Share

BAB 4

Sebuah harapan yang menggunung adakah akan terlaksana

tanpa

perjuangan dan pengorbanan? Tatkala

perjuangan dan pengorbanan

mulai

goyah, harapan

mulai

pudar. Di mana harus

kulempar rasa gundah ini - SUKRI

SUKRI merenung Natasha yang sedang leka bermain di hadapan rumah. Wan Saloma sesekali melayan kerenah cucunya itu.

Lelaki itu merasa sungguh hiba melihat anak sekecil Natasha yang pada waktu itu sepatutnya berada di dalam pelukan seorang insan yang bergelar ibu. Tetapi sungguh malang anak sekecil itu kerana sudah menjadi yatim di usia yang masih terlalu muda.

Sukri menampar-nampar lengannya yang gatal digigit nyamuk. Sesekali dia menggaru-garu lengannya itu. Dia memandang anak kecil itu dengan penuh sayu.

Kalaulah Tina masih ada, tentu anak itu tidak seperti sekarang. Mengharap belas manja kasih sayang seorang nenek. Kasihan anak Tina. Dia membesar tanpa kasih sayang seorang ibu.

Tiba-tiba Sukri mengalihkan pandangannya ke arah lain tatkala Wan Saloma perasan matanya mulai bergenang. Cepat-cepat pula dia menghirup kopi di hadapannya sehingga habis.

Wan Saloma mengerti kesedihan Sukri. Dia lebih memahami segala penderitaan anak muda di hadapannya itu. Setelah kehilangan Tina, anak muda itu telah banyak mengajarnya untuk bangkit semula meneruskan kehidupan. Hatinya berasa sayu melihat anak muda itu.

“Sukri... Wan nak tanya sesuatu. Tapi Sukri jangan marah, ya?” tegur Wan Saloma sambil memandang Sukri sayu.

“Ada apa, Wan? Takkanlah saya nak marah.” Sukri melempar senyum pada Wan Saloma, sedikit penasaran dengan pertanyaan yang akan diajukan kepadanya.

“Kalau bukan Tini yang gantikan Tina di hati Sukri, boleh Wan tahu siapa, Sukri?” Terkejut Sukri dengan pertanyaan Wan Saloma.

“Wan... kalaupun ditakdirkan saya akan temui seseorang untuk gantikan tempat Tina, masanya bukan sekarang. Masih terlalu awal untuk saya lupakan Tina.” Tertunduk Sukri saat mengatakannya.

“Saya pun tak habis fikir, kenapalah Tina mesti tinggalkan saya dalam keadaan macam ni. Saya sungguh terseksa, Wan. Saya dapat teruskan hidup ni pun semata-mata kerana amanat Tina, Wan. Kalau bukan kerana tu, rasanya saya dah pergi jauh dari sini.”

Sukri menundukkan mukanya. Tak sanggup rasanya hendak menatap wajah Wan Saloma. Seperti hilang harga dirinya saat itu kerana hampir menangis di depan emak Tina.

“Wan minta maaf, Sukri. Wan tak sepatutnya tanya apa-apa. Wan dah buat kamu sedih hari ni.”

Sukri memandang wajah Wan Saloma yang diburu rasa bersalah kerana telah membuatkan dia bersedih. Sukri tidak menyalahkan Wan Saloma. Dia tahuwanita ini tidak berniat begitu dan hanya ingin dia hidup bahagia.

Seboleh-bolehnya Wan Saloma mahu Sukri memilih Tini sebagai orang yang menggantikan tempat Tina. Memang itu hasrat Wan Saloma dari dulu semenjak Tina meninggal dunia.

Bukan Sukri tidak mahu, tetapi hatinya itu masih lagi tidak dapat melupakan Tina. Hatinya masih lagi belum terbuka untuk menerima kehadiran wanita lain untuk mengisi kekosongan di hatinya itu.

