Share

BAB 1

SETIAP manusia mempunyai seseorang yang bisa membuatkan hatinya berbunga tatkala bersua. Setiap manusia mempunyai cita rasa yang berbeza-beza.

Saat kita sudah berjumpa seseorang yang sudah terpaut di hati, jiwa kita mula ceria, hati pula mula terasa seperti hadirnya bunga-bunga cinta sedang mekar harum di dada. Begitu juga aku. 

Nama panggilan aku Aj. Haaa, Aj tu bukan singkatan nama Ayda Jebat si Penyanyi lagu siapa diriku tu. Tapi singkatan bagi namaku iaitu, Ally Jasnita. Aku seorang siswi di sebuah kolej swasta. Aku sedang menuntut Ilmu dalam bidang pendidikan. Sekarang ini aku meneruskan pelajaranku ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Ketika aku sudah menjejakkan langkah ke semester baru, aku bersua dengan seorang mahasiswa. Saat itulah, hatiku mula terpaut untuk mencintai seorang jejaka yang menuntut Ilmu di dalam bidang pengajian Islam. Dia yang membuatkan jiwaku bagai berlayar di awangan tinggi.

Aku kenal si dia kerana siswa dan siswi dari program sama seperti aku perlu bergabung kelas untuk satu subjek. Kami perlu berkongsi kelas bersama pelajar-pelajar dari program Pengajian Islam.

Susah sungguh aku ingin menghampiri si Mr. Perfect aku yang seorang ni. Bila aku ingin berbicara dengannya, pasti dia akan menunduk kepala. Hairan pula aku melihat sikapnya yang sering menduga hatiku.

Fuh, Bila dengan manusia lain boleh pula matanya fokus merenung.

Kadang-kadang, aku berfikir sejenak.

Buruk sangatkah aku di mata dia sehinggakan dia langsung tidak berselera merenung wajahku? 

Terlalu teruk sangatkah cara aku berpakaian sehingga dia tundukkan wajahnya bila menghampiri diriku?

 Hanya kerana sikapnya yang begitu rupa, aku sering tertanya-tanya …

 Layakkah aku mencintai seorang lelaki yang terlalu sempurna di mataku? Sedangkan aku pula memiliki banyak kekurangan dalam diri ini. Dalam banyak-banyak kekurangan yang aku miliki, ada satu kekurangan yang mampu melemahkan emosi dan fikiranku. Iaitu kekurangan mengenal warna.

Aku seorang insan yang mempunyai masalah penglihatan. Aku bukanlah buta celik mahupun buta sebelah mata.  Sebenarnya ketika aku berada di bangku sekolah rendah, penglihatanku normal seperti kanak-kanak yang lain. Aku dapat mengenal segala warna asas yang aku pelajari di dalam kelas. Dulu, warna kegemaranku warna kuning. Aku suka segala hal yang berkaitan dengan kuning. Kerana warna itulah yang mampu memberi semangat kepadaku. Namun … nikmat itu hanya dipinjamkan buat seketika.

Semenjak usiaku meningkat, makin lama pandangan dan fokusku terhadap warna-warna sekeliling menjadi semakin aneh. Warna kuning yang aku minat dahulu pun sudah tidak mampu aku teliti dengan fokus.

Setiap kali aku melukis dan mewarna ketika belajar Pendidikan Seni di sekolah menengah, pasti cikgu menegurku tentang kombinasi warna yang aku hasilkan di atas kertas lukisan. Semua warna itu berbeza dengan arahan yang diberikan oleh guruku. Sejak dari itulah aku cuba membuat ujian mata untuk mengenal pasti masalahku.

Hancur. Hati aku hancur bila doktor mengesahkan yang aku sebenarnya mengalami masalah ‘colour blind’. Berdasarkan ujian, hampir semua warna aku tidak dapat kenalpasti.

Mungkin dipandangan mata mereka yang tidak mempunyai masalah mata hanya memandang masalah aku ini hanyalah perkara biasa. Tetapi bagiku masalah inilah yang mampu mengganggu emosiku.

Bayangkan, orang lain seronok-seronok pilih pakaian mengikut minat mereka, tapi aku? Hanya meminta orang lain yang pilih pakaian untuk aku. Ketika orang lain menyatakan sesebuah pemandangan itu indah, aku hanya mampu tersenyum walaupun aku tidak dapat mengenal pasti keindahan itu.

Sedih sebenarnya jadi aku. Memang sedih.

