Share

BAB 6

USAI sarapan pagi bersama keluargaku, Fizi terus mengangkat beg dari dalam bilik tetamu untuk pulang semula ke kolej. Aku berlari ke arah pintu kamar untuk berbicara dengannya. Semalam terlalu penat sehinggakan aku tidak sempat memberikan ucapan terima kasih secara formal dan tampak lebih ikhlas dari hati.

   Depan tandas semalam pun sibuk berbual hal lain. Memang terlupa nak memberi ucapan terima kasih kepadanya.

Setelah hampir seminit menunggu, Fizi keluar dari dalam kamar tetamu. Dia agak terkejut melihat aku berdiri di hadapannya dengan penuh senyuman.

“Kenapa duduk depan pintu ni? Kau intai aku ke?” soalnya sambil menyilang tangan ke dada. Aku mencemik bibir bila dia kata begitu.

Haih, tak ada masa aku nak mengintai dia. Buang masa.

“Sebelum kau balik, aku nak ucapkan terima kasih dulu. Aku sebenarnya tak sangka yang kau akan bantu aku,” ucapku jujur. Senyuman nipis aku hadiahkan kepadanya.

“Kau tak payahlah nak berterima kasih sangat dengan aku. Walaupun kau nampak yang aku ni suka sakitkan hati kau, sebenarnya dalam hati aku ni aku tak nak sesiapa sakitkan hati kau.” Aku menggaru sisi kepala.

   Dia tak mahu aku tersakiti, tapi dia sedar tak yang dia sering menyakiti hatiku?

   Haih, pelik pula perangai Fizi ni.

“Dalam hidup aku ni, memang engkau je yang suka sakitkan hati aku tau? Tak ada orang lain yang berani sakitkan hati aku selain kau,” tempelakku seraya mengembung pipi depannya.

“Mungkin sekarang ni kau nampak yang aku suka sakitkan hati kau, tapi suatu hari nanti mesti aku yang akan rawat hati kau.”

Terbuntang biji mata bila Fizi kata begitu. Liurku ditelan berkali-kali. Terkebl-kebil aku memerhatikan riak wajah Fizi yang nampak bahagia meluncurkan ungkapan itu.

“Rawat hati macam mana tu? Rawat hati dengan cinta ke?”

Ude yang baru muncul dari arah belakang terus paculkan persoalan menduga. Terkejut aku dan Fizi bila di jerkah begitu.

Aduhai, kalau Ude dengar perbualan kami memang akan muncul gosiplah di kalangan adik-beradik nanti.

“Apa salahnya kalau saya rawat hati dia dengan cinta, kan?” jawab Fizi bernada jenaka. Aku terus tayang wajah cemberut. Ude suka buat suasana jadi aneh.

Haih, suka sangat menyampuk kalau orang berbual.

“Jomlah pergi dekat kereta cepat. Lagi cepat kau balik, lagi cepat aku pergi hospital.”

Aku berura-ura mahu Fizi pulang ke kolej dengan kadar segera.

Makin lama dia duduk di rumah aku, makin gamatlah suasana jika adik beradik yang lain berkumpul.

Aku memiliki lapan orang adik beradik. Yang tak akan pulang ke rumah hanya Kak Long memandangkan dia dan keluarganya tinggal di Sabah. Lagi lima orang termasuk abang-abang ipar dan anak-anak buah aku, akan tiba dalam waktu tengahari. Aku saja suruh si Fizi balik pagi kerana tidak mahu dia terserempak dengan keluarga aku. Lebih-lebih lagi anak buah sulungku Muhammad. Adeih, mulut anak buah aku tu boleh tahan. Kalau dia nampak Fizi muncul depan muka, mulalah dia sahkan yang si Fizi teman lelaki aku.Eh Kejap … mestilah Muhammad tak datang ke sini kalau Kak Long tak ada. Maklumlah, diakan anak Kak Long.

   Okey, aku lega.

“Eeh, kau ni achik. Macam nak menghalau tetamu je?” Ude menyiku lenganku.

    Aduh, bila masa pula aku nak menghalau dia. Aku suruh pulang je.

   Salahkah tindakan aku tu?

Aku Cuma nak menyelamatkan diri sendiri.

“Mana ada aku menghalau. Aku suruh dia pergi cepat sebab tak mahu wartawan kampung macam kau ni bertanya hal yang bukan-bukan.” Aku menjeling dari hujung mata.