Meskipun Tini adalah gadis yang cukup baik, malah mungkin lebih baik dari Tina. Namun, itu belum cukup untuk Tini hadir di dalam hidupnya buat masa ini. Sukri tidak mahu Tini kecewa jika dia berkawan dengan Tini semata-mata untuk melupakan Tina.

Itulah yang cuba Sukri jelaskan kepada Wan Saloma, emak gadis itu. Lagipun Sukri tidak pernah merasakan yang Tini sukakan dirinya. Tini tidak pernah menunjukkan reaksi yang berbeza setiap kali mereka bertemu.

Tini hanya seperti biasa. Tersenyum dan bertegur sapa setiap kali bertemu. Tidak lebih dari itu. Sukri cukup pasti.

Terbayang pula kenangan perbualannya dengan Wan Saloma beberapa hari sebelumnya.

Macam mana dengan Tini, Sukri? Wan tengok kamu berdua selesa berkawan.” Sukri tersentak. Dia merenung Wan Saloma di hadapannya. Matanya merenung Tini pula kemudiannya.

Tidak Wan. Wan dah salah faham. Saya dan Tini tak ada apa-apa hubungan pun. Cuba Wan tanya Tini. Tini... betul kan apa yang aku cakap ni?

Tini yang sekian lama membatu, terkedu dengan pertanyaan Sukri. Dia betul-betul terkejut dengan penjelasan emaknya itu.

Errr... ya, mak. Tini tak ada apa-apa hubungan dengan Sukri. Betullah tu. Kami kawan saja mak. Mak janganlah fikir yang bukan-bukan. Lagipun, bukan ke tak elok kalau Tini gantikan tempat Kak Tina, mak.

Lamunan Sukri terhenti.

Natasha berlari dan duduk di ribanya. Dia menatap Sukri penuh manja. Disuapnya sekeping pisang goreng ke mulut Sukri.

Seakan tak tertelan rasanya pisang goreng yang berada di mulutnya walaupun sudah dikunyah beberapa kali.

Wajah Natasha betul-betul mirip Tina. Sukri menahan rasa hiba. Amanat Tina supaya dia menjaga Natasha walaupun sekadar melihat dari jauh menjadi satu tanggungjawab untuknya.

Sukri terkenangkan Tina yang meraung-raung minta anaknya dipulangkan sewaktu Natasha dilarikan oleh bekas suaminya Abang Mail. Sukri tak habis-habis dipersalahkan oleh Pak Salihin di atas apa yang terjadi.

Sukri menggalas tanggungjawab yang berat itu untuk memastikan emosi Tina yang tertekan pada masa itu pulih.

Hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan berganti bulan. Anak Tina masih tidak dapat dijejaki sehinggalah masuk bulan kelima, Abang Mail menelefon meminta wang tebusan dan mengugut untuk menyerahkan anak itu kepada orang lain sekiranya Sukri tidak memberinya duit sebanyak RM 20,000.00.

Abang Mail memberikan syarat agar Sukri yang menjelaskan duit tebusan kerana dia ingin membalas dendam terhadap Sukri yang telah menyebabkan dia bercerai dengan Tina. Sukri benar-benar dianiaya oleh Abang Mail.

Sudahlah Abang Mail merampas tunangnya Tina dan bertindak memperisterikannya pula. Abang Mail menculik anaknya sendiri dan mengugut Sukri untuk memberinya duit tebusan untuk membebaskan anak Tina.

Sukri tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang Abang Mail. Dia tidak berani mengambil risiko dengan mempertaruhkan nyawa anak Tina dengan membuat laporan polis.

Sukri tidak ada pilihan selain daripada menurut perintah gila Abang Mail. Pak Salihin pula tidak mahu menolong Sukri dengan alasan Sukri yang menyebabkan cucunya diculik oleh Abang Mail. Sukri terpaksa bergolok bergadai menjualkan tanah ayahnya untuk Abang Mail.

Sebab itulah Pak Leman, ayah Sukri memusuhi Pak Salihin hingga ke hari ini. Pak Leman tidak dapat menerima perbuatan Pak Salihin yang lepas tangan itu walaupun anaknya Tina yang dilanda masalah dan kehilangan cucunya sendiri.