Kebiasaannya, mereka yang mengalami masalah buta warna hanya tidak mampu mengenal pasti warna-warna tertentu, tetapi aku sejenis manusia yang tidak boleh mengenal pasti mana-mana warna selain hitam dan putih bila tekanan cahaya lampu mahupun mentari mengena kornea mataku.  Aku pun tidak tahu kenapa tahap buta warnaku seteruk itu. Mungkin aku ni satu dalam sejuta.

 Tapi bila difikirkan semula, aku ni kadang-kadang sengal juga. Dah tahu buta warna, pergi bijak pandai sangat ambil kos Pendidikan Awal kanak-kanak dah kenapa? walhal ketika di sekolah menengah dan tingkatan enam aku pelajar jurusan perakaunan.

Tiba-tiba aku terbayang suasana jika aku mengajar tentang warna bila di sekolah nanti. Pasti aku sendiri yang keliru dengan warna yang tertera di dalam sesebuah buku.

Nasib kaulah AJ. Siapa suruh nak cabar diri sendiri, kan? Kononnya aku ambil Pendidikan awal kanak-kanak atas alasan nak belajar mengenal warna. Haih, kelakar betul alasan aku.

Kalau nak diceritakan tentang kekurangan aku, dari A sampai Z pun tak akan pernah habis. Aku ni bukan setakat tak sempurna pandangan, rasanya memang tak sempurna kut nak jadi seorang isteri. Al-maklumlah perangai aku yang kasar ni membuatkan ramai orang tak suka mendekati.

Agaknya-agaknya kalau perempuan pun tak suka berkawan dengan aku disebabkan sikap kasar yang aku miliki, lelaki boleh terimakah kekurangan aku yang satu itu?

Oh ya … Sibuk sangat cerita pasal buta warna sampai aku sendiri terlupa nak beritahu yang aku ni sebenarnya terasa janggal bila terpaksa bergabung kelas dengan pelajar kos lain. Mana tak janggalnya kalau kami di arah untuk bergabung kelas bersama-sama pelajar dari program pengajian islam?

Maklumlah, cara hidup kami agak berbeza berbanding mereka.

Pelajar-pelajar dari sekolah agama dan tahfiz, mementingkan penjagaan ikhtilat. Kebanyakan dari kami pula hanya pelajar dari sekolah kebangsaan harian. Pergaulan kami di sekolah biasa seperti orang kebanyakan yang ada di dunia ini.

Kami bukan hairan jika bergabung lelaki dan wanita bila beradu kening dan bertatapan mata. Pada pandangan mata kami, lelaki dan perempuan boleh berkawan asalkan menjaga batas pergaulan masing-masing.

Bagi mahasiswa dan mahasiswi dari program pengajian Islam pula, lelaki dan wanita tidak boleh bergaul kerana boleh mendatangkan syahwat dan mampu mengundang fitnah. Aku akur, itulah yang diajarkan oleh islam kepada penganutnya.

Aku selalu merasakan diriku kerdil bila berada di samping mereka yang hebat-hebat bagiku, sehinggakan aku selalu cuba untuk menafikan perasaanku terhadap Halmy Ikram. Walaupun aku tahu penafian itu amat pedih dan menyakitkan, tetapi aku sering mencuba untuk melupakannya.

Apa yang aku perlu buat hanyalah berdoa pada yang Esa supaya perasaan cintaku semakin berkurang terhadap dirinya agar dia dapat memiliki seorang wanita yang lebih sempurna berbanding diriku.

Jika Allah benarkan dia menjadi jodohku suatu hari nanti, aku berharap agar Allah benarkan aku memiliki cintanya hingga ke syurga.

Jika diizinkan, aku mahu memiliki seluruh jiwanya.

Cewah, jiwang sangat aku ni.

   “Ustazah? Haaa, kawan saya Suzana tak datang kelas hari ni sebab demam. Ustazah jangan tulis dia ponteng kelas pula. Besok dia datang kelas dia bagi surat MC dekat ustazah,” ujarku bersahaja seraya bibir menguntum senyum.

   “Amboi, Aj garangnya bila bercakap dengan ustazah? Terkejut ustazah dengar suara kamu yang ala-ala mat rockers tu. kamu ni memang selamba, kan? Main redah je.” Ustazah tertawa kecil memandang diriku. Aku hanya tersengih-sengih memandang ustazah.

