Share

BAB 6

Bukan aku berdendam. Bukan juga aku egois. Tapi sudah tiba

saatnya aku memperjuangkan rasa yang ada di hati ini. Biar tanpa

atau kau tahu, aku sudah tidak

peduli lagi - TINI

WAN SALOMA memerhatikan Tini yang menongkat dagu di pangkin depan rumahnya. Anak gadisnya itu sudah tidak ceria lagi. Tidak ada lagi senyum manis yang terukir di bibirnya. Tidak ada lagi gelak ketawa manjanya melayan kerenah Natasha.

Yang tinggal kini hanyalah sekujur tubuh yang seakan tidak bernyawa. Seulas bibir yang hanya berbicara apa adanya. Tubuh yang berisi dahulu kini mulai susut. Wajahnya muram mempamerkan fikirannya yang kusut.

Pandangannya yang sayu memperlihatkan hatinya yang telah dibawa pergi. Tiada siapa yang mampu merawat segala kekusutan hidupnya.

Peredaran waktu tahun demi tahun tidak juga mengurangi luka di hatinya. Malah kian parah. Kian meremuk redamkan jiwanya. Itulah yang terjadi kepada Tini. Tempias dari kedegilan orang tuanya sendiri.

"Tini..." Wan Saloma memegang bahu anak gadisnya yang termenung sejak dari tadi.

"Sampai bila Tini nak seksa diri Tini sendiri? Kenapa pilih jalan yang salah, Tini? Redha la, Tini. Mungkin ini yang terbaik untuk kita semua. Lepaskanlah Sukri. Dah tiga tahun. Mak tak tahan tengok Tini macam ni lagi. Berhentilah menyakiti diri sendiri, Tini."

Tini diam membisu. Tidak mengendahkan emaknya. Begitulah setiap hari Tini meneruskan hidupnya yang suram.

"Tini tak kasihankan mak ke? Mak dah tua, Tini! Janganlah Tini macam ni lagi. Tak ada kesudahannya. Kasihan Tasha, Tini. Fikirlah masa depan Natasha. Bukan begini caranya Tini menghukum ayah. Ayah dah tua. Maafkanlah dia. Maafkanlah semua kesilapan ayah."

Wan Saloma menggosok belakang Tini membuat gadis itu memandang emaknya dengan sayu.

"Senang kan mak? Setiap kesilapan dihapus dengan kata maaf. Tapi... yang menanggungnya, Tuhan je yang tahu. Walaupun beribu kata maaf diberi, sembuh ke luka yang ada? Kenapa ayah tak fikir macam ni masa Sukri minta maaf dengan ayah?" Tini menatap Wan Saloma dengan pandangan yang sedikit tajam.

"Atau maaf ayah tu pada Sukri langsung tak ada erti? Tak perlu pun. Bila dah kena pada diri sendiri, tahu pula fikir. Nak menyesal pun tak guna, mak. Nasi... kalau dah jadi bubur, mana mungkin akan jadi nasi balik, mak." Tini meluahkan kekesalannya.

"Tini..." Wan Saloma terpukul dengan kata-kata anak perempuannya itu. "Kenapa macam ni? Tak baik berdendam dengan ayah. Jangan, Tini! Mak tak pernah ajar Tini bersikap macam ni."

"Tini tak nak berdendam dengan ayah. Tak ada niat pun, mak. Tapi masa yang buat Tini macam ni. Tini berhak untuk bahagia, mak. Tapi ayah tak pernah pun bagi peluang itu pada Tini. Ayah rampas peluang tu dari Tini." Tini menghela nafas yang terasa berat.

"Sampai hati ayah kan buat Tini macam ni. Ayah tak kisah kan anak ayah hidupnya macam mana pun? Tak ada beza bagi ayah bahagia ke tidak. Sebab ayah pun buat benda yang sama pada arwah kakak." Dalam kata-kata yang dilontarkan Tini di pendengaran Wan Saloma.

"Kalau ayah ada hati dan perasaan, ayah takkan buat Tini macam apa yang ayah dah buat pada kakak. Dunia ni kejam kan mak? Penuh dengan kepura-puraan. Mengaku sayangkan anak. Tapi, dalam masa yang sama musnahkan impian anak!" Sinis Tini menempelak.

"Ya Allah Tini! Mengucap, Tini. Jangan macam ni. Jangan salahkan takdir. Kita tak mampu nak melawan takdir, Tini." Kepala Wan digeleng. Jujurnya dia sedikit kesal dengan apa yang terjadi kepada Tini.

