Share

BAB 9

Saat

keputusan aku ambil untuk memilihmu, aku sudah siap untuk menerima

apapun

cabaran di masa depan, termasuk

membuka pintu hatiku

untukmu - SUKRI

MALAM. Di rumah ibu mertuanya, Sukri bersama Tini memulakan kehidupan baru mereka bersama setelah selesai majlis akad nikah dan kenduri lewat petang hari itu.

Tini berjanji akan berpindah bersama Sukri setelah majlis kenduri di pihak lelaki pula selesai seminggu yang akan datang.

Sedang Tini selesai mandi dan menukar baju, pintu biliknya diketuk seseorang. Sukri bingkas bangun dari duduknya dan meluru membuka pintu. Kelihatan Natasha di balik pintu.

"Ayah... boleh tak Tasha nak masuk sekejap? Tasha nak cakap dengan ayah, dengan Mak Cik Tini." Si gadis cilik pemilik umur enam tahun itu tersenyum manis dengan tatapan mata yang berkilau.

"Hmm... masuklah!"

Sukri meraih tangan Natasha dan menyuruhnya duduk di atas katil. Tersenyum anak kecil itu sambil melirik Tini yang baru selesai menyikat rambut.

"Kenapa ni tak tidur lagi? Tengok jam dah pukul berapa? Budak kecik tak boleh tidur lambat tau," tegur Sukri kemudian sambil menggoyangkan jari telunjuknya.

"Alaa... hari ni ayah ada kat rumah opah. Tasha nak dengan ayah dulu. Bolehlah ayah. Mak Cik Tini, bolehlah..." rayu Natasha dengan mimik muka comelnya.

"Tasha... dengar cakap ayah. Sekarang, Tasha tak boleh panggil Mak Cik Tini lagi. Panggil mama." Sukri memegang tangan Natasha erat seraya menghadiahkan sebuah senyuman kepada anak kecil itu.

"Kenapa? Mama kan dah meninggal?" Natasha mengerutkan dahinya tanda tidak mengerti.

"Ya... ayah tahu mama Tasha dah meninggal. Sekarang kan ayah dah kahwin dengan Mak Cik Tini. Jadi sekarang Mak Cik Tini dah jadi mama Tasha. Panggil mama ya, sayang." Sukri cuba membuat Natasha faham.

"Tasha kan cakap nak ada ayah dengan mama macam kawan-kawan dekat sekolah. Ha, sekarang kan dah ada." Sukri cuba membuat Natasha tidak bingung. Kata-kata Sukri disambut dengan senyum lebar Natasha.

"Okey ayah, okey mama." Natasha mengangguk perlahan sambil mengacungkan dua jarinya tanda setuju.

"Ha macam tulah. Sekarang, Tasha nak apa?" tanya Sukri lagi.

"Nak mama dengarkan cerita dulu. Barulah boleh tidur."

Mendengar itu, Sukri berpaling memandang Tini. "Hmm... Tini dengarkan Tasha cerita sebelum tidur, ya?"

"Ya..." jawab Tini ringkas, sambil mengelus losyen di lengannya.

"Ayah... boleh tak malam ni Tasha nak tidur dengan ayah dan mama dekat sini?"

Alamak! Terkejut lelaki itu dengan permintaan Natasha. Sekilas Sukri memandang Tini. Tini tertunduk malu. Keletah Natasha menggelikan hati Sukri.

"Kenapa? Tasha tak biasa tidur dekat bilik sendiri ke?" tanya Sukri sambil memegang kedua bahu Natasha.

"Bukan... Tasha nak dengan ayah. Ayah dah lama tak ada. Sekarang ayah dah balik, Tasha nak selalu dengan ayah!" Natasha beriak manja.

"Tasha... ayah penat, jangan kacau ayah. Pergi dengan opah, ya. Besok pagi boleh sembang dengan ayah lagi." Tini menyampuk seraya memandang Natasha.

Natasha tayang wajah cemberut seraya memuncungkan mulutnya tanda tidak puas hati.

"Tak apalah. Tasha pergi baring. Malam ni ayah dengarkan cerita, ya? Ayah cerita pasal sang kancil dengan buaya, nak?" Sukri tersenyum melihat gelagat Natasha.

"Okey! Sayang ayah!" Natasha menjerit riang dan sepantas kilat mendaratkan ciuman di pipi kanan Sukri.

Tini memandang Natasha yang sedang berbaring di katil sambil mendengar cerita daripada Sukri. Hati Tini tersentuh. Sukri memang menyayangi Natasha.

Sedalam mana kasihnya kepada Tina, sedalam itulah juga kasihnya kepada anak Tina.

