Share

Bab 4

AKU bangun seawal jam lima pagi. Sejak semalam aku sukar melelapkan mata. Bukan sebab gelisah atau susah hati, tapi sebab rasa teruja. Hari ini adalah hari ulang tahun kelahiran ku yang ke-27. Juga ulang tahun pertama SS Cafe.

Sejak seminggu yang lalu pelbagai promosi yang kami lancarkan. Selain Happy Hour, turut diadakan peraduan swafoto di SS Cafe, pertandingan meneka berat kek dan pertandingan memberi nama puding terbaharu keluaran SS Cafe.

Sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan hari ini merupakan hari kemuncak sambutan ulang tahun pertama cafeku. Hari ini, senarai pemenang akan diumumkan menerusi I* live yang akan dikendalikan oleh Ayu. Bertuah aku ada pekerja cekap seperti Ayu dan yang lain.

Gambar yang terletak di atas meja solek aku capai. Ada arwah papa, mama, aku dan Fariha. One happy family. Gambar terakhir bersama arwah papa. Gambar semasa kami bercuti di Langkawi. Masa itu aku berumur 15 tahun dan Fariha pula 10 tahun. Rindunya dekat arwah papa. Benarlah orang kata, rindu pada yang sudah tiada tak kan pernah pudar.

Papa meninggal seminggu selepas mendapat serangan jantung kali pertama. Siapa sangka papa rupanya mempunyai tekanan darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung koronari. Tiga serangkai orang kata. Papa merahsiakan penyakitnya daripada kami semua. Rupa-rupanya selama ini papa menderita sakit seorang diri. Di hadapan kami semua, ayah sentiasa nampak sihat dan ceria.

Perniagaan kereta mewah yang ayah usahakan bersama seorang rakan baiknya lingkup selepas rakan baik papa yang aku kenali sebagai uncle Sam menipu papa. Disebabkan itu, semua saham papa telah menjadi milik uncle Sam. Duit simpanan papa habis digunakan untuk membayar semua hutang yang ada. Nasib baik sepanjang hayat papa, mama seorang yang sangat cermat dan beringat. Duit simpanan mamalah yang digunakan untuk menyekolahkan aku dan Fariha.

Sejak pemergian arwah papa, mama berkerja semula sebagai kerani di sebuah syarikat perabot. Sejak itu juga tiada lagi kehidupan mewah yang pernah aku rasa. Semuanya bertukar menjadi serba sederhana. Mamalah yang paling banyak berkorban untuk kesenangan aku dan Fariha. Café yang aku usahakan juga adalah daripada duit simpanan mama dan hasil gadaian barang kemas mama. Perlahan-lahan aku tebus kembali barang kemas mama. Masih banyak hutangku kepada mama.

Bunyi azan Subuh dari telefon bimbitku menyedarkan aku daripada kenangan lalu. Lama benar rupanya aku duduk termenung di hadapan meja solekku. Gambar tadi aku letak kembali ke atas meja. Senyuman arwah papa, mama dan Fariha seolah-olah memberi semangat baharu kepadaku.

Kedua tangan naik menepuk pipi. "Happy birthday, dear self."

*

SELESAI mandi dan solat Subuh, laju sahaja kakiku melangkah menuruni tangga. Dapur destinasi pertama yang aku tuju. Ingin menyediakan sarapan pagi untuk ibu dan Fariha sekali sempena hari istimewaku.

"Happy birhday, Fish!"

"Happy birthday, kak!"

Serentak suara mama dan Fariha menyapa pendengaranku. Sekelip mata aku hilang dalam pelukan keduanya.

"Terima kasih, mama." Hangat terasa kucupan mama di pipi kananku.

"Terima kasih, Fa." Fariha turut mengucup pipi kiriku. Sudah lama Fariha tidak menunjukkan kemesraannya kepadaku.

Dua hari lepas aku telah memindahkan dua ribu ringgit ke dalam akaun Fariha. Itupun selepas aku mendengar perbualannya dengan salah seorang rakan sekolejnya. Rupa-rupanya dia memerlukan duit tersebut untuk membeli kamera DSLR bagi tujuan pembelajarannya. Sememangnya Diploma in Media Communication and Entrepreneurship yang Fariha ambil menelan belanja yang bukan sedikit.