Dalam kalangan adik beradikku, hanya Ude yang suka berfikiran jauh sampai ke tahap dia suka membuat andaian mengikut firasat semata. Dari dia membuat andaian aneh-aneh, lebih baik aku fikirkan cara terbaik supaya Fizi tidak duduk dalam tempoh yang lama bersama keluarga kami.

“Alang-alang Fizi dah datang sini, jomlah makan tengahari dulu dengan kami. Lepas tu nanti petang balik terus ke kolej dengan Achik. Itupun kalau tak keberatanlah.”

Ibu yang baru muncul di depan kami terus memberitahu Hasrat secara spontan. Terbelalak biji mataku bila pandangan beralih memandang ibu.

   Ya Allah, kenapa ibu ni baik hati sangat?

Kalau diikutkan, ibulah manusia paling tak suka bila aku berkawan dengan lelaki. Jangan kata berkawan, duduk satu kereta dengan lelaki pun ibu marah.

   Aku dapat menghidu bau-bau aneh dalam diri ibu. Jangan cakap ibu berkenan pula dengan Fizi si anak jin ni.

“Ibu … tak payahlah menyusahkan dia. Achik boleh suruh Ateh hantar balik.”

Aku memaut tangan ibu ketika mengutarakan rasaku. Keningku berkerut panjang bila ibu mengherot senyuman manis di hadapan Fizi.

“Eh, mana ada susahkan. Saya okey je mak cik, lagipun dah pergi sesama apa salahnya balik pun sama-sama.”

Fizi bermain mata denganku. Sempat lagi dia tayang wajah nakal depanku.

Ergh, dia bahagia sangat dah kenapa?

“Engkau jangan nak mengada eh? Aku lastik telinga kau baru tahu.” Aku sudah berbisik geram.

   Aku tak sukalah dia berlama-lama di sini. Titik!

“Apa salahnya kalau aku duduk lama sikit dekat sini. Bosan juga kalau duduk hostel memanjang.”

Dia menggoyangkan kepalanya ketika membalas omelanku. Ergh, dia tayang wajah jengkel pula depan aku.

   Sabar jelah aku dengan Fizi ni.

   AKU menggigit bibir bila Alang saja menyakat aku dan Fizi. Suami dia pun boleh tahan juga menyakat kami.

Ada ke patut mereka cakap yang muka aku dan Fizi lebih kurang sama? Buang tabiat agaknya nak samakan aku dengan anak jin ni.

   Huh, aku dah agak perkara ni akan berlaku.

   “Kau senyap-senyap je kan Chik? Pandai cari boyfriend dekat kolej.” Ateh pula menyambung usikan Alang.

   Tika ini, aku hanya menunggu Ude bersuara. Hairan pula bila dia yang suka menyakatku selama ini hanya berdiam kaku. Wajah Ude pun tidak seceria seperti pagi tadi.

   Wajah Ude kelihatan berubah setelah ibu berbicara dengannya di ruang tamu.

Apa agaknya ibu katakan kepadanya sehingga Ude berubah riak?

“Mana ada kita orang bercinta. Fizi ni dah ada kekasih, nama dia Almy.” Aku berterus-terang. Tak mahu aku membiarkan keluargaku menganggap Fizi sebagai kekasih hatiku.

“Lega ibu dengar.” Ibu mengusap lembut dadanya. Terpempan aku mendengar perkataan itu.

“Kenapa lega pula ni?”

Aku bertanya aneh. Mendengar pertanyaanku, ibu menghembus nafas berat. Fizi turut memandang wajah ibuku dengan seribu persoalan.

“Alang-alang semua dah ada dekat sini, ibu nak beritahu sesuatulah. Boleh?”

Jantung aku berdegup laju bila ibu sudah tayang wajah serius depan kami. Sesekali ibu fokuskan pandangan mata pada wajahku.

“Eh, kalau hal keluarga saya duduk dekat pangkin dululah. Tak manis pula kalau saya dengar, kan?”

Fizi berura-ura untuk bangkit dari kedudukannya. Tidak mahu ikut campur urusan kami sekeluarga.

“Tak apa, tak dosa pun kalau dengar.” Abang yang sedari senyap terus menyentuh bahu Fizi untuk menghalang dia dari bangun.

