Share

NOTICE ME, MR. CRUSH (BAHASA MALAYSIA)
NOTICE ME, MR. CRUSH (BAHASA MALAYSIA)
Author: Rabetkha

PROLOG

“HALMY… Betul ke awak tak kenal saya? Awak memang tak kenal atau pura-pura tak kenal?”

Aku bertanya serius sambil tangannya aku paut agar dia tidak melarikan diri dariku lagi.

Sumpah … aku tak mahu dia menjauh dariku.

Sejak dari dalam bilik mesyuarat lagi bibirku bergetar-getar mahu meluahkan kekecewaan aku di hadapannya.

Aku mahu bertanya depan muka, mengapa dia putuskan pertunangan kami begitu saja dan hanya meninggalkan pesanan mesej ringkas kepadaku.

Aku mahu bertanya, kenapa dia dan ahli keluarganya langsung tidak mahu berjumpa aku untuk memutuskan pertunangan kami waktu itu.

Aku mahu tahu segalanya tanpa ada sedikit pun persoalan yang tersisa.

Selama bertahun-tahun aku pendamkan rasa sakit seorang diri.

Perasaan pedih itu tak pernah pudar dalam sukmaku.

Hari ini, rezeki aku dapat bertemu dengannya semula setelah beberapa tahun dia pergi menghilangkan diri.

Aku akan pastikan yang dia menjawab segala pertanyaan aku dengan jujur. Selama lima tahun aku tertanya-tanya akan kehilangan dia dan keluarganya. Petang ini bertemankan kekuatan yang aku kumpul sejak tadi, aku tak akan melepaskan peluang untuk meminta dia menerangkan segala hal kepadaku.

Sorry, I memang tak kenal you. Kenapa dari dalam lagi you asyik tanya I soalan yang sama eh?” soalan dibalas dengan soalan.

Aku perasan, perubahannya sangat ketara. Dari segi pemakaian sehinggalah dari segi karakternya berubah seratus peratus.

Hari ini aku bertemu dia dalam keadaan dia sangat angkuh dan berlagak. Dari dalam lagi, dia asyik tayang wajah ketat aje bila mendengar setiap cadangan dari kaki tangan Romeo Palace.

Halmy Ikram dikenali sebagai pengurus baru Romeo Palace yang menggantikan pengurus kami yang telah berpindah cawangan di Sarawak.

Setahu aku, pengurus di syarikat Romeo palace di cawangan Kuala Lumpur merupakan anak Dato Karim iaitu pemilik Hotel Romeo Palace di seluruh Malaysia. Entah mengapa tiba-tiba Halmy pula yang munculkan diri dan menjadi pengurus di sini. Mengikut penyelidikan aku selama ini, Dato Karim memiliki empat orang anak lelaki dan semuanya layak menjadi pewaris di hotel ini.

 Apa hubungannya dengan Dato Karim? Tak akan pula dia pun anak Dato Karim? Kalau dia memang benar anak dato, Namanya yang tertera di skrin LED tadi sudah tentulah nama Dato Karim.

Masalahnya nama yang tertera tadi ialah Halmy Ikram bin Ilham. Dan nama itu memang nama bekas tunang aku ketika di zaman kolej dulu.

“Halmy, apa dah jadi dengan awak ni? Kenapa awak dah lupakan saya?” tubir mataku berkaca-kaca. Terasa remuk jiwaku bila Halmy Ikram langsung tidak mengenali diriku.

“Macam mana I nak lupakan you kalau kita memang tak pernah kenal. Stupid!” Keningnya terjongket tinggi ketika memandang wajahku.

Jantungku bagaikan terhenti sesaat. Dari riak wajahnya, dia memang langsung tak kenal aku.

Stupid? Dia panggil aku stupid?

How dare you!

“Ini Ally Jasnita Binti Jasman. Tak akan awak tak kenal? Kita pernah bertunang dan awak minta putus dengan saya tanpa sebab.”

Aku menyebut nama penuhku di hadapannya semata-mata mahu dia mengembalikan memori bersamaku.