Aku lihat di atas meja sudah terhidang pulut kuning yang dihias seperti kek, rendang ayam dan puding karamel. “Wah, sedapnya. Bila mama buat semua ni?” soalku teruja.

“Ni Fa tolong mama tau. Semalaman Fa tolong mama kat dapur. Tengok ni, melecur jari cantik Fa,” adu Fariha sambil menyuakan tangannya ke arahku.

“Terima kasih mama.” Pipi mama aku kucup penuh kasih sayang.

“Terima kasih juga adik akak yang cantik ni.” Pipi Fariha aku cubit geram. Menyeringai dia kesakitan.

Ibu dan Fariha mengarahkan aku memotong pulut kuning tersebut sambil mereka menyanyikan lagu selamat hari jadi buatku. Aku mengambil kesempatan untuk menyuap pulut kuning untuk mama dan Fariha. Bergema gelak tawa kami bertiga di ruangan meja makan. Kalaulah papa masih ada…

*

“HAPPY birthday, boss!”

Teriakan daripada para pekerjaku sebaik sahaja aku memetik suis lampu menggamatkan suasana café. Biasanya akulah orang pertama yang akan tiba. Namun, hari ini ternyata mereka semua sudah berpakat untuk menungguku dalam keadaan gelap. Satu persatu wajah ceria mereka aku pandang dengan senyuman. 10 orang semuanya.

Cuma Zarif yang tidak kelihatan. Biasanya Zarif akan sampai dalam jam 9.30 pagi dan nampaknya hari ini dia juga tidak memecahkan rutinnya itu. Eh, sejak bila Haziq aku ambil jadi pekerjaku? Wajahnya nampak teruja melihat aku yang masih terkejut.

Happy birthday, beautiful lady.” Aduh, ni yang aku malas dengan Haziq ni. Lelaki sorang ni memang kaya dengan ayat-ayat manisnya. Hadiah di tangannya aku sambut juga dengan senyuman.

Thank you. Tapi, sejak bila I ambil you kerja sini?” Soalanku disambut dengan gelak tawa semua yang ada.

Sorry cik Fish. Encik Haziq yang ajak saya plan semua ni,” jelas Ayu. Aku hanya tersenyum mendengar penjelasan Ayu. Hari baik, tak kan nak marah, kan?

You tak kerja ke harini?” Haziq hanya senyum sambil menggeleng.

“Kak, siapa ni?” Hampir aku terlupa Fariha dan mama yang turut bersamaku ke café tadi.

“Oh, ni Haziq. Wartawan dan editor dari Kachak Studio.”

Haziq tayang senyum kepada mama dan Fariha. Aku tengok bukan main lebar lagi senyuman Fariha. Sukalah tu ada lelaki kacak depan mata.

Selepas selesai memotong kek dan menerima hadiah-hadiah daripada semua pekerjaku, aku bawa mama ke pejabatku. Fariha pula sibuk berborak dengan Haziq, seolah-olah sahabat lama. Sememangnya Fariha cepat mesra dengan orang luar. Jadi, aku tidak hairan kalau dalam tempoh masa yang singkat dia boleh berkawan dengan Haziq.

Happy birthday, sahabat dunia akhiratku.” Suara Zara dah bergema dah dalam bilik pejabatku.

Kotak hadiah di tangannya aku sambut dengan ucapan terima kasih. Zara, tidak pernah terlepas daripada memberiku hadiah hari lahir sejak kami berkenalan di universiti.

Aunty sihat?” Zara bersalaman dengan mama.

“Alhamdulillah. Zara apa khabar? Mak ayah sihat?”

“Alhamdulillah aunty. Dorang sihat. Aunty dah jumpa bakal menantu?”

Aku julingkan mata ke atas mendengar omong kosong Zara. Siapa lagi yang dia maksudkan kalau bukan Haziq.

“Maksud Zara yang lelaki pakai kemeja kotak biru hitam kat luar tadi?” Aduh, mama pun dah sama naik dengan Zara ni.

Yelah, auntyhandsome kan? Pandai Fish pilih.”

“Kau jangan nak sebar berita palsu eh, Zara.” Tajam jelinganku kepada Zara. Tapi, Zara tetaplah Zara. Mana kenal erti takut. Dia cebik aku.