Nak bincangkan hal apa pula ni? Aku rasa macam tak sedap hatilah pula.

“Sebenarnya ada seseorang nak melamar achik dan ibu dah terima lamaran tu.” Sepantas kilat ibu memberitahu tentang apa yang berbuku dalam hatinya. Nadiku bagai terhenti sekejap. Sesekali mataku dan Fizi bertatapan. Aku yakin dia pun terkejut bila mendapat tahu berita ini.

“Haaa? Siapa yang melamar achik? Kenapa ibu tak beritahu achik?” senada aku bertanya.

Aku tak tahulah kenapa tiba-tiba mata aku berkaca. Rasa macam tak sanggup nak menghadam berita mengejut ini.

“Aku suruh ibu terima je sebab budak tu anak angkat kawan baik ibu. Kau setuju jelah Chik kalau itu dah pilihan ibu.”

Pandangan mataku berkalih memandang Angah. Kepala digeleng perlahan. Akhirnya air mata aku tumpah setelah mendengar bicara dari Angah.

Angah memang selalu sangat nak buat keputusan untuk aku seolah-olah dia kakak yang sulung.

“Fizi … Jom kita pergi hospital dulu? Lepas tu terus balik U.”

   Tanpa berkata banyak, aku terus bangkit dari kerusi untuk pergi. Segera aku mengajak Fizi bersama.

Aku tahu tindakan aku tidak sopan di hadapan tetamu, tetapi mungkin cara itu paling terbaik untukku.

“Kenapa dengan ibu ni? Kenapa dngan kita orang pun ibu tak berbincang?” Aku mendengar Ateh bersuara nada terkejut.

“Orang pun tak tahu. Orang rasa mesti Kak Long pun tak tahu, kan?” giliran abang pula mengakhiri bicaranya dengan persoalan.

Maknanya hanya ibu dan Angah yang mengetahui hal ini.

Hurm, firasat hati aku kuat menyatakan yang Ude pun tahu hal ini. Sebab itulah dia tayang wajah cencorot kena pijak, sedari tadi.

Haih, kalau dia tahu kenapa tak memberitahuku awal-awal tentang hal ini? Dialah yang paling rapat denganku. Sepatutnya dia bertanggungjawab untuk beritahuku tentang hal rumit begini.

“Ibu dah berbincang dengan Angah. Kami dah sepakat nak jodohkan Achik dengan anak angkat Auntie Leha.”

Ibu menjawab persoalan dari Ateh dan abang. Aku rasa tak betah mahu berdiri lagi di sisi keluargaku.

   Auntie Leha? Aku hanya kenal Auntie Leha sebagai kawan baik ibu ketika ibu menyertai usrah di masjid kampung sebelah. Aku tak pernah ambil tahu tentang latar belakang keluarga itu.

        “Anak angkat Auntie Leha? Oh, okey on.” Terkejut aku bila tiba-tiba abang bersetuju mendengar nama Auntie Leha.

   What … Kenapa abang setuju.

On juga.” Ateh pula tiba-tiba tersenyum.

Eh, kenapa semua orang macam dah kenal siapa bakal tunang aku?

   Ya Allah, apa yang telah berlaku sebenarnya?

“Aik, mudahnya on?” Fizi bertanya spontan. Dia pun pelik agaknya mendengar keputusan dari kelurgaku.

Macam tak berfikir panjang.

“Kenapa semua on pula ni? Sekarang ni Achik yang tak on. Achik belum habis belajar lagi tau?” turun naik dadaku menghamburkan kemarahan.

Aku sangat marah dengan segala keputusan.

“Lepas dah konvo nanti barulah fikir pasal kahwin. Tak sampai setahun pun kau akan habis belajar, terima jelah lamaran tu.”

Aku mengherot senyuman tawar bila Angah kata begitu.

   Kali ini, Angah benar-benar buat aku marah dan kecewa.

   “Jom Fizi jumpa adik aku sekarang. Lepas tu kita balik! Hati aku dah meletup macam mercun bola dah ni.”

   Aku dah tak mampu nak berbincang hal ini lagi. Ada baiknya aku dan Fizi keluar dari rumah secepat mungkin.

   “Ooo … okey jom.”

“ACHIK… Janganlah merajuk macam ni. Ibu buat macam itu ada sebab.”

Ude yang berdiri di tepi katilku sudah bersuara nada lembut depanku. Dia cuba memujukku agar tidak merasa sakit dengan keputusan ibu.

