Share

BAB 8

Kepulanganmu

membawa

harapan, yang penantian ini telah

berakhir. Semoga ada noktah dalam penantianku. Andai tidak juga memberi apa-apa makna, maka aku terima kenyataan, dia bukan diciptakan

untukku - TINI

TANPA diduga, Sukri bersetuju untuk berkahwin dengan Tini. Majlis perkahwinan telah dilangsungkan dengan meriah.

Di atas pelamin yang tersergam indah, duduk sepasang pengantin yang mengenakan songket biru. Dendangan lagu ‘Selamat pengantin baru’ yang dimainkan deejay majlis hari itu makin menggamatkan suasana.

Seluruh pelusuk Kampung Semerah Padi datang menyaksikan majlis yang meriah itu. Tersenyum sipu Tini yang sungguh ayu didandan rapi.

Di sisinya Sukri segak bergaya laksana raja diraikan dalam satu majlis dengan harapan perjalanan mereka selepas ini akan dihujani dengan kebahagiaan.

Itulah harapan Pak salihin setelah membebaskan Tini dari penderitaan yang panjang.

Peristiwa sebelum pernikahan sebelum itu belayar di ingatan Tini.

"Tini... aku dah fikir masak-masak. Fikir pasal Tasha, pasal aku yang Tasha anggap sebagai ayahnya, fikir pasal kau, gadis yang menjaga Tasha sedangkan ini bukanlah kehidupan yang sepatutnya kau lalui. Pasal kedua ibu bapa kita. Aku tak boleh biarkan kau keseorangan jaga Tasha. Errr... nak tak kalau kita menikah dan kita jaga Tasha bersama-sama, Tini?"

Tini mendongak mengangkat muka memandang Sukri. Matanya sedikit terbeliak. Dahi Tini berkerut. Dia tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Adakah benar apa yang dikatakan Sukri?

Mulutnya yang sedikit ternganga ditutup dengan telapak tangannya.

"Mak dengan ayah kau nak kita berdua menikah dan jaga Tasha. Inilah jalan terbaik untuk hubungan kita. Tanpa ada apa-apa ikatan, aku tak mungkin akan jadi ayah Tasha. Kau dan aku pula ada batas-batas pergaulan. Kau tahu kan?" Sukri memandang Tini yang hanya mengangguk.

"Aku tak mahu kau jadi buah mulut orang, Tini. Ini yang terbaik untuk kita. Aku tahu hubungan kita akan sedikit kekok. Aku tak mencintai kau dan kau pun sama. Aku masih sayangkan Tina. Tapi, aku yakin kita akan saling menyayangi lepas kita berkahwin nanti. Semua ni untuk Tasha. Macam mana Tini? Kau setuju tak?"

"Err..." Tini gugup tidak dapat menjawab pertanyaan Sukri. Rasa terkejutnya masih belum hilang.

"Kalau kau nak aku jadi ayah Tasha, kau setujulah Tini. Aku tak pandai berjanji, tapi kau baik pada aku. Aku pun kena layan kau dengan baik juga. Kau jangan takut Tini, aku bukan lelaki jahat kalau itu yang kau risaukan."

Tini mendongak lagi. Dia benar-benar terkejut. Sukri memang tidak tahu isi hatinya. Dia memang menyukai Sukri.

Jika benar mereka akan berkahwin, hubungan itu bukanlah secara paksaan di pihak Tini. Hanya di pihak Sukri kerana dia masih mencintai Tina walaupun Tina sudah lama tiada.

Mungkinkah hubungan baru nanti akan merumitkan lagi hubungan mereka berdua?

"Kau nak masa untuk berfikir dulu, Tini?" tanya Sukri lagi.

"Err... bukan. Sukri... awak ikhlas dengan semua ni? Bukan paksaan?" Tini inginkan kepastian.

"Aku ikhlas, Tini. Aku harap ini bukan paksaan kalau kau setuju kahwin dengan aku. Aku tak mahu kau terluka hanya untuk buat Tasha bahagia."

Tini tidak menjawab pertanyaan Sukri. Dia malu untuk mengiyakan pertanyaan Sukri. Kenapa lelaki ini tidak boleh melihat reaksinya bila mereka berdua berjumpa? Kenapa?

"Aku tak pernah tengok kau keluar dengan mana-mana lelaki selama kau berkawan dengan aku. Kau hanya selesa dengan aku sebab Tasha. Aku andaikan, kau tak bercinta dengan sesiapa pun saat ni. Harap aku tak salah, Tini."

