Share

BAB 7

Seperti

burung yang terbang di awan

Berapa lama ia

terbang

Akhirnya

pulang

ke

sarang

juga.

SUKRI pulang! Tiga tahun menghilangkan diri, lelaki itu pulang semula di Kampung Semerah Padi. Kepulangannya mengejutkan kedua ibu bapanya juga Wan Saloma dan Pak Salihin.

Berita kepulangan Sukri sampai ke telinga Tini dan membuatkan gadis itu tersenyum gembira. Terhalang dengan sifat malu kepada kedua ibu bapa Sukri, Tini membatalkan niat untuk bertemu Sukri di rumah lelaki itu. Hanya emak dan ayahnya yang pergi menemui Sukri.

Tini menahan segala kerinduannya kepada lelaki itu. Dia tidak pernah meluahkan perasaan sayangnya kepada Sukri semenjak dia rapat dengan lelaki itu dengan alasan untuk menjaga Natasha bersama-sama demi memegang amanat Tina.

Tanpa disedari Sukri, Tini menyimpan rasa sayang kepada Sukri. Tini mengagumi Sukri yang membela nasib kakaknya Tina. Dia menyanjungi sikap dan rasa kasih sayang Sukri terhadap Natasha. Sukri melayan Natasha, anak Tina dengan baik. Lelaki itu menjaga anak Tina seperti anaknya sendiri.

Dari detik itu, benih-benih sayang mula berputik dan tumbuh di hati Tini. Tanpa menyedari sedikit pun perubahan dan keanehan sikap Tini, Sukri berkawan dengan Tini seadanya. Tini memang baik terhadapnya.

Kedatangan Wan Saloma dan Pak Salihin merungkaikan segalanya. Apa yang terjadi kepada Tini sepanjang ketiadaan Sukri diluahkan Wan Saloma. Penderitaan Tini meruntun perasaan Sukri. Sungguh dia tidak menduga akan sikap Tini yang sebenarnya.

Sangkanya Tini bercakap benar kepada emaknya bahawa kedua mereka hanyalah kawan biasa, yang sama-sama berjanji untuk memenuhi amanat Tina iaitu menjaga Natasha bersama-sama.

Sukri tidak sedikit pun terfikir bahawa Tini menyimpan perasaan istimewa terhadapnya. Sukri melepaskan keluhan yang dalam. Dia benar-benar terkejut dengan berita yang dikhabarkan Wan Saloma.

Rasa terkejut kerana kedatangan Pak Salihin untuk meminta maaf kepadanya, tidak juga melebihi rasa terkejutnya terhadap sikap aneh Tini. Sukri menarik nafas perlahan. Dia merenung Wan Saloma. Wanita tua itu meminta pengertian Sukri.

"Kalau Wan izinkan, boleh saya jumpa Tini?" tanya Sukri meminta keizinan.

"Jumpalah Sukri. Wan dah tak sanggup tengok penderitaan dia."

"Pak cik tak keberatan?" Sukri menoleh ke arah Pak Salihin pula.

"Silakan Sukri. Pak cik dah buat kesilapan halang hubungan kamu dengan Tina. Kali ni Tini tak patut alami hal yang sama. Pak cik minta maaf. Pak cik menyesal Sukri, dah putuskan pertunangan kamu dengan Tina."

Pak Salihin tertunduk hiba. Hal itu membuat rasa kesal Sukri yang tersimpan lama di hatinya muncul semula. Namun digagahinya untuk memaafkan.

"Tak apalah pak cik. Saya dah tak mahu ingat lagi hal tu. Dah lama berlalu pun. Selama tiga tahun saya pergi pun, saya cari ketenangan diri, tak mahu lagi ingat perkara yang sedih, yang buat kita semua bermasam muka. Saya dah redha dengan pemergian Tina." Bergetar suara lelaki itu saat menyebut nama Tina.

"Macam mana dengan Tini, Sukri? Sukri mahu beri peluang pada Tini?" sambung Wan Saloma pula memberi soalan.

"Biar saya jumpa Tini dulu ya, Wan? Saya tak tahu apa yang ada di hati Tini sekarang. Mungkin dia keliru sebab saya mungkir janji untuk jaga Tasha. Sebelum ni Tini selesa saya bersama dia jaga Tasha walaupun hanya melihatnya dari jauh," jawab Sukri tanpa berselindung lagi.