"Takdir yang ayah cipta mak! Tak siapa berani halang. Tak siapa berani bangkang. Ayah dah buktikan pun sekarang. Semua perkara di bawah telunjuk ayah. Mak yang lama hidup dengan ayah pun tak faham dengan sikap ayah, inikan pula Tini yang bodoh ni mak!" jawab Tini diselangi mata yang bergenangan. Ada rasa perit di pinggir hatinya.

"Sudahlah Tini! Jangan teruskan lagi," rayu Wan Saloma.

"Tini akan tunggu Sukri! Sampai dia balik. Kalau pun sampai Tini tua, Tini takkan berganjak. Kali ni, ayah tak boleh lagi halang Tini. Tini dah penat ikut telunjuk ayah." Tini membentak pula.

Wan Saloma mengetap bibir. Dia mengucap panjang. Risau dengan sikap aneh anak gadisnya itu. Tini sudah berubah daripada seorang anak yang taat pada ibu bapa kepada Tini yang degil. Tini yang memberontak. Tini yang celaru dengan sikapnya yang sebenar.

Wan Saloma berdoa agar Sukri cepat kembali. Hanya Sukri yang dapat memujuk Tini saat ini. Tetapi, akan kembalikah Sukri ke kampung ini lagi? Tiga tahun sudah memporak-perandakan hidup Tini, bagaimana andainya sepuluh tahun pun Sukri masih tidak pulang?

Apakah yang akan terjadi? Bagaimana dengan nasib Tini? Wan Saloma redha dan menyerahkan segalanya pada takdir Allah.

"Tini... mak dah pujuk ayah jumpa ayah Sukri. Mak harap sangat dua buah keluarga ni akan berdamai. Tini jangan macam ni lagi ya? Tini bagi ayah peluang untuk betulkan semuanya. Percayalah pada mak, Tini," pujuk Wan Saloma kemudiannya.

"Tini akan percaya bila ayah pergi jumpa dan bila keluarga ni berdamai semula. Sehingga itu belum terjadi, Tini takkan percayakan ayah! Mak jangan marahkan Tini. Tini dah penat dengan semua ni."

Wan Saloma terkedu dengan kata-kata Tini yang seperti sedikit mengancam.

"Tini... Tini tak sayangkan ayah ke?"

"Ayah pun tak sayang Tini, mak...

" jawab Tini spontan.

"Ya Allah Tini! Sudahlah. Ayah dah berubah. Tini janganlah buat ayah macam ni." Geleng Wan Saloma tidak mengerti.

"Buktikan pada Tini yang kata-kata mak tu benar." Tini bingkas bangun dari pangkin dan berjalan perlahan meninggalkan tempat itu.

Wan Saloma semakin tidak mengerti. Diketap bibirnya sambil menahan rasa sayu.

“Tini! Tini! Tunggu, Tini!”

Laju langkah wanita tua itu mengikuti Tini. Tini yang berada di hadapan tidak mengendahkan panggilan emaknya.

“Tini tak nak bincang apa-apa lagi, mak.” Berhenti langkah Tini saat berpaling kepada Wan Saloma.

“Bukan macam tu, Tini. Mak cuma nak Tini faham je. Cara Tini layan ayah macam tu salah.”

“Dahlah, mak. Tini tak nak dengar apa-apa lagi. Tini cuma nak tunggu Sukri balik je. Biar berapa tahun pun. Tini tak kira. Jangan larang Tini.”

“Mak bukan larang. Mak cuma tak mahu bagi harapan pada Tini. Kita tak tahu Sukri tu akan balik ke tidak. Cukuplah berharap lagi. Biarkan Sukri dengan hidup dia.”

Kali ini, mata Tini tidak berkelip memandang emaknya. Sungguh dia berasa tertekan.

“Biarkan Tini tunggu, mak. Tini sanggup berapa lama pun. Mak jangan larang. Ayah pun jangan campur. Biarkan Tini buat keputusan untuk diri Tini sendiri kali ini, mak. Tolonglah jangan halang Tini.”

Kedua tangan Tini naik di bawah dagunya memohon Wan Saloma agar mengerti apa yang dia mahukan.

Wan Saloma tidak dapat berbuat apa lagi. Kali ini dia pasrah yang Tini benar-benar ingin menunggu Sukri.

arenayidin

22 Julai 2021

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status