Share

BAB 5

Kejujuran dan kebaikan

seseorang itu biasanya

terlihat

apabila

empunya diri sudah tiada, baik perginya

ia buat sementara atau untuk selama-lamanya.

BEBERAPA kali mengetuk pintu, akhirnya Tini mengalah. Tini muncul di hadapan pintu. Pak Salihin menarik nafas lega.

“Ada apa, ayah?” Tini bersuara namun mukanya masam mencuka.

“Tini masih marahkan ayah lagi?” tanya Pak Salihin dengan kerutan di mukanya. Kelihatannya penuh rasa penyesalan.

“Ayah nak apa?” tanya Tini acuh tak acuh membuat Pak Salihin semakin diburu rasa bersalah.

“Tasha minta kamu keluar. Kasihan dia Tini. Janganlah biarkan dia macam tu.” Pak Salihin mengharap Tini beralah.

“Mak kan ada,” getus Tini ringkas, tidak mahu memanjangkan masalah lagi.

“Tini kan lebih faham apa yang dia nak. Apa yang dia perlukan. Tini dah macam mama dia. Tini patut faham.”

Kata-kata Pak Salihin buat Tini memandang penuh sinis. Ada rasa jengkel di hatinya saat itu.

“Kalau Tini yang bukan ibu dia boleh faham kehendak dia, kenapa ayah, ayah kandung Tini tak pernah faham apa yang Tini nak? Sekarang ayah nak persoalkan apa yang Tini buat? Ayah cakap Tini tak faham Tasha?” balas Tini di balik senyum sinisnya.

“Tini... berapa lama lagi Tini nak marahkan ayah? Dah banyak tahun Sukri pergi. Ayah tak tahu nak cari dia di mana, Tini.” Pak Salihin sedikit merasa bersalah. Jauh di sudut hatinya ingin meminta Tini memaafkan kesilapannya.

“Tini tak suruh ayah cari pun. Tini minta ayah faham saja,” balas Tini kemudiannya, berharap ayahnya tidak berdebat dengannya lagi.

“Ayah minta maaf, Tini. Ayah salah.” Tanpa  diduga Tini, Pak Salihin mengucapkan kalimat itu.

“Dahlah ayah. Tini sakit kepala. Tini nak tidur.”

“Tini... sudahlah! Sampai bila Tini nak marahkan ayah? Ayah tahu ayah silap. Ayah minta maaf, Tini. Ayah tak mahu bermasam muka dengan anak ayah.” Pak Salihin memujuk dengan tujuan Tini tidak akan memanjangkan masalah itu lagi.

“Kenapa baru sekarang, ayah? Kenapa baru sekarang ayah nak akui kesilapan? Ayah tak sedar kan? Dari arwah kakak lagi sepatutnya ayah dah sedar. Ayah kahwinkan kakak dengan Abang Mail walaupun masa tu kakak tu dah bertunang dengan Sukri. Ayah mungkir janji dengan putuskan pertunangan kakak dan Sukri tanpa sebab.” Kali ini Tini meluahkan semuanya.

“Ayah tak malu terima tanah daripada ayah Abang Mail sebagai balasan perkahwinan Abang Mail dengan kakak. Lepas tu ayah berdendam pula dengan keluarga Sukri bila anak kakak kena culik. Ayah sepatutnya berterima kasih pada Sukri sebab dah selamatkan anak kakak. Tapi apa yang ayah buat? Ayah tak pernah nak maafkan Sukri.” Panjang lebar Tini meluahkan.

“Kesilapan Sukri cuma lepaskan kakak dari Abang Mail saja, ayah. Tapi ayah hukum dia sampai bertahun-tahun. Sepatutnya ayah bersyukur bila kakak bercerai dengan Abang Mail. Tapi ayah tak berubah pun kan? Ayah tetap salahkan Sukri. Ayah biar Sukri bergolok bergadai untuk selamatkan anak kakak. Ayah tak nampak pun kan semua kebaikan Sukri untuk kakak, untuk keluarga kita. Sekarang Sukri pergi sebab dia dah tak sanggup nak pikul amanat kakak lagi. Sebab ayah tak pernah nak maafkan dia.”

Tini meluahkan segala ketidakpuasan hatinya. Pak Salihin tertunduk kecewa. Kata-kata Tini ada kebenarannya. Dia berasa kesal yang amat sangat.

“Apa yang ayah perlu buat sekarang ni? Tini tak nak maafkan ayah? Ayah tak tahu nak cari Sukri di mana.” Suara Pak Salihin sedikit merendah. Serendah rasa hatinya kini.