“Fish tak kenalkan lagi ke Haziq kat aunty? Mak ayah dia cikgu. Orang baik-baik tu aunty. Untung Fish ni kalau kahwin dengan dia.” Sudah… dia melalut sampai bab kahwin pula dah.

“Fish dengan Haziq ada apa-apa ke?” Zara sudah tersengih-sengih berdiri di sebelah mama. Keningnya diangkat berkali-kali ke arahku, tanda mengusik.

Aku labuhkan punggung di sebelah mama, di atas sofa di depan meja kerjaku. Aku tahu mama susah hati memikirkan aku yang tidak pernah memperkenalkan kawan lelaki kepadanya.

“Haziq tu kawan jelah ma.”

“Mula-mula memanglah kawan.” Zara ni kan, ada jelah dia nak menyampuk. Mama hanya gelak.

“Mana hadiah Haziq? Kau dah buka belum?” Laju sahaja Zara membelek kotak-kotak hadiah di atas mejaku. Cari hadiah daripada Haziqlah tu.

“Ha, jumpa pun. Fish, cepatlah buka.” Zara hulur kotak hadiah daripada Haziq kepadaku. Mama juga sudah tersenyum lebar. Agaknya mama pun nak tahu apa hadiah daripada ‘bakal menantunya’.

Dalam keterpaksaan aku sambut juga kotak di tangan Zara. Laju sahaja minah ni dah ada di sebelahku. Aku buka juga kotak hadiah tersebut. Sebuah jam tangan berwarna emas, jenama Fossil.

“Wow… jam tangan. Kau tahu tak maksud dia apa, Fish?”

“Hargai masa. Ingat lima perkara sebelum lima perkara.” Laju aku menjawab soalan Zara. Mama sudah tergelak melihat wajah terkedu Zara.

“Hehehe… betullah tu. Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Tapi-”

“Masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit atau miskin, masa lapang sebelum sibuk, masa muda sebelum tua dan masa hidup sebelum mati.” Mati terus senyuman di wajah Zara. Aku nampak dia telan liur berkali-kali.

“Ish… kau ni. Sebut fasal mati, menakutkan aku je.” Zara sudah tunduk sopan mengalahkan gadis Melayu terakhir.

Aku hanya senyum ke arah Zara. Aku pun takut bila sebut soal mati. Terasa banyak benar dosa jika nak dibandingkan dengan pahala.

“Sesekali, tak salah kan saling mengingati?” Soalan mama aku balas dengan senyuman. Zara angguk.

“Ha, berbalik kepada soalan aku tadi. Selain nak suruh kau hargai masa, kau tau tak apa maksud dia bagi kau jam ni?” Sekelip mata Zara berubah tingkah. Hilang gaya ayunya sebentar tadi.

“Apa dia?”

It’s a great reminder. Wearing a gifted watch will always remind you of the person who gifted you the watch.”

Berfalsafah pula si Zara ni. Hampir tersembur air mineral yang kuteguk. Mama juga sudah merah mukanya menahan gelak melihat aksiku.

“Ada-ada jelah kau ni.”

“Betullah aku cakap. Kalau kau tak percaya, meh aku pergi tanya Haziq.”

“Kau jangan nak mengada eh. Aku report kat uncle Zainal kau ngelat tak masuk office,” ugutku.

Yelah. Tapi aku memang nak ke luar ni. Nak makan kek birthday kau tadi. Nampak sedap.” Zara melangkah keluar sambil melayangkan flying kiss ke arahku. Terdengar gelak mama.

“Mama jangan percaya sangat apa Zara cakap tu. Mama kenal dia kan? Suka melawak.”

“Fish tak suka Haziq?” Alamak!

“Er… Fish-”

“Cik Fish…” Panggilan Zarif mematikan kata-kataku. Nasib baik Zarif datang tepat pada masanya.

“Zarif, awak nak jumpa saya?” Zarif melangkah masuk dengan sesuatu di tangannya.

“Maaf cik Fish. Aku tak dapat datang awal macam yang lain.”

“Tak apa. Awak bukan lambat pun.” Sempat kukerling jam di dinding, 9.15 pagi. Sedikit awal Zarif harini.

“Ni, aku bawa hadiah untuk cik Fish. Harap cik Fish sudi terima hadiah yang tak seberapa ni.” Aku sambut beg plastik berisi bekas makanan lut sinar di tangan Zarif.