"Kamulah kekuatan Tini untuk besarkan Tasha, Sukri. Bila kamu pergi, kekuatan Tini juga pergi. Dia menyerahkan Tasha pada Wan untuk Wan uruskan segala-galanya. Kasihan Tasha, Sukri. Tini pula hilang tempat bergantung bila Sukri tiada." Penjelasan Wan Saloma benar-benar mengejutkan Sukri.

"Kenapa Tini macam ni Wan? Saya bukanlah sesiapa pun. Wan... Tini tak perlu macam ni."

"Tini perlukan kamu, Sukri. Dia sayang kamu."

Sukri menelan liur di tekaknya yang tiba-tiba terasa pahit. Apakah yang perlu dia lakukan?

SUKRI memandang Tini di hadapannya. Perbualannya bersama Wan Saloma dan Pak Salihin pagi tadi bermain di fikirannya.

Gadis itu yang sedang duduk di pangkin di hadapan rumahnya tunduk memandang tanah. Dia malu untuk memandang wajah Sukri. Bimbang Sukri menidakkan perasaannya kepada lelaki itu, Tini mengangkat muka, mengharap Sukri mengerti.

"Tasha mana, Tini?" Sukri bersuara memecah kebisuan Tini.

"Ada dengan mak," jawab Tini ringkas.

"Dalam rumah?" soal Sukri lagi, sedikit mengerutkan keningnya.

"Tak. Mak bawa pergi kedai. Dia mengamuk minta dibelikan aiskrim," terus-terang Tini.

"Tasha dah sekolah?" Sukri bertanya lagi sambil melihat Tini memperbetulkan selendangnya.

"Dah, tadika. Lagi beberapa bulan nak masuk tahun satu," cerita Tini lalu tersenyum.

"Kau jaga dia dengan baik?"

"Sukri pergi mana? Kenapa sekarang baru balik?" Tini menukar topik. Dia tidak mahu bersoal jawab pasal Natasha lagi.

"Itu tak penting, Tini. Aku cuma pergi untuk cari ketenangan." Perlahan suara Sukri.

"Dah dapat?" Tini bertanya lagi membuatkan Sukri mengeluh kecil.

"Entahlah. Mungkin ketenangan yang aku cari tak ada di mana-mana." Sukri membuat pengakuan. Tini di hadapan sedikit kehairanan.

"Maksud Sukri?"

"Mungkin ada di sini bersama Tasha." Terkedu gadis itu. Dia memandang Sukri tanpa kerlipan mata."Juga kau, Tini."

Bulat mata Tini. Apa maksud Sukri dengan kata-kata itu? Sama ada Tini kurang mengerti atau dia memang tidak mengerti, Tini menunggu kata-kata daripada Sukri. Tini meminta penjelasan namun hanya hatinya yang berkata-kata. Mulutnya terkunci rapat.

"Kenapa kau macam ni, Tini? Mak kau kata, kau mengurung diri, memberontak pada ayah kau. Kau tak pedulikan Tasha. Apa yang kau dah buat ni, Tini?"

Tersentak Tini di situ. Dia terkejut dengan kata-kata Sukri. Dia tidak menyangka Sukri akan bertanya begitu kepadanya.

"Kau sayangkan aku, Tini? Kau macam ni sebab aku pergi?"

Wajah Tini memerah. Dia tidak berkata apa-apa. Tini hanya menundukkan mukanya memandang tanah. Angin yang bertiup pada petang itu tidak dapat menyejukkan hati Tini. Hatinya bergolak.

Gadis itu gembira dengan kepulangan Sukri tetapi dia juga malu apabila ditanya begitu oleh Sukri. Tini mengangkat muka seraya memandang Sukri dengan pandangan yang sayu.

"Aku rindu Tasha, Tini. Rindu kau juga. Sebab tu aku balik. Kau bagi ini pada Tasha, ya. Anak patung ni dah lama aku beli dan simpan untuk Tasha. Harap dia suka."

Perlahan tangan Tini mengambil anak patung yang diberi Sukri. Terasa hiba hatinya saat itu.

"Kau tak mahu cakap apa-apa? Sejak aku sampai, kau tak banyak cakap. Kau marah aku ke?" Sukri bertanya lagi apabila Tini hanya berdiam diri.

"Tak."

"Habis tu, kenapa kau diam?"

"Tak tahu nak cakap apa."

"Aku gembira mak dan ayah kau dah berdamai dengan keluarga aku. Sekarang aku tak ada halangan lagi untuk jumpa Tasha. Aku tak perlu datang secara sembunyi untuk jumpa Tasha. Ayah kau tak marah aku lagi."