Tapi hakikatnya aku sakit menerima permintaan ini.

“Sebab apa ha? Sebab memang sengaja nak suruh aku kahwin awal ke? Aku ni belum habis degree lagi, lepas ni aku nak sambung belajar lagi. Aku tak bersedia nak berkahwinlah,” hamburan marah yang masih bersisa aku lepaskan di hadapan Ude.

   Hanya Ude aje yang akan tahu isi hatiku sekarang ini. Aku yakin itu. Kalau dia tak faham, dia akan membiarkan aku kesedihan.

Selama ini, hanya dia yang akan menjadi pendengar setiaku. Walaupun kami suka bertikam lidah, tetapi dia yang akan hadir bila aku perlu.

“Bukan macam itu achik. Nanti bila kau dah jumpa tunang kau tu, baru kau faham kenapa kita orang terima je lamaran tu.” Aku dapat melihat Ude tersenyum penuh makna.

Aku sedikit hairan bila Ude tersenyum.

“Peliklah kau orang ni. Aku ni kalau nak berkahwin, mestilah aku nak kahwin dengan lelaki yang aku suka dan cinta. Bukan lelaki yang ibu tentukan.”

Aku tidak mempedulikan senyuman itu. Aku hanya melepaskan esak tangis di hadapan Ude untuk melepaskan segala bebanan yang terkumpul dalam hati.

“Kau nak berkahwin dengan siapa? Dengan ustaz jambu yang gabung kelas dengan kau tu ke?” tiba-tiba Ude bertanya nada menduga. Aku sedikit terkejut.

“Aku tahulah aku ni tak sempurna. Aku tak akan dapat lelaki sebaik Halmy tu. Tapi kalau aku tak dapat dia pun, aku berharap yang aku akan berkahwin dengan lelaki aku cinta.”

   Itulah impianku. Mahu mencintai seorang lelaki yang aku cintai bukan kerana pilihan. Tetapi aku mahu cinta itu lahir dari hatiku sendiri.

        “Kalau kau rasa dia tak layak untuk kau, sepatutnya kau dah boleh buang kut gambar-gambar candid dia yang kau tampal dekat cermin ni.”

Ude menuding jari ke arah cermin besar di hadapan katilku.

Aku tak kuat mahu bercerita banyak. Aku mahu pergi tenangkan diri.

“Dahlah, Fizi mesti dah tunggu. Aku balik dulu,” ujarku lantas bangkit dan beredar dari kamar tidurku.

AKU faham kau marahkan keluarga kau sebab buat keputusan macam tu. Tapi kau tak sepatutnya marah-marah ibu kau dalam keadaan dia bersedih dengan keadaan adik kau.”

Mendengar suara Fizi memberi kata nasihat kepadaku, automatik kepalaku yang tertunduk sedari tadi terus mendongak pandang ke wajahnya.

“Kalau dah tahu bersedih kenapa beritahu hal lamaran tu dalam keadaan tak sesuai macam ni,” luahku nada pilu. Air mataku menitis Kembali.

   Haih, lemahnya aku waktu ini.

“Dia cakap macam tu mungkin sebab harini semua anak-anak dia berkumpul. Aku yakin yang adik beradik kau mesti susah nak berjumpa, sebab itulah ibu kau beria-ia beritahu hal tu harini juga.”

Mendengar bicara dari Fizi, aku terdiam buat seketika. Perlahan-lahan aku cuba menghadam butir ayat darinya.

“Hurm, aku sedihlah bila ibu aku buat keputusan tak berbincang dengan aku.” Itulah hal yang paling aku sedih sekali.

Kenapa ibu tak berbincang sesuatu hal dengan aku terlebih dahulu?

Kenapa tergesa-gesa membuat keputusan?

Apakah aku tak layak untuk memberi sebarang keputusan?

Argh, aku merasakan ibu mula pentingkan diri.

“Kau sedih sebab kau dah tak boleh pendamkan perasaan kau dekat Halmy ke bila dah bertunang?”

   Kali ini, aku disapa perasaan kaget.

Aku merenung Fizi tanpa berkelip. Melihat senyuman di bibirnya cukup membuatkan perasaan hatiku bercampur-campur.

   “Haaa?” itu saja yang mampu terkeluar dari bibir.