“Puding raja?” soalku dengan wajah ceria. Salah satu makanan kegemaranku. Banyak tempat aku cari pudding raja yang sedap, tapi selalu susah nak kena dengan tekakku. Ada saja kurang di sana sini.

Laju saja aku buka penutup bekas tersebut. Sudu plastik turut ada sekali dalam plastik yang sama. Sesudu pertama…

“Sedapnya… mana awak dapat ni, Zarif?”

“Fish…” Alamak, macam mana aku boleh lupa mama ada kat sini? Ralit makan puding raja sampai tak pelawa mama.

“Ma… sorry… kenalkan ni Zarif. Pekerja baharu Fish. Zarif, ni mama saya.” Aku kerling wajah mama. Mama nampak sedikit pucat.

“Mama okay tak? Kenapa tiba-tiba pucat ni?” soalku sambil meletakkan puding raja di atas meja. Aku hampiri mama sambil pegang lembut tangannya.

“Mama okay. Mungkin pening sikit sebab makan pulut pagi-pagi tadi.” Aku angguk. Mungkin benar kata mama.

“Mama nak rasa puding ni? Sedap betul, ma. Sama macam rasa puding yang kita pernah makan kat Pekan dulu,” ujarku sambil menyuap sesudu puding untuk mama.

“Sedap…”

“Zarif, mana awak dapat puding ni?” Perhatianku kembali terarah ke arah Zarif. Sempat pula aku berdrama dengan mama depan dia sebentar tadi.

“Oh, tu aku buat sendiri. Ada lagi kat peti ais kat dapur.” Bersinar mataku mendengar ada lagi puding raja di dapur. Bolehlah aku makan lagi nanti.

“Terima kasih, Zarif. Susah nak dapat puding raja yang sedap macam ni.” Ikhlas aku puji.

“Sama-sama. Happy birthday, cik Fish. Mak aku kirim salam. Dia doakan cik Fish panjang umur dan murah rezeki.” Terharu pula aku dengar pesanan mak Zarif.

“Terima kasih sekali lagi. Sampaikan salam saya dekat mak awak.”

“Insya-Allah.”

Aku kembali menyuap puding raja. Mama hanya menggeleng melihat aksiku. Dia faham benar dengan tingkahku yang sedikit memilih makanan. Kalau sedap di tekak, lajulah aku makan. Kalau tak kena dengan tekakku, cukuplah sekadar merasa.

“Fish, siapa nama penuh Zarif?”

Eh, terangkat keningku mendengar soalan mama. Haziq tadi tidak pula mama tanya nama penuhnya.

“Entah. Fish pun tak ingatlah ma. Kenapa mama tanya?”

“Mama macam pernah nampak muka Zarif.”

“Mama pernah pergi makan kat Jebat Café?”

“Tak.” Mama geleng.

“Hurm… mungkin mama pernah terserempak di mana-mana kot.”

“Mungkin…”

*

HARI ini berlalu dengan cukup meriah. Banyak doa dan hadiah yang aku terima. Benar-benar aku rasa gembira. Pemenang pertandingan yang dianjurkan sempena ulang tahun pembukaan kedai dan ulang tahun kelahiranku juga sudah diumumkan oleh Ayu menerusi I* live sebentar tadi.

Mama dan Fariha juga sudah balik ke rumah, dihantar oleh Haziq. Bukan main lagi Zara memuji Haziq depan mama. Aku perasan mama asyik tersenyum sepanjang hari. Fariha pun sama. Sudah lama aku tidak melihat riak gembira sebegitu di wajahnya. Harapnya hubungan aku, mama dan Fariha akan kekal harmoni macam ni sampai bila-bila.

“Cik Fish nak bawa balik tak puding raja ni? Ada lagi lima bekas.” Zarif menyoal sambil memegang bekas berisi puding di tangannya.

“Mestilah saya nak…” Laju sahaja aku berlari ke arahnya.

Zarif ketawa melihat gelagatku. Mungkin sedikit keanak-anakan di matanya. Pertama kali aku lihat Zarif ketawa. Ada lesung pipit rupanya di pipi kanannya. Manis.

“Boleh saya minta sesuatu daripada awak, sempena birthday saya?”

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status