Tini mengharapkan dia akan berada di ruang kosong antara Sukri dan Natasha. Bukan sebagai ibu saudara Natasha tetapi sebagai mama yang menggantikan tempat Tina. Dikesat hujung ekor matanya yang mula digenangi titik-titik jernih.

"Mama... marilah dengar cerita. Marilah mama! Ayah panggillah mama ke sini." Natasha menjerit kecil mengejutkan Tini dari menungan.

"Ya Tini, mari." Sukri memanggil Tini.

Tini meletakkan losyen di atas meja soleknya dan meluru menghampiri Sukri dan Natasha lalu berbaring di sebelah anak kecil itu.

Leka mendengar Sukri bercerita, akhirnya mata Natasha mulai mengantuk. Mulutnya ternganga menguap beberapa kali. Natasha lena di tengah-tengah Sukri dan Tini. Beberapa minit kemudian Tini juga terlelap sama.

Sukri memandang kedua insan yang berada di sampingnya itu. Kedua mereka menjadi sebahagian daripada hidupnya kini. Dia menarik selimut menyelimuti Natasha dan Tini.

Belum sempat Sukri melelapkan mata, pintu biliknya diketuk pula. Sukri melangkah perlahan menuju ke muka pintu. Sebaik sahaja pintu bilik dikuak, kelihatan ibu mentuanya berdiri dengan muka yang berkerut.

"Tasha ada dengan kamu ke, Sukri? Mak tengok dia tak ada dekat bilik."  Wan Saloma kehairanan.

"Ya, mak... tu dah tidur."

"Ya Allah, Sukri! kenapa biarkan Tasha di sini?" Wan Saloma sedikit terkejut.

"Tak apalah mak. Dia nak saya cerita dulu sebelum dia tidur. Tu dah terlelap. Biarlah dia tidur mak. Kasihan kalau kejutkan dia," ujar Sukri lagi.

"Takkan nak tidur bertiga macam tu Sukri. Jangan ikutkan sangat kehendak Tasha tu. Nanti macam-macam pula dia minta." Wan Saloma mengingatkan diikuti anggukan faham daripada Sukri.

"Yalah, mak. Mak berehatlah. Mak pun penat, kan? Malam ni biarlah Tasha tidur di sini ya, mak?"

"Sukri... ini malam pengantin kamu, Sukri."

Pipi Sukri terasa menegang. Sedikit malu dengan kata-kata ibu mentuanya.

"Tak apa, mak." Sukri berharap pipi merahnya tidak jelas kelihatan di mata ibu mentuanya.

"Hmm yalah... ingat pesan mak Sukri, jangan manjakan dia sangat."

"Baik, mak!"

"Mak masuk tidur dulu ya, Sukri."

"Ya, mak."

Sukri menutup pintu bilik dan kembali menuju ke katilnya semula. Sekilas merenung Tini dan Natasha yang tertidur pulas.

Entah kenapa tiba-tiba terasa gelihati mengingatkan kata-kata ibu mentuanya tadi soal malam pengantin. Sukri menggeleng kepala seraya menyelusup ke dalam selimut bersama Natasha dan Tini.

Hampir setengah jam di situ, tiada tanda-tanda yang matanya akan lelap. Fikiran Sukri menerawang entah ke mana. Sesekali pula dia memandang Natasha yang lena tidurnya. Tini juga begitu. Tenang wanita itu tidur dengan sebelah tangan yang sedang memeluk tubuh Natasha. 

Sukri membalikkan badannya mengiring ke arah Natasha yang berada di tengah. Satu tangannya naik di atas tangan Tini. Digenggam erat jemari Tini hingga isterinya itu perlahan-lahan membuka mata.

Tini terpaku di situ. Matanya melirik pada tangan Sukri yang sedang memegang tangannya. 

“Tini tidurlah.” Sukri melebar senyum.

“Err... abang... err... kenapa belum tidur lagi?” Gugup Tini bertanya. Panggilannya mula berubah kepada abang atas permintaan Sukri beberapa hari mereka bergelar suami isteri.

“Tadi mak cari Tasha.”

“Hah?”

“Dia dah lena. Biarlah malam ni Tasha dekat sini. Tini tak kisah ke?”

Membahang pipi Tini. Entah apa yang hendak dia jawab. Malu menguasainya tika ini.

“Err... Tini okey je...”

“Kalau Tini belum tidur tadi, mungkin abang pertimbangkan nasihat mak. Mak kata ini malam pengantin kita.”

Kali ini pipi Tini merona merah. Tambah berbahang rasanya. Tertunduk Tini memandang Natasha pula.

“Abang gurau jelah. Jom kita tidur. Nanti esok bangun lambat, malu dekat mak.” Sukri tersengih.

Tini mengangguk. Dingin tangannya yang semakin erat digenggam Sukri.

arenayidin

23 Julai 2021

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status