Share

Siling ( BAHASA MALAYSIA )
Siling ( BAHASA MALAYSIA )
Author: Halima Abdul Muis

Satu

KAMPUNG KELAPA PANDAN, PULAU BATU.

Tahun 2001

"ALHAMDULILLAH. Akhirnya, dapat juga kita beli rumah baru." Izzat tidak dapat membendung rasa teruja serta beruntungnya sebaik menatap lama akan sebuah rumah batu di hadapan.

Selepas tempat tinggal mereka hangus terbakar tempoh hari, kini dapat juga keluarga kecil itu memiliki sebuah kediaman yang bebatuan lagi. Di dalamnya terdapat lima buah bilik tidur, sebuah dapur dan juga tiga buah bilik air. Cukuplah untuk mereka yang empat beranak itu berlindung daripada hujan serta panasnya mentari.

Sofea memeluk erat pinggang sang suami sambil tersenyum, "Betul tu, abang. Mujurlah rumah ni tak mahal sangat. Tambahan pula, penduduk kampung dekat sini pun mesra-mesra belaka."

"Ha'ah. Semoga Allah permudahkan urusan kita selepas ini."

"Aamiin. InsyaAllah, bang. Allah bantu."

Tiba-tiba, dua orang individu yang berlainan jantina keluar dari rumah seraya menuju ke arah kedua mereka.

"Ayah, ibu, jom masuk! Im tak sabar nak hias bilik tidur Im dengan warna pink."

Izzat tersenyum, "Okey, sayang. Em... Syaz pula, bilik tu selesa tak?"

Seorang lelaki yang berumur 17 tahun mengangguk apabila soalan tersebut diajukan kepadanya.

"Syaz okey saja, ayah. Asalkan Im tak kacau barang-barang Syaz. Budak kecil ni bukannya boleh percaya sangat. Nakal dia bukan main lagi!"

"Eh, Abang Syaz ni. Im budak baiklah. Mana ada nakal."

Maka, sesi kejar-kejaran pun berlaku. Ibarat anjing dengan kucing - seorang suka menyakat, seorangnya lagi pantang disakat. Boleh dikatakan setiap hari keluarga itu dilanda 'gempa bumi' jika kedua beradik tersebut bergaduh.

Izzat dan juga Sofea menggelengkan kepala kerana terhibur dengan telatah para permata hati. Tidak lama kemudian, mereka menapak masuk ke dalam rumah.

*****

"SEMALAM, rumah Pak Akob dipecah orang."

Amin, Rustam dan Zulkifli terperanjat tatkala mendengar akan berita yang disampaikan oleh Majid. Kesemua pasang mata memfokuskan penglihatan kepadanya.

"Lah. Betul ke macam tu, Majid? Kau tahu dari mana?"

"Yalah. Pak Akob yang cerita dekat aku, tadi pagi."

"Kasihanlah dengan keluarga Pak Akob tu. Dia dahlah tak larat bekerja. Mak Senah tu pun bukannya sihat sangat. Aish. Entah apalah pencuri tu fikir agaknya? Tak berperikemanusiaan langsung." Rustam turut bersimpati akan nasib suami isteri berkenaan.

"Dulu kampung ni, tak ada kes-kes yang macam tu. Tapi sejak Izzat dan keluarga dia pindah dekat sini, ada saja perkara buruk yang berlaku."

Dahi Amin berlapis, "Eh, eh? Kenapa pulak kau nak babitkan Si Izzat anak-beranak tu, Majid?"

"Hmm... jadi kau syak Izzatlah yang buat benda-benda macam tu ke? Kau biar betul, Majid? Jangan asal main tuduh saja. Itu fitnah namanya." Zulkifli bersuara sama.

"Aku tak tuduh membabi buta. Dah memang kenyataannya macam tu. Takkan kau orang tak percaya?"

"Tak elok cakap macam tu, Majid. Kalau Izzat dengar, kecil hati dia. Lagi pun, dia orang baru pindah di pulau ni. Kalau tak silap, baru nak genap dua bulan."

Majid berdecit menandakan dirinya tidak berpuas hati, "Haih... kalaulah kau orang tahu sebab-munasabab keluarga Izzat tu pindah dekat kampung ni..." Ayatnya sengaja dijedakan demi memancing perhatian rakan-rakan.

"Aik? Apa pulak yang kau tahu pasal dia orang tu, Majid? Cuba kau cerita dekat kami." Rustam dan Amin mengangguk serentak apabila Zulkifli berkata sedemikian.

Mereka mahu mencungkil keluar rasa ingin tahu yang menebal terhadap si empunya gerangan.

"Kalau aku cerita pun, mesti kau orang tak percaya. Nanti, kau orang akan kata yang aku ni bawa mulut pulak."

"Tak apa. Kau ceritalah. Kami dengar..." Amin pula membalas.

Majid tersengih seketika, "Sebelum ni, rumah lama Izzat tu terbakar ada sebabnya."

"Maksud kau?" soal Rustam teruja.

"Em... orang kampung dia dah bersumpah. Kalau ada barang-barang mereka yang hilang, rumah dipecah atau pun dirompak, jadi harta benda si pelaku itu akan hangus terbakar. Tahu?"

Sekali lagi ketiga-tiga sahabat itu terkejut mendengarkan cerita daripada Majid, "Hah?"

*****

SYAZ duduk bersendirian di ruang tamu sambil memandang keluar tingkap. Tiba-tiba, dia merasakan seperti ada pergerakan di sebalik semak yang tidak jauh dari halaman rumah mereka. Dia sedikit curiga. Namun, muncul pula Izzat di sebelah sehingga membantutkan segala keinginannya untuk memeriksa keluar.

