, dia tak pernah berhenti belajar. Akak pernah dengar dia borak dengan Zul. Dia ada cita-cita nak buka restoran sendiri.

Dia juga kaya kudrat, selain kerja kat cafe akak, dia pun meniaga burger tepi jalan. Budi bahasa jangan cakaplah. Walaupun dia selalu bahasakan diri dia "aku" tapi dia hormat semua orang.

Fa, kaya itu subjektif. Miskin pun sama. Kadangkala, orang kaya pun ada yang jauh lebih miskin tau. Sebab apa yang dia ada cuma duit dan harta. Dia tak ada jiwa yang besar, tak ada kudrat yang kuat dan tak ada budi bahasa. Kasihan, kan?"

Fariha sudah tersengih mendengar omelanku. Itulah reaksi dia setiap kali aku bersyarah di hadapannya.

"Faham, puan." Tangannya naik ke tepi dahi, membuat gaya tabik hormat kepadaku. Berderai tawa kami berdua.

"Ha, Fa masuk bilik akak ni ada apa?" soalku semula.

"Sebenarnya, Fa nak tanya pendapat akak sikit."

Aku duduk menghadap Fariha yang sudah selamat bersila di atas katil. "Shoot."

"Apa pendapat akak tentang abang Haziq?" Terkejut aku dengan soalan Fariha. Apa adikku ini sudah jatuh cinta pandang pertama? Tapi tak mustahil mana-mana perempuan boleh jatuh suka dengan Haziq yang boleh dikatakan memenuhi ciri-ciri lelaki idaman kebanyakan wanita.

Aku berdehem sebelum bertanya semula. "Apa maksud Fa? Pendapat yang macam mana Fa nak daripada akak?"

"Hurm... pendapat seorang wanita tentang seorang lelaki?" Aku angguk tanda faham.

"Fa sukakan Haziq?" Fariha hanya tersenyum malu. Merah pipi putihnya.

"Ala kak... Fa tanya pendapat akak je." Tergelak-gelak dia bersuara. Nampak sangat nak cover malu.

"Okay... okay. Pendapat akak, Haziq tu baik orangnya. Gentleman, dan penyayang. Dia sayang gila kat mak dia."

"Kan... Fa pun rasa benda yang sama. Masa kakak dia datang nak pilih kek untuk birthday mak dorang tu pun, nampak sangat dia sayang gila kat mak dia."

"Tulah. Kalau anak lelaki tu baik dengan maknya, insya-Allah, dia lelaki yang baik. Dia tahu menghormati wanita dan dia tau macam mana menghargai seorang wanita," tambahku lagi.

"Akak rasa, kalau Fa confess perasaan Fa kat dia, dia terima Fa tak?"

*

"FISH, tak jemput Zarif masuk ke?" Soalan mama membuatkan muka Zarif sedikit berubah. Nampak riak kurang selesa di wajah kacaknya.

"Tak apa makcik. Aku datang jemput cik Fish." Belum sempat aku berkata apa-apa laju sahaja Zarif menyampuk.

"Datang naik apa?" Mama memanjangkan leher, mencari kenderaan Zarif.

"Naik grab."

Aku hanya perhatikan sahaja wajah terkejut mama. Aku tahu apa yang bermain di fikirannya. Mesti mama fikir kenapa perlu jemput aku di rumah kalau naik grab? Boleh sahaja aku pergi sendiri ke rumah Zarif.

"Mama, Fish pergi dulu tau." Tangan mama kucapai dan kubawa ke bibir. Pipi mama juga kukucup penuh kasih sayang.

"Mama jangan fikir bukan-bukan. Nanti balik kita borak ya," bisikku di telinga mama. Mama angguk.

"Hati-hati." Hanya itu yang keluar dari mulut mama. Wajah mama sedikit pucat. Aku perasan, bila mama nampak Zarif, muka mama akan berubah pucat. Pertama kali semasa di cafe tempoh hari. Tapi, mungkin tadi sebab mama risaukan aku, tu yang muka dia pucat.