“Ayah tak pernah cuba pun kan nak berdamai dengan keluarga Sukri? Ada ayah pergi jumpa ayah dan ibu dia? Tak ada pun, kan? Habis, macam mana ayah nak tahu Sukri ada di mana? Tini dah muak dengar alasan ayah. Sekarang, ayah biarkan Tini. Jangan pedulikan Tini. Tini tak mengharap apa-apa lagi ayah!”

Tini meluahkan rasa hatinya lagi. Kali ini perasaan yang dipendam itu tidak dapat disimpan lagi.

“Tini...” Wan Saloma tiba-tiba muncul mengejutkan Tini dan Pak Salihin.

“Ya, mak.”

“Kenapa cakap dengan ayah macam tu? Tini tak kasihan ayah ke? Tak baik, Tini.” Wan Saloma penuh mengharap. Semoga Tini akan mengerti.

“Mak pun setuju dengan apa yang ayah buat?” soal Tini tidak berpuashati dengan penjelasan emaknya.

“Bukan macam tu, Tini. Benda dah pun berlaku. Dah tak boleh nak undur balik, Tini. Mak juga harapkan Sukri balik. Mudah-mudahan masalah keluarga kita dengan keluarga Sukri cepat selesai. Tapi kalau Sukri tak balik juga, apa boleh buat. Tini janganlah berdendam dengan ayah pula. Tak elok macam ni, Tini.” Wan Saloma cuba memperbetulkan keadaan.

“Tini tak nak dengar apa-apa lagi mak. Maafkan Tini!”

Tini berlalu dan menutup pintu biliknya. Dia menghempaskan diri di katil. Matanya bergenang.

Wan Saloma menggeleng kepala. Dia tidak mengerti dengan sikap Tini sekarang. Pak Salihin menundukkan wajahnya ke lantai. Hati tuanya tersayat hiba. Wan Saloma hanya mampu memandang Pak Salihin penuh sayu.

“Abang, biarkanlah Tini. Abang jangan layan dia sangat. Biarkan dia. Marilah kita ke depan. Abang berehatlah,” pujuk Wan Saloma sambil menggosok-gosokkan belakang Pak Salihin.

“Sal... nak ke Leman dengan Halimah tu maafkan abang kalau abang jumpa dengan diorang? Abang malu, Sal. Abang mengaku semua ni salah abang.” Pak Salihin membuat pengakuan. Wan Saloma yang mendengar sedikit gundah.

“Abang... kalau abang fikirkan malu, sampai bila pun Leman tak akan maafkan keluarga kita. Sal berdoa setiap hari agar Allah bukakan pintu hati abang untuk berdamai dengan keluarga Sukri. Cukuplah, abang. Tina dah lama pergi. Anak Tina pun dah besar. Abang nak ke permusuhan ni berlanjutan sampai Tasha dewasa?” Pak Salihin terkedu.

“Sekarang Tini jadi mangsa. Tak mustahil satu hari nanti Tasha pula, abang. Kita jumpa Leman dengan Halimah ya, abang...” pujuk Wan Saloma lagi dan akhirnya dijawab setuju oleh Pak Salihin.

“Yalah Sal. Nanti kita pergi ya.”

Hati tua Pak Salihin merintih hiba. Kesal dia dengan apa yang telah terjadi. Semoga Sukri dan Tini akan memaafkannya.

Perlahan Pak Salihin berganjak dari pintu bilik Tini. Hati tuanya metintih hiba. Jikalau Tini tidak mahu memaafkannya, bagaimanakah yang akan dia lalui  sisa-sisa hidupnya nanti?

Kepala yang terasa berpusing dipegang dengan tangan kanan. Berkerut wajah tua Pak Salihin.

“Abang? Kenapa pulak ni?” Cuak Wn Saloma tika melihat keadaan suaminya.

“Abang rasa macam tak sihat badan ni Sal. Kepala rasa berputar pulak ni.”

Cepat-cepat Wan Saloma menarik lengan suaminya seraya mendudukkannya di kerusi ruang tamu. 

“Abang tu banyak fikir sangat pasal Tini. Tu yang jadi macam ni. Tak usahlah abang layan sangat. Nanti okeylah Tini tu. Sal akan pujuk dia lagi. Abang berehatlah. Jangan filirkan pasal Tini lagi.”

Pak Salihin mengangguk. Satu dengusan dia lepaskan.

“Ambilkan abang air, Sal.”

“Yalah. Abang duduk.je sini. Jangan ke mana-mana. Sal ke dapur dulu.”

Wan Saloma bingkas bangun. Perlahan dia menuju ke dapur. Seketika dia berpaling. Kelihatan Pak Salihin sedang menepis hujung ekor matanya dengan tangan kiri.

arenayidin

19 Julai 2021

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status