   “Orang gila je tak perasan yang kau sukakan Halmy Ikram.” Dia tersenyum-senyum. Aku pula masih tayang wajah terkejut bukan tahap biasa-biasa.

“Nampak sangat ke yang aku sukakan dia?” Aku tidak boleh menafikan pengetahuan Fizi tentang hatiku.

Nampaknya Fizi memang dah tahu yang aku suka Halmy, Jadi aku perlu berterus-terang saja.

   “Orang gila je tak nampak yang kau suka sangat dengan dia tu,” sambungnya lagi.

   “Hurm, mesti kau orang perasan waktu aku dok pandang-pandang dia bila dia buat presentation dekat depan.” Aku memuncung bibir sedepa.

   Aku yakin, orang sekeliling aku dapat mengetahui isi hatiku terhadap Halmy mungkin kerana tingkahku.

   Aduh, kenapa aku selalu jadi manusia gagal untuk menyembunyikan perasaan bahagiaku? Tak pasal-pasal orang tahu hal aku.

   Malunya aku.

“Bila dia berdiri depan kau pun kau punya mimik muka bahagia tu tak boleh nak sorok langsung. Mestilah orang perasan,” cerita Fizi lagi.

Langsung tak beri peluang untuk aku bernafas dengan tenang. Ada saja teknik kejutan yang dia hidangkan dalam ungkapannya.

Aku diam membuatkan suasana kereta menjadi sepi.

   Setelah hampir seminit berdiam, aku pasungkan pandangan memandang Fizi dari tepi. Aku ingin bertanyakan sesuatu yang mula bermain di ruang mindaku.

“Kalau kau tahu aku sukakan dia, kenapa selama ni kau tak pernah ejek pula aku dengan dia?”

Aku perasan bahunya terjongket seperti terkejut dengan persoalan yang aku ajukan kepadanya.

“Sebab aku tak nak sakit hati sendiri. Just simple question …,” balasnya meleret-leret. Aku menggaru sisi kepala.

   “Eeh, dah kenapa pula kau nak sakit hati?” Kening aku terjongket tinggi. Aku kurang mengerti.

   “Engkau terima jelah pilihan ibu kau tu. Sebab tak semestinya cinta tu akan jadi milik kita. Kadang-kadang, kita perlu lepaskan orang yang kita sayang untuk tengok dia bahagia.”

   Kali ini, bicara Fizi benar-benar menusuk ke jantung sehinggakan aku tidak mampu membalasnya.

   Ya Allah, benar juga apa yang dia katakan kepadaku.

Buat apa aku nak kejar cinta yang bukan aku punya?

   Perlukah aku mengejar Halmy sedangkan aku pun tahu yang dia terang-terang reject aku tempoh hari.

   “Engkau pernah rasa macam apa yang aku rasa tak?” Aku menyoal Fizi. Ingin tahu tentang perasaannya.

   Alang-alang kami dalam zon selesa, lebih baik aku mengenalinya dengan lebih rapat.

“Aku pernah rasa. Kalau kau nak tahu, aku bercinta dengan ramai perempuan sebab aku nak hilangkan perasaan aku dekat dia. Tapi makin aku cuba buang,makin hati aku ni sakit pula.”

Mamat kaki pukul macam kau pun sejenis jiwang karat juga eh?”

“Aku bukan pukul orang ikut suka. Aku selalu belasah orang bersebab.” Aku ketawa kecil.

   Nak pukul orang memang perlukan sebabkah?

   Kalau dah pukul orang … itu namanya dia memang dah letakkan kezaliman lebih tinggi dari kemanusiaan.

“Salah satu sebabnya sebab dorang kacau awek kau, kan?” Aku bertanya lanjut. Aku angkat kening berkali-kali.

“Cuba kau fikir, kenapa aku tak pernah kena buang kolej walaupun orang kata yang aku ni pukul orang?” Aku terdiam.

   Patutkah aku jawab soalan dia ni? Macam tak ada jawapan aje.

   Aku hanya mampu menggeleng.

“Hurm, kasihannya aku ni asyik nampak jahat je dalam cerita orang lain.” Kedengaran tawanya bertempik ke telinganya. Jelas, tawar gelak tawa itu.

   Seperti Fizi memendam sesuatu.

“Apa maksud kau?” aku bertanya inginkan kepastian. Tetapi dia hanya senyum canggung.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status