“Ally Jasnita?” Aku segera mengangguk bila dia mengulang semula namaku. Mendengar dia menyebut namaku sudah membuatkan bibir menguntum senyum. Aku harap dia kenal aku.

Lama dia berdiam diri seperti memikirkan sesuatu. Dia membuang pandangan memandang dinding kosong sebelum merenungku semula.

Haaa… I rasa you terlalu rindukan tunang you. Sebab itulah you beria-ia cakap pasal tunang you.”

Jatuh rahangku bila mendengar jawapan itu terluncur keluar dari bibir Halmy Ikram. Tanpa dipaksa, air mataku bergenang di hadapannya.

Ya, aku rindukan engkau. Tolong, ingat aku.

“You janganlah nak menangis dekat sini pula. I tak sukalah orang menangis depan I,” tuturnya nada sinis. Kedua belah tangannya diletakkan dalam poket.

“Masalahnya awak tipu saya, mestilah saya menangis. Mungkin awak pura-pura tak kenal saya sebab awak dah kaya sekarang ni, kan?”

Setelah aku mengakhiri bicaraku dengan persoalan, tiba-tiba Halmy Ikram meletus tawa sekuat hati.

Kenapa dia gelak? Aku langsung tak buat lawak. Dia ingatkan pertanyaanku satu gurauankah?

“Kenapa awak gelak haaa? Saya tak buat lawak pun.” Merah padam wajahku menahan marah.

“You ni sebenarnya nak jadi kekasih lelaki kaya macam I, kan? Sebab tulah you guna taktik ni untuk perangkap I.” Dia mengherot senyuman ke tepi. Aku mengucap panjang bila dia senang-senang saja menuduhku memerangkapnya.

Dia ingat aku ni buat-buat ceritakah?

Dia ingat aku ni tak ada maruahkah mahu menggunakan taktik kotor untuk memiliki sekeping hati orang kaya?

“Saya tak tipu. Kita memang pernah bertunang. Tak akan perkara tunang ni saya nak menipu pula?”

Hancur berkecai hatiku bila dia tayang wajah menyinis depanku. Langsung tak ada perasaan simpati denganku.

Beberapa ketika, dia dekatkan wajahnya denganku. Tangannya pantas mencengkam tanganku tanpa belas kasihan.

“You memang penipu. Kalau lagi sekali you buat perangai macam ni, I sendiri akan pecat you dari Romeo Palace.” Jari belah kanan menuding jari tepat pada wajahku. Halmy Ikram mengetap kuat bibirnya. Tergeleng-geleng kepalaku melihat tingkahnya.

“Apa masalah awak ni? Awak memang pura-pura tak kenal saya, kan? Mengaku jelah!” suaraku separa teriak.

Aku langsung tidak peduli ada mata yang memerhati. Lebih-lebih lagi mata lelaki yang sedari tadi berdiri di sisi Halmy Ikram. Segera, aku melepaskan genggaman tangannya dari terus menyakitiku.

“Sekali lagi I ulang eh? I memang tak kenal you. I ni kalau hilang ingatan sekali pun, I tak akan nak bercinta dengan perempuan bawahan macam you.” Angkuh dia memberi balasan bicara. Makin robek hatiku bila dia seperti mahu merendah-rendahkan tarafku. Aku tahulah yang dia ni orang kaya, tapi tak perlulah nak buat ayat bajet bagus.

“Saya akan buktikan yang awak memang bekas tunang saya.” Aku masih berkeras dan yakin dengan pandangan mataku.

Mana mungkin aku silap orang. Aku ni tak nyanyok lagilah sampai tak boleh kenal nama penuh dan wajah lelaki yang pernah aku tergila-gilakan dulu.

Orang yang aku tergila-gilakan tu crush aku.

Beberapa saat mata kami saling bertatapan, tiba-tiba kepalanya merapati wajahku sehinggakan deruan nafasnya jelas kedengaran di pelupuk telingaku. Tindakannya membuatkan aku tersandar pada dinding.