Garang sangatkah intonasi aku sampai ustazah selalu terkejut dengan gaya percakapanku.

   “Hei Aj ni, cakaplah baik-baik dengan orang sekeliling. Ni cakap macam nak gaduh je. Dah lama aku perhati perangai kau ni.” Mendengar satu suara menyergahku dari tepi, automatik aku tersentak. Terus aku halakan pandangan mata ke arah suara itu. Tidak mampu menjawab, aku hanya berdiam diri.

“Biadab sungguh cara percakapan engkau ni. Adab seorang gadis perlulah di perlihara.” Aku makin tersentak bila pemuda bernama Hafizi Fikhree melontarkan kata-kata dengan intonasi yang agak kasar. Sesekali, aku memandang suasana kelas yang masih dihiasi para pelajar yang belum keluar.

Ya Allah, Macam itukah cara menegur orang?

 “Itulah, memalukan kaum wanita je bila adab dengan ustazah pun tak reti jaga. Adab dengan manusia pun tak di jaga, macam manalah nak jaga adab dengan Allah.”

Kedengaran suara-suara sumbang dari arah belakang yang memerliku. Aku mula memalingkan wajah untuk mencari suara sumbang-mambang itu.

Ergh … Aku dah agak dah, pasti suara sumbang-mambang itu adalah pemilik suara kawan-kawan satu program dengan aku juga.

Tak lain tak bukan, suara itu datangnya dari arah geng Almy yang sering mencari masalah denganku.

“Aku tak ada niat pun nak biadab dengan ustazah.” Aku menggigit bibir setelah menyudah bicara.

Aku tidak suka bila Fizi dan Wawan senang-senang menjatuhkan hukum padaku.

“Tapi dalam tak sedar kau memang dah tunjukkan sikap biadab depan ustazah.” Mendengar tuduhan itu, perasaan bengang mula menyapa diriku. Seketika, aku pandang wajah Mr. Crush aku sebelum aku nak lepaskan hamburan marah.

‘Sabar Aj, sabar. Kawal emosi depan Halmy.’ Hatiku memujuk supaya bersabar.

Disebabkan Halmy Ikram aje aku bersabar tau? Kalau bukan disebabkan dia, memang berdas-das aku hamburkan kemarahan depan mereka.

Mulut tak bertapis langsung. Suka sangat cari pasal.

Mereka ni memang dari awal semester tak puas hati dengan mahasiswa dan mahasiswi dari program kami yang bergaul rapat dengan Fakhrul. Rakan mereka yang lain menyantuni kami dengan akhlak yang baik sahaja, tapi mereka … susahlah aku nak jelaskan.

Aku pun kadang-kadang tak tahu kenapa dua manusia ni anti dengan pelajar kos kami.

Haih, ikutkan hati mahu saja aku gerigi kepala mereka berdua!

Huh, geram sungguh.

“Fizi … Wawan, saya tak kisah pun kalau Aj cakap macam tu depan saya. Dah itu style dia bercakap. Jangan ambil serius ya?” Terlukis senyumanku bila Ustazah Saniah membela nasibku.

Sayang ustazah.

“Saya faham ustazah memang dah terbiasa dengan cara dia. Tapi sepatutnya dia sendiri yang perlu ubah sikap dan perangai dia ni. Kalau perangai macam ni, sampai mati pun laki tak mahu dekat dengan dia ni.” Fizi masih berura-ura mahu mencari kesalahan aku.

Eee, bencinya aku.

“Fizi … Setiap manusia melakukan kesilapan. Mungkin cara dia berbicara memang macam itu. Kadang manusia yang salah anggap. Kadang-kadang manusia ni bila nak cari kesalahan seseorang, masalah sekecil kuman pun dia perhati. Islam ni indah, jangan cemarkan islam dengan teguran yang tidak mengikut sunah baginda.”

Halmy Ikram yang mendengar kutukan mereka terus membidas dalam ketenangan.

Setelah itu, dia mengorak langkah beberapa tapak dan mendapatkan tempat  jauh satu meter dariku.

“Eh, apa maksud engkau Halmy? Nak bela minah ni pula.” Wawan pula membentak. Aku hanya terdiam kaku tanpa suara.

Aku tak sangka, lelaki yang aku suka dalam diam telah membela nasibku hari ini. Indahnya dunia.

 “Aku bukan nak membela, cuma aku menegur sebab kita sesama makhluk.” Si jejaka menarik nafas panjang setelah menyudah bicara.