Tini merenung Sukri dengan pandangan yang dalam. Hatinya terusik.

"Mak kau kata, kau banyak bermurung sejak aku pergi. Sekurang-kurangnya aku dapat gambaran yang kau sayangkan aku. Aku andaikan ini bukan paksaan buat kau kalau benar kita akan menikah. Betul kan, Tini?" Sukri bertanya lagi.

Tini mengangguk, namun dia malu untuk memandang Sukri. Hatinya tercuit. Ada rasa getar di pinggir hatinya. Hatinya mulai cair.

"Tasha peluk aku dan panggil aku ayah dua tiga hari lepas buat aku tak boleh tidur. Aku buat keputusan untuk jadikan impian Tasha satu kenyataan. Aku nak jadi ayah dia," cerita Sukri membuat Tini ukir senyum lagi.

"Aku minta maaf kalau keputusan aku melibatkan masa depan kau, Tini. Kau bagilah keputusan. Sama ada kau nak atau tak, aku tetap akan anggap Tasha macam anak aku sendiri," sambung Sukri lagi.

Kata-kata Sukri mengujakan Tini. Tini menahan getar di hati lalu memberi persetujuan.

"Kalau mak dan ayah setuju, Tini juga setuju, Sukri. Tasha perlukan ibu bapa macam orang lain. Macam kawan-kawan sekolah dia."

Sukri tersenyum mendengar persetujuan Tini. Apa lagi gadis itu, dia gembira. Hatinya berbunga riang apabila jejaka yang dipuja datang melamar.

"Okey, kalau macam tu, aku bagitahu ibu untuk pinang kau ya, Tini. Kita bertunang dan kahwin dalam waktu terdekat ni. Tapi... aku ada satu syarat!"

Terperanjat pula Tini di situ. Biji mata Sukri ditenungnya dalam. Dia menunggu penjelasan lelaji itu.

"Bila dah kahwin, aku nak kau tinggal dengan aku. Aku tak nak tinggal dengan ibu, ayah aku sendiri atau mertua aku. Kau pun tahu kan kalau tinggal sebumbung dengan orang lain akan bawa macam-macam masalah?" Sabar Sukri melihat reaksi Tini.

"Tiga tahun aku pergi dari kampung ni, aku bekerja di bandar. Aku kumpul duit sikit. Kita menyewa dan tinggal di situ nanti. Bila kau rindu pada mak ayah kau, kau boleh jenguk mereka. Aku pun macam tu juga. InsyaAllah kalau duit aku cukup, aku belikan rumah untuk kau dan Tasha, untuk kita."

Tini menarik nafas lega. Perancangan Sukri mengujakannya. Dia tersenyum bahagia.

"Setuju tak?"

"Setuju..." Tini mengangguk.

"Alhamdulillah, abang. Semuanya dah selesai. Sal harap sangat Sukri dapat jaga anak kita dengan baik." Harap Wan Saloma.

"Mudah-mudahan doa awak makbul. Abang dah banyak buat kesilapan. Biarlah Sukri bahagiakan anak kita. Abang benar-benar menyesal," ucap Pak Salihin lalu tertunduk.

"Syukurlah abang dah berubah. Sal harap lepas ni Tini tak macam dulu lagi. Terima kasih, abang bagi peluang pada anak kita." Wan Saloma merasa terharu.

"Kita kena terima kasih pada Pak Leman dan Halimah. Kalau tak kerana mereka yakinkan Sukri, Sukri takkan setuju dengan perkahwinan ni. Yalah, anak kita kan perempuan. Rasa malu pula bila kita yang beriya memujuk Sukri untuk kahwin dengan Tini. Walaupun awak kata Tini memang sukakan Sukri, rasa segan sangat dengan keluarga Sukri." Pak Salihin menambah lagi.

"Tak apalah abang. Dah memang keluarga kita yang salah pada keluarga Sukri. Dulu Pak Leman dah banyak berhabis wang ringgit untuk Tina. Kita bersalah pada Pak Leman dengan Halimah, abang. Sal bersyukur sangat mereka dah maafkan kita. Terima Tini pula jadi menantu mereka."

Pak Salihin tersenyum hambar. Kesal dengan segala tindakannya dahulu yang menganiayai banyak pihak. Doanya semoga segala kesilapannya dimaafkan oleh mereka yang terlibat.

Dia mahu mulakan hidup baru. Dia mahu habiskan sisa-sisa hidupnya dengan tenang. Tak mahu persengketaan lagi. Cukuplah. Semuanya sudah dapat pengajaran.

arenayidin

22 Julai 2021

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status