“You nak buktikan yang I ni tunang you? Hurm, I ni memang tak mahu tahu pasal you, jadi sejuta bukti you hidangkan depan mata I pun, I tak akan percaya yang I pernah bertunang dengan you.”

Aku tersentak bila dia kata begitu. Lagi aku terkejut bila dia tersenyum sinis lantas rambut yang terjuntai di dahiku dia selitkan ke belakang telinga. Selamba badak je dia sentuh-sentuh rambut aku.

Haih, waktu aku bertunang dengan dia dulu punyalah dia beria-ia suruh aku belajar pakai tudung sebelum berkahwin. Sekarang ini, tiba-tiba pula dia yang selamba selitkan rambut aku yang berjuntai di belakang telinga.

Aku makin keliru dengan perubahannya. Sampai hati aku sendiri pun rasa yang aku ni salah orang.

Tapi … tak mungkinlah aku salah orang kalau nama dan wajahnya sama. Ya Allah, bantu aku cari kebenaran.

“Kalau nak bekerja di Romeo Palace pastikan rambut you ni terikat kemas. Jangan juntaikan rambut dekat dahi. You ingatkan sikat rambut ala kpop ni cantik sangat ke?” Alangkah terkejutnya aku bila lelaki yang aku kenal sebagai seorang lelaki yang menjaga ikhtilat, berani mendekatkan wajahnya denganku. Walaupun aku terkejut dengan tindakannya, tubuhku bagaikan kaku tidak mampu menghalang tindakannya. Sedari tadi, ekor mataku hanya mengamati riak wajahnya yang sudah lama tidak aku temui.

Aku tak tahulah nak terangkan bagaimana degupan jantung aku ketika ini. Laju sangat sampai aku rasa susah nak bernafas. Kadang-kadang rasa macam terpelanting keluar jantung aku dari tubuh badan.

“Tolong jauh dari saya. Jangan berani-berani nak rapatkan tubuh awak dengan saya!” Aku yang bagaikan tersedar, terus menolak tubuh Halmy Ikram agar dia jauh dariku.

“Jauh dari kau? Aku rasa, aku tahu kut apa yang perempuan murahan macam kau nak dari aku.” Dia tersenyum sinis depanku. Kata-kata yang baru terbit dari bibirnya membuatkan seluruh jiwaku meluruh.

Dia menganggap aku murahan? Tergamaknya dia menuduh aku sebegitu rupa.

Kenapa dia berbeza?

“Saya bukan murahan. Awak memang lelaki yang saya cinta. Saya yakin dengan naluri hati saya!”

Halmy Ikram menyungging senyuman setelah aku menyudah kata. Tanpa bersuara, lelaki itu hanya meliar pandang ke dalam mataku. Seperti mahu memastikan sesuatu di sebalik sinaran mataku.

Makin lama, Halmy Ikram mendekatkan tubuhnya denganku. Kemudian, dia mengangkat tinggi tangannya dan letakkan pada dinding.

“Kau yakin dengan naluri hati kau tentang aku?” Pantas aku mengangguk. Mata sudah berkaca-kaca menahan tangis.

Hanya kekuatan dari tuhan aku harapkan.

“Saya yakin, awaklah cinta pertama saya.” Aku tewas. Akhirnya mutiara jernihku tumpah membasahi pipi.

“Tuan Ikram, kita dah lambat dah ni. Kalau makin lama kita dekat sini, makin lambat perjalanan kita nanti.” Pembantu peribadinya bersuara setelah berdiam diri sejak tadi. Halmy Ikram memandang sekilas wajah pembantunya kemudian pandangannya kembali memandangku.

“Cik Ally jasnita, I kena pergi dulu. Lain kalilah I layan kisah dongeng you ni ya? See you soon,” ujarnya masih ketawa memandangku dari atas ke bawah.

See you soon?

Maknanya dia ada niat nak bersua muka dengan aku lagi? Kalau dah rasa tak kenal aku kenapa beria-ia pula nak sebut perkataan See you soon?

Ergh, menyampah pula aku. Kenapa dia perlu beri harapan andai dia benar-benar merasa aku ini penipu?

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status