Halmy Ikram sering mempamerkan sikap yang mampu mencairkan hati aku. Bila dia bercakap pun dah boleh membuatkan aku jatuh cinta.

“Manusia macam engkau orang inilah yang boleh memalukan dan menjatuhkan maruah kita sebagai umat islam. Islam tak pernah ajar kita memberi teguran dengan cara memalukan, jadi jangan pernah buat perangai macam itu lagi. Kita ni bakal-bakal Ustaz, kalau dari sekarang kita tak jadi yang terbaik, percayalah masa akan datang kita yang kecundang.”

Fizi dan Wawan mula gumam. Bicara Halmy benar-benar menusuk ke Kalbu agaknya. Sebab itulah mereka terus terdiam kaku.

Alahai, semakin mencair macam aiskrim hatiku tatkala suara itu indah menusuk masuk ke telingaku.

KELUAR saja dari kelas, aku bersembunyi di balik dinding tatkala telingaku dapat menangkap perbualan di antara Fizi dan Wawan. Kedengaran macam tak puas hati dengan teguran Halmy Ikram tadi. Segera aku tekupkan telinga ke tembok agar perbualan mereka dapat aku dengari. Alang-alang nak jadi wartawan tak berbayar, Aku ajak Bella tekup sekali telinga dia ke dinding. Segera aku tolak kepala dia ke depan agar telinga juga melekat di dinding.

“Halmy, sini kejap.” Aku dapat memerhatikan tangan Fizi melambai-lambai ke arah Halmy Ikram. Dia dan Wawan pandang Halmy dengan pandangan tak puas hati.

Aduhai, mereka nak buat apa dengan Halmy? Jangan kata mereka nak maki pula si Halmy yang berwajah tulus tu.

Si Fizi tu boleh tahan juga perangai dia. Suka maki orang sesuka hati. Orang mulut celupar seperti dia, memang mudah sangat nak sakiti hati orang lain menggunakan lidah.

“Apa masalah kau eh nak malukan kita orang depan ustazah? Kau tak payah nak tunjuk hero boleh tak bro? Aku tahulah kau pelajar contoh dalam kolej ni, tapi itu bukan bermakna kau boleh tegur kita orang ikut suka kau.” Bulat mataku memandang ke arah mereka. Suara Fizi menjerit di tepi telinga Halmy. Kurang asam jawa punya Fizi!

“Aku tegur sebab kau orang berdua kawan aku. Kita ni sahabat sekelas,” balas Halmy Ikram bernada tenang. Dia siap hadiahkan senyuman lagi depan Fizi dan Wawan.

“Sahabat? Sejak bila aku ni bersahabat dengan kau pula ni?”

Fizi mendekatkan wajahnya ke muka Halmy Ikram, sehinggakan bahu mereka berlaga.

“Fizi … kau lupa ke aku ni siapa? Aku ni …” belum sempat meneruskan ayat, aku perasan yang si Fizi mencelah kata-kata itu.

Suka nak menyampuk bila orang bercakap. Tak ada adab langsung.

“Engkau aje yang anggap kita orang ni sahabat, kita orang ni tak pernah anggap kau sahabat pun bro.” Suara Fizi memekik kuat sehingga bergema seluruh ruang. Tangannya merengkuh pergelangan Halmy Ikram.

“Eeh, dia tu dah melebih! Aku kenal betulkan keadaan.” Aku berbisik di telinga Bella dalam keadaan emosiku meledak bengang.

Melihat tindakannya sebegitu rupa, aku rasa nak menghalang tindakannya itu. Tetapi, bella cepat-cepat merangkul tubuhku agar tidak bergerak dari tembok.

“Kau jangan nak jadi heroin tak berbayar. Duduk sini!”

Bella bertegas. Aku akur dan hanya memerhatikan mereka dalam kerisauan.

“Kenapa senyap? Kau ingat ini sinetron ke nak tenung lama-lama? Engkau ingat ini sinetron ke siap ada zoom-in zoom-out?” jerkahan Fizi yang semakin kuat membuatkan aku turut tersentak. Mataku makin fokus melihat riak Halmy Ikram.

“Aku tak kisah kalau kau orang berdua tak anggap aku sahabat. Cukuplah anggap aku saudara sesama islam pun aku dah bersyukur.”

Setelah hampir seminit berdiam, akhirnya lelaki itu bersuara.