Sebaliknya Sukri pula yang dipersalahkan dan memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah mereka.

Tetapi demi untuk menyelamatkan orang yang tersayang, Sukri merelakan semuanya. Sukri sanggup diherdik ayahnya kerana telah menghabiskan wang ringgit untuk orang lain. Sukri rela dimaki hamun oleh Pak Salihin dalam hal penculikan anak Tina.

Selamatlah anak Tina daripada berada di tangan Abang Mail yang tidak berhati perut itu. Anak Tina dikembalikan tanpa apa-apa kecederaan walaupun berada dalam jagaan Abang Mail selama lima bulan.

Tina betul-betul terhutang budi kepada Sukri kerana telah menyelamatkan anaknya. Namun segala pengorbanan Sukri sia-sia belaka kerana sampai sekarang Pak Salihin masih lagi membenci Sukri sekeluarga walaupun Tina sudah tiada.

Tina meninggal dunia sebulan selepas Natasha dikembalikan kerana terlalu lama berpisah dengan anaknya. Tina mengalami tekanan perasaan yang sangat berat. Dia mula sakit-sakit sehingga satu hari dia tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke hospital.

Tina menghembuskan nafas terakhir tatkala mengenggam tangan Sukri dan berpesan agar Sukri tidak lupa untuk menjaga anaknya itu walaupun hanya sekadar melihatnya dari jauh. Sukri tidak dapat menahan perasaan yang berkecamuk di hatinya.

Tina pergi dengan meninggalkan amanat yang begitu sukar untuk dilaksanakan. Dia perlu menunaikan amanat Tina sementara pada masa yang sama dia perlu berhadapan dengan cemuhan dan kebencian Pak Salihin terhadapnya.

Betapa besar dan beratnya dugaan yang diberikan Tuhan kepadanya. Sukri benar-benar terhimpit. Namun Sukri tetap bersyukur, dalam pada dia diuji dengan pelbagai dugaan, masih ada rahmat di sebaliknya.

Abang Mail yang selama ini sentiasa lolos dari buruan polis, akhirnya tertangkap juga semasa dia sedang asyik di meja judi. Dia berjoli sakan dengan duit tebusan anak Tina itu.

Merengkoklah Abang Mail di dalam penjara dalam tempoh yang agak lama. Dia didakwa bukan sahaja atas kesalahan judi tetapi juga dadah, dalang pelacuran dan juga penculikan anaknya sendiri.

Harapan Sukri untuk menegakkan keadilan kepada Tina dengan tertangkapnya Abang Mail telah pun tercapai walaupun di saat itu Tina sudah tiada untuk menyaksikan Abang Mail kecundang.

Cuma Sukri berharap suatu hari nanti, ayah Tina akan memaafkannya. Menerimanya seperti dulu seperti ketika dia masih menjadi tunangan Tina. Sukri tetap berharap Pak Salihin tidak akan membencinya sampai bila-bila.

Sukri mencium pipi Natasha. Terasa hangat pipi anak kecil itu. Alangkah bahagianya kiranya pada waktu itu Tina ada bersama melihat Natasha membesar.

Dengan itu, Sukri tidak mungkin terikat dengan amanat Tina untuk menjaga Natasha kerana dia tidak ada sedikit pun pertalian darah dengan anak itu.

Secara hukum dia tidak layak untuk menjaga Natasha apatah lagi untuk membesarkannya seperti anak sendiri. Tetapi kerana amanat, Sukri berusaha untuk tidak mungkir janji.

Wan Saloma sendiri pun sebenarnya mengharapkan Sukri untuk menjaga Natasha walaupun sekadar bertanya khabar dari jauh kerana Sukri sendiri dilarang untuk ke rumah Wan Saloma di kala Pak Salihin ada di rumah.

Sukri mengesat air mata yang mula mengalir di pipinya. Dia sungguh terharu melihat Natasha memeluknya manja.

arenayidin

19 Julai 2021

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status