Tini mengangguk. Dia tersenyum namun senyumannya kelihatan hambar di pandangan Sukri.

"Kalau kau tak mahu cakap apa-apa, aku balik. Penat aku cakap sorang-sorang, Tini."

"Sukri..." Lelaki itu berpaling semula. Tidak jadi melangkah apabila Tini memanggilnya. "Sukri tak mahu tunggu Tasha balik dulu? Sekejap lagi baliklah tu. Mak bawa dia ke kedai depan tu saja."

"Dia masih ingat aku ke, Tini?"

"Entahlah. Masa Sukri pergi, umur dia baru tiga tahun. Tapi mak selalu bagitahu dia, ayahnya akan pulang satu hari nanti. Hari-hari dia menunggu." Jawapan Tini mengejutkan Sukri.

"Apa? Wan cakap aku ayah Tasha? Kau pun setuju dengan tindakan Wan, Tini? Kenapa kau rumitkan hidup Tasha? Kenapa bohong pada anak sekecil Tasha? Apa yang harus aku jawab bila dia tanya kenapa ayahnya tinggalkan dia?"

"Bukan Tini yang cakap pada Tasha Sukri, mak yang cakap."

"Kau boleh larang kan Tini. Ini semua tak betul. Sekurang-kurangnya kau bagitahu Tasha aku ni pak cik dia atau siapa saja. Bukan ayah dia."

"Sukri mahu Tini cakap yang ayah dia ada dalam penjara? Dia anak penjahat tu? Macam tu, Sukri? Di sekolah dia selalu cerita tentang ibu bapa kawan-kawan dia. Dia nak ada mama, nak ada ayah." Tini berjeda lalu menyambung kemudiannya.

"Tini sanggup jadi mama dia, tapi siapa yang sanggup jadi ayah dia, Sukri? Lukisan-lukisan yang dia lukis tu, Tini tak sanggup nak tengok. Dia impikan ayahnya datang pada dia. Datang peluk dan dukung dia. Memuji lukisan dia." Tini usap mata yang mula bergenang.

"Dia cerita pada kawan-kawan sekolah dia yang ayah dia bekerja di tempat yang jauh. Satu hari akan pulang peluk dia. Sukri fikir, Tini boleh sampai hati nak menidakkan impian anak sekecil Tasha, Sukri?" Tini tertunduk setelah itu.

"Salahkah kebohongan mak tu kalau demi untuk kebahagiaan Tasha, Sukri? Atau Sukri mahu Tini bagitahu Tasha yang ayahnya dah meninggal macam mama dia? Adil ke untuk dia Sukri?"

Tini melepaskan keluhan yang selama ini terpendam di hatinya. Matanya mula bergenang. Sukri tercengang tidak menduga hal seperti itu akan terjadi.

"Tapi Tini... kenapa aku?"

"Sebab Sukri yang ada di hati Kak Tina. Sebab Tasha anak Kak Tina. Siapa lagi yang layak untuk jadi ayah dia kalau bukan awak, Sukri."

"Okey... okey, aku faham. Sekarang... kau nak aku buat apa?"

"Jumpa Tasha dan peluk dia sekali. Tolonglah Sukri, dah tiga tahun dia tunggu awak balik."

"Kenapa kau buat aku macam ni Tini? Hidup kita akan sukar nanti. Orang akan bercakap pasal kita. Kau akan dapat malu. Orang akan mengata kau. Biar aku, aku lelaki. Tapi kau, Tini. Kau perempuan. Kau belum berkahwin tapi menjaga anak kecil bersama lelaki yang bukan suami kau. Kau sanggup terima tohmahan dari orang kampung ni, Tini? Kau dah fikir ke semua ni?"

"Tasha anak saudara Tini. Anak Kak Tina. Tini bukannya jaga anak luar nikah ke apa? Sesiapa pun tak ada hak nak pertikaikan semua ni." Tini bangun dari duduknya. Hatinya sakit dengan penjelasan Sukri.

"Maaf Tini kalau kau salah faham dengan maksud aku. Aku balik dulu, nanti aku jumpa kau lagi. Aku jumpa Tasha nanti. Aku tak mahu bercakap dalam keadaan kau macam ni. Maaf Tini. Aku balik dulu, kau masuklah."

Tini melihat Sukri pergi dengan linangan air mata di pipinya. Dia kecewa dengan Sukri. Kenapa Sukri tidak memahami? Kenapa Sukri tak mahu mengerti?

arenayidin

22 Julai 2021

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status