"Syaz, kenapa tak tidur lagi ni? Kan dah lewat malam."

"Eh, ayah. Terkejut Syaz."

"Kenapa dengan kamu ni, Syaz? Syaz ada masalah ke?"

Si anak ragu-ragu untuk membuka mulut tentang apa yang dia nampak sebentar tadi.

"Ayah, tadikan..."

Buk! Buk!

"Eh? Bunyi apa tu, Syaz?" Izzat ingin berlalu ke arah sumber bunyi berkenaan tetapi dihalang oleh si anak sulung.

"Jangan, ayah. Biar Syaz saja yang pergi tengok. Ayah pergi bawa ibu dan Im keluar dari rumah ni."

Izzat kebinggungan. Dahinya berlapis.

"Apa maksud kamu ni, Syaz? Kenapa ayah perlu buat macam tu?"

"Ayah, Syaz tak ada masa nak ceritakan semuanya. Cepat keluar dari sini, ayah! Ada orang yang nak buat onar dengan kita!"

"Hah?"

Puk!

Sebuah pukulan hinggap di belakang tengkuk Syaz tapi dia berusaha untuk melawan kembali. Rupa-rupanya, ada seseorang yang tidak dikenali dan berpakaian serba hitam serta memakai topeng wajah telah memecah masuk dari ruang dapur mereka. Figura itu juga sedang memegang sebatang kayu sebagai senjatanya.

"Cepat, ayah! Selamatkan diri. Bawa ibu dan Im sekali. Biar Syaz lengahkan orang ni. Jangan pedulikan Syaz!"

Dalam terkaku, Izzat hanya menurut. Anak dan juga isterinya cuba dibawa keluar dari kediaman itu.

Langkah Izzat semakin laju diorak menuju ke arah dua lagi individu kesayangannya.

"Sofea, mari kita keluar dari sini!"

Si isteri yang sedang mendodoikan puteri kecilnya terperanjat dengan kemunculan si suami di kamar peraduan mereka berdua.

"Abang, ada apa ni? Kenapa abang nampak macam cemas saja? Apa yang dah berlaku?" Beberapa soalan telah meluncur laju dari bibir Sofea tatkala suaminya bertingkah di luar kebiasaan.

"Kita kena keluar dari sini, sayang. Keluarga kita dalam bahaya. Mari, kita bawa Im sekali."

Im yang masih mengantuk didukung pantas oleh Izzat sambil memimpin tangan Sofea seraya berlari keluar dari situ.

Sedangkan Syaz pula masih beradu tenaga untuk menumpaskan orang asing tadi.

"Abang, mana Syaz?"

"Syaz cuba lengahkan orang yang ceroboh masuk ke rumah kita. Jadi, dia nak kita pergi selamatkan diri."

"Tapi abang..."

"Kita tak ada masa, sayang. Mari!"

Mereka bertiga masuk ke dalam perut kereta lantas Izzat memulas kunci.

*****

PANDANGAN mata seorang figura yang berjantina lelaki tidak lepas daripada tertumpu kepada rumah batu yang satu itu. Dia hanya memerhati dari jauh sambil menanti perkembangan rencana jahatnya.

"Bos, kami dah buat apa yang bos suruh. Kami bocorkan keempat-empat tayar kereta Izzat." Begitu kata salah seorang daripada anak buahnya. Hal demikian menyebabkan senyuman sinis terukir di bibir sang ketua.

"Bagus, Majid. Sekarang, lakukan rancangan yang seterusnya."

"Baik, bos."

Sebelum Majid berganjak, orang tadi bersuara lagi.

"Kau kena pastikan tak ada sesiapa pun yang tahu pasal kematian empat beranak tu. Mengerti?"

Majid terbeliak. Dia menjadi tidak keruan.

"Ta... tapi, bos..."

"Majid... kau kena tahu satu benda ni. Kalau kau dah masuk dalam gelanggang, kau dah tak boleh nak tarik diri begitu saja. Kau cuma ada dua pilihan, teruskan bertanding sampai ke penamatnya atau kau mati sia-sia dan tak bermaruah. Kau pilihlah baik-baik, Majid."

Majid tertunduk. Penyesalan mula terbit dalam diri. Tetapi salahnya juga kerana telah bersekongkol dengan koloni seperti itu - sebuah kumpulan yang berbuat kerja 'gelap' tanpa mempedulikan orang lain. Ingin berpatah balik, sudah tidak sempat.

Perlahan-lahan kepalanya diangguk tanda setuju.

"Baiklah kalau Bos Mior dah kata macam tu. Aku akan teruskan."

Orang yang bernama Mior berkenaan tersenyum sinis lagi. Ia lebih lebar daripada yang sebelumnya.

*****

SUDAH puas Izzat menggerakkan stereng keretanya, namun ia masih juga 'kaku' di situ. Pintu dibuka dan dia mendapat tahu akan tayar kenderaan itu telah pun pancit. Dengan kata lain, ada orang yang sengaja melakukan hal tersebut.

Tidak lama kemudian, dia menyedari akan beberapa derapan bunyi tapak kasut menembusi lohong deria pendengarannya. Dia menoleh sebelum sebuah sepakan hinggap di perut.

"Urgh!" Izzat terduduk menahan perit.

"Heret dia sampai ke hujung bukit sana!" Seseorang telah memberi arahan.

Dalam keadaan yang tidak berdaya, Izzat masih sempat melihat tubuhnya di bawa ke suatu tempat bersama dengan anak isterinya sekali.

Tidak tercapai dek akalnya akan motif dan juga tindakan selepas ini daripada orang-orang berkenaan.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status