Langkah kuhayun laju mengekor langkah besar dan laju Zarif. Tiada perbualan antara kami sehinggalah kami sama-sama masuk ke dalam grab car.

"Eh, kenapa awak duduk kat depan?” tanyaku. Pelik bila Zarif membiarkan aku sorang-sorang di belakang dan dia duduk di sebelah pemandu grab.

“Tak apa. Saya duduk depan, selesa sikit cik Fish kat belakang.” Penjelasan Zarif aku balas dengan anggukan sahaja. Ada-ada saja Zarif ni.

Sepanjang perjalanan aku hanya perhatikan sahaja tingkah Zarif. Boleh tahan rancak dia berborak dengan abang grab ni. Dah macam kawan lama. Kereta Myvi putih ini akhirnya berhenti di sebuah flat empat tingkat. Teringat pula kenangan semasa kami pernah mendiami rumah flat dua bilik tidur dulu. Kediaman pertama kami selepas arwah papa pergi.

Seperti kebanyakan flat di sekitar Lembah Klang, kawasan parkir di sini penuh dengan kereta. Walaupun hari bekerja, tetap ada banyak kereta. Tak dapat aku bayangkan kalau semuanya balik daripada bekerja. Pasti ada yang terpaksa memarkirkan kereta di tepi jalan raya bersebelahan flat tersebut.

“Cik Fish… jomlah turun. Kita dah sampai.”

“Oh, okay…”

Sedikit terkejut aku apabila Zarif sudah bertindak membuka pintu kereta untukku. Melangkah keluar, mataku terus singgah ke wajah Zarif. Riak wajahnya nampak tenang seperti biasa. Aku pula yang rasa malu.

“Awak biasa bawa kawan perempuan datang sini naik grab?”

“Taklah. Cik Fish orang pertama aku bawa ke sini.”

Sudah… kenapa jantung aku berdegup laju pula kali ni? Aku berdehem, cuba membuang rasa janggal yang kurasa saat ini. Tidak pernah aku rasa begini.

“Ni biar aku bawa. Nanti nak naik tangga sampai tingkat tiga.” Zarif pegang bakul buah yang kupegang. Sengaja aku bawa sebakul buah-buahan sebagai buah tangan. Rasa tak manis pula datang dengan tangan kosong.

Thank you,” ujarku perlahan.

Bakul di tangan aku serahkan kepada Zarif. Dia mendepakan tangan ke hadapan, memintaku berjalan di hadapannya. Dapat kurasakan langkahku sumbang saat ini. Entah kenapa tiba-tiba sahaja aku rasa keyakinan diri yang tinggi selama ini lebur saat berhadapan dengan Zarif.

*

WAJAH khusyuk Zarif yang sedang memisahkan kuning telur itu aku perhatikan dengan penuh minat. Baru aku perasan satu tabiat Zarif. Hujung lidahnya akan sedikit terkeluar bila dia fokus melakukan sesuatu. Comel.

“Cik Fish, kuning telur ni kena betul-betul bebas daripada putih telur ni, sebab kalau ada sedikit pun putih telur ni, rasa puding kita nanti akan rosak.”

Aku angguk. Proses yang Zarif tunjukkan bukanlah sesuatu yang luar biasa bagiku kerana ada juga kek yang memerlukan hanya kuning atau putih telur sahaja. Jadi, aku sudah biasa mengasingkan putih dan juga kuning telur.

Sambil Zarif meneruskan kerjanya, aku memerhati sekeliling dapur. Kecil tapi sangat bersih dan kemas. Dari ruang tamu hingga ke dapur, tidak banyak perabot dan barang elektrik yang ada. Tapi, rumahnya sangat bersih dan kemas.

“Awak memang tinggal berdua dengan mak awak?”

Terhenti sebentar Zarif saat mendengar soalanku. Beberapa saat kemudian dia meneruskan pekerjaannya. Tanganku mencapai sebiji telur dan kulitnya aku pecahkan dengan penuh hati-hati.

“Ayah aku dah tak ada. Waktu macam ni pula adik dekat sekolah.”

“Mak awak memang dah lama sakit?”