Aku dan Bella rasa tenang melihat Halmy Ikram yang sudah mengutarakan baris bicara yang sangat tenang didengari.

Dia langsung tak melatah bila Fizi dan Wawan sudah buat ayat provokasi.

“Dah habis cakap, kan? Aku pergi dulu. Assalamualaikum.”

Aku sudah merasa bersalah melihat Halmy Ikram.

Kenapalah dia baik sangat? Orang marah-marah dia pun dia tenang je. Senyuman langsung tidak lekang dari bibir.

Setelah melihat kelibat mereka bertiga makin menjauh dari kami, segera aku dan Bella meneruskan perjalanan kami untuk pulang ke hostel. Sambil kami berjalan, minda aku masih sarat memikirkan Halmy Ikram.

“Aku rasa serba salah dengan dia, Bel.” Aku meluahkan apa yang aku rasa. Bella terus memaut lembut tanganku bila dia dapat menangkap riak wajahku semakin lama semakin kelam.

“Dia yang nak bantu kau tadi, bukannya engkau yang beria minta dibantu. Kau tak payahlah nak fikir sangat.”

Nasihat Bella bernada tenang. Dia lukiskan senyuman sekadar mahu memberikan aura positif kepadaku.

Huh, Mana boleh tak boleh fikir. Dia sanggup kut tegur kawan dia depan semua orang semata-mata mahu membela aku. Walaupun tadi dia cakap yang dia tiada niat untuk membela aku, tapi sebenarnya aku tahu dia memang nak membela aku dari terus menjadi mangsa Wawan dan Fizi. Aku yakin, dia memang ada sebab tersendiri mahu membela aku tadi.

Hei, crush … Kau memang baik hati. Kerana akhlak kaulah aku jatuh cinta.

KELUHAN demi keluhan aku lepaskan dalam perjalanan. Aku tak tahu nak fikirkan apa lagi selain memikirkan keadaan Halmy Ikram jika Fizi dan Wawan berbuat hal bukan-bukan kepada lelaki itu.

Fizi seorang yang panas baran. Dia akan mengamuk tak tentu pasal jika merasa dirinya terancam. Aku bukan tak kenal perangai si Fizi tu. Kerjanya asyik nak cari salah orang lain sehinggakan dia tidak sedar bahawa dia sering melakukan kesalahan.

Pernah di semester kedua, dia menumbuk seorang pelajar kerana mendekati kekasihnya. Fizi siap memberi amaran keras kepada lelaki itu.

Sikap Fizi memang sukar diramal. Lelaki itu bagai tiada perasaan jika dia menghamburkan segala kemarahan. Amukannya mampu menggegarkan kolej. Suaranya yang serupa nyamuk itu mampu menggerunkan jiwa-jiwa yang mendengar.

Aku pun tak tahu, kenapa orang takut sangat dengan dia? Dan paling aku hairan, bagaimana orang seperti dia terjebak dalam bidang pengajian islam.

Dia sibuk sembang pasal ikhtilat, tapi dia pun bercinta. Entah apa-apalah dia tu.

“Beb, kalau Fizi pukul si Halmy tu macam mana? Aku takut dia lunyai je kena pukul dengan Fizi tu.” Minda aku terfikirkan hal yang bukan-bukan.

Dalam perjalanan menuju ke kafeteria kolej kami, sempat aku berfikir ke masa depan.

Ah, otak aku ni memang tak pernah nak berhenti memikirkan suatu hal.

“Fizi tu hebat sangat ke sampai dia boleh pukul orang ikut suka dia?”

Aku mencebik bibir seraya mata mengerling sekilas memandang Bella di sebelahku.

“Dia tu dah dapat surat amaran banyak kali dah sebab pukul orang, rasanya dia dah lali. Dia tak akan berhenti dari pukul pelajar yang dah buat hal dengan dia.” Itulah yang aku fikirkan.

Kerana Fizi banyak diberi peluang untuk terus menjadi pelajar di sini, aku dapat merasakan bahawa dia tidak akan berubah dan akan terus-terusan menyakiti pelajar lain dengan sikapnya.

“Hurm, kenapalah si Fizi tu tak kena buang kolej eh walaupun dia dah pukul banyak orang?” Bella tertanya-tanya. Langkah kami automatik terhenti. Mata bertentang mata. Bibir membulat sedikit.

“Aku rasa dia tu anak berpengaruh dalam kolej ni. Sebab itulah orang atasan susah nak ambil tindakan tegas.”

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status