“Mak dah lama kencing manis. Cuma baru tahun lepas kaki mak kena potong.”

“Tak nak beli kerusi roda untuk mak?”

Aku nampak muka Zarif yang berubah tegang. Alamak, aku dah tersalah soalan ke?

“Aku tengah kumpul duit.”

Tiba-tiba aku rasa bersalah pula bila bertanya soalan tadi. Tak kanlah Zarif tak nak belikan maknya kerusi roda, kan? Aduh, kenapalah kali ini mulutku laju daripada otak.

Sorry… saya-”

“Ni satu lagi proses penting dalam puding raja. Merajut jala emas dalam air gula yang mendidih. Sukatan gula ni sangat penting sebab kalau terlebih gula, jala kita akan jadi keras. Kalau tak cukup gula pula jala kita akan mudah pecah atau putus.” Zarif tunjuk ke arah mangkuk yang berisi gula.

Wajah tenang Zarif kutatap semula. Cepat benar wajahnya berubah riak. Mujurlah dia tidak marahkan aku. Tapi, tetap aku rasa bersalah dengan soalan lancangku tadi.

“Kita nak buat jala dah ke?”

“Tak… jala ni kita buat akhir sekali sebab proses nak hasilkan jala ni kena dibuat berterusan. Kita buat kerja-kerja yang lain dulu sebelum merajut jala emas ni.”

Aku angguk. Zarif mengajarku setiap langkah membuat puding raja dengan penuh kesabaran. Biasalah, aku memang akan banyak bertanya apabila sedang belajar. Aku masih ingat pesan salah seorang pensyarahku dulu. Biar kita nampak bodoh beberapa saat kerana bertanya, daripada kita menjadi bodoh seumur hidup kerana tidak bertanya.

Akhirnya, tiba masa untuk merajut jala emas. Zarif menunjukkan kemahirannya. Sungguh cekap dia menjala. Tiba giliran aku pula, jalanya terputus-putus. Tali jalanya pula ada yang halus ada yang kasar. Tergelak juga kami berdua. Ini kali kedua aku lihat Zarif ketawa. Kali kedua aku nampak lesung pipit di pipi kanannya.

“Ehem…”

Bunyi deheman yang sedikit kuat mematikan renungan antara aku dan Zarif. Sejak bila kami saling bertentang mata, aku pun tidak perasan. Terkejut punya fasal, terlepas acuan roti jala di tanganku ke dalam air yang sedang mendidih.

“Auch!” serentak itu terasa pedih di tangan. Air di dalam kuali terpercik di kekura dan tapak tanganku.

“Sini.” Zarif menarik lenganku ke arah singki. Api di dapur dia matikan.

“Lain kali hati-hati. Adik pun, suka buat orang terkejut.” Tajam mata Zarif melihat gadis muda di depan pintu dapur. Gadis comel berpakaian sekolah. Aku pasti itu adik Zarif.

“Salah saya, saya yang cuai,” kataku. Tidak mahu Zarif berterusan menyalahkan adiknya. Sedangkan memang aku yang cuai. Boleh pula jatuhkan acuan kuih jala ke dalam air mendidih. Mau tak terpercik airnya.

Sorry kak…”

“Tak apa.” Kasihan pula aku lihat muka bersalah adik Zarif.

“Dah. Pergi ambil tuala kecil bersih. Nanti nak tuam tangan cik Fish.”

Aku lihat gadis tadi berlalu sambil mulutnya bergerak menyatakan sorry tanpa bersuara. Aku angguk dan senyum kepadanya. Wajah kupalingkan semula ke arah Zarif. Dengan keadaan lenganku dalam pegangannya, kedudukan kami agak rapat.

“Er… biar saya buat sendiri.”

“Oh… maaf.” Zarif melepaskan lenganku dan berundur dari kedudukannya. Aku nampak muka dia merah. Agaknya malu bila terlepas laku seperti tadi.

Jantungku jangan cakap. Sejak keluar dari kereta pagi tadi sampai saat ini, entah berapa kali organ yang satu itu hampir melantun keluar.  

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status