Share

Bab 3

AINAN geli hati melihat Safwan yang berusaha menangkap burung merpati yang mendarat di tanah. Jinak-jinak burung merpati, bila di dekat ia terbang.

Safwan yang beberapa kali berusaha untuk menangkap burung merpati itu akhirnya terduduk kecewa. Tangisannya mula kedengaran.

Dasuki yang sedang bermain gelongsor, berlari mendapatkan Safwan yang sedang menangis. Dipujuknya Safwan. Kepala Safwan diusap lembut. Entah apa yang dibebelkan pada Safwan, Ainan tidak dapat menangkap butir bicaranya.

Dasuki penuh dengan sifat penyayang walaupun adakalanya dia menunjukkan sikap baran. Sayu hati apabila melihat Dasuki. Punya ayah, langsung tak ambil kisah. Ada ayah tiri namun, tidak boleh menumpang kasih. Ada saja jurang antara mereka. Mujurlah masih ada atoknya yang sentiasa menyayangi dia.

"Suki, bawa Saf sini." Ainan memanggil Dasuki apabila Dasuki tidak mampu memujuk Safwan. Mendengar suara Ainan, Safwan segera berlari mendapatkan Ainan. Dasuki mengikut dari belakang sambil menggeleng. Geli hati Ainan melihat telatah Dasuki yang adakalanya seperti orang tua.

"Kenapa menangis?" soal Ainan lembut sebaik saja Safwan menghampirinya.

"Bird. Nak bird," ujar Safwan sayu. Ainan tersenyum lantas memeluk erat tubuh kecil Safwan.

"Saf nak air tak?" Ainan menyuakan botol air kepada Safwan. Safwan tersenyum lantas menyedut air yang disuakan kepadanya.

"Suki nak?" Dasuki menggeleng. Dia mengambil tempat di sebelah Ainan. Biskut Tiger yang telah dibuka, diambilnya sekeping.

"Mama nak pergi rumah atok. Nak jumpa atok tak?" Ainan memancing anak-anaknya untuk beredar. Sebenarnya dia rimas duduk di situ.

"Nak," jerit Dasuki riang. Dia memang banyak menghabiskan masa bersama atok dan neneknya.

Waktu hampir lewat petang begini, memang ramai mak cik-mak cik bawang yang berkumpul di taman permainan itu sambil bergosip dan mengata hal anak orang.

Ada tu sibuk jaga tepi kain orang tapi, tepi kain sendiri koyak rabak tak sedar. Bukan tu je, ada yang mengata anak orang tu teruk, anak orang ni liar. Tapi, perangai anak sendiri lebih teruk dari orang yang dikatakan tu.

Ainan selalu berpesan pada emaknya jangan sibuk ikut sama membawang. Cukup uruskan anak-anak sendiri. Jangan nanti sibuk hal anak orang, salah anak sendiri pun tak nampak. Pasti emaknya akan tersengih bila mendengar teguran Ainan.

"Dengan anak-anak je ke?" Ainan terus menoleh. Tersengih dia memandang figura yang berada di belakangnya.

"Mak dari mana?" Soalan emaknya dibiarkan tergantung.

"Potong rambut. Nak balik, nampak pulak Safwan kerja burung tadi. Tu yang mak ke sini dulu." Maimun tersengih melihat keletah Safwan. Dasuki segera memeluk Maimun.

"Tak datang rumah nenek ke?" soal Maimun kepada Dasuki.

"Jomlah mak. Ainan memang nak pergi rumah mak." Ainan semakin rimas. Telinganya panas mendengar gosip-gosip liar. Telinganya panas mendengar pelbagai cerita mengenai orang lain yang digembar-gemburkan.

Maimun segera mendukung Safwan, manakala Ainan pula menolak Umairah yang berada dalam stroller dan memimpin tangan Dasuki.

"Masak apa tadi?" Senjaga Maimun menduga Ainan. Tahu benar dia keadaan anak sulongnya itu.

"Masak sambal telur je mak. Gorengkan ayam untuk Saf dengan Suki. Mak faham-faham jelah dorang ni. Kalau takde ayam, jangan haraplah memasing nak makan. Kadang tu, makan ayam sesaja." Tersengih Safwan apabila mendengar namanya disebut-sebut.

Maimun memeluk erat bahu Ainan seraya melepaskan satu kucupan lembut di umbun-umbun Ainan.

"Anak mak kuat!" Seakan mengerti apa yang diperlukan oleh Ainan ketika itu, Maimun meniupkan kata semangat buat Ainan. Ainan tersenyum manis.

AAZAD melengu. Waktu kerjanya telah habis. Tetapi dia tidak terburu-buru untuk pulang. Memang begitulah kebiasaannya. Dia tidak suka bersesak. Eh bukan! Hakikatnya dia mahu menjimatkan minyak kereta. Semuanya perlu dicatu. Bukan setakat dirinya tetapi juga Ainan.

Ainan...

Aazad melepaskan satu keluhan berat apabila mengingati Ainan. Seorang isteri yang cukup sabar selama mereka berumahtangga. Seorang isteri yang penuh bertanggungjawab. Aazad terkenangkan peristiwa yang membuatkan dia tekad mengahwini Ainan.

"Ainan! Kenapa menangis ni?" Aazad terkedu apabila Ainan menemuinya dengan sisa air mata.

"Lebih baik abang bersihkan nama Ainan semula. Isteri abang tu pukul canang dekat mak cik Ainan yang kita ni ada scandal! Sampai mak ayah Ainan pulaukan Ainan. Abang bersihkan balik nama Ainan!" Ainan menjerit sambil menahan tangisnya.

Geram apabila pulang dari pejabat untuk mengambil Dasuki, emaknya terus menghamburkan kata-kata yang tak sepatutnya dia terima. Tiada satu peluang pun untuk dia membela dirinya ketika itu.

Aazad kelihatan terkejut dengan apa yang dikhabarkan oleh Ainan. Darahnya mula mendidih mengenangkan sikap isterinya.

"Sampai hati abang buat Ainan macam ni kan? Tergamaknya isteri abang fitnah Ainan! Apa dosa Ainan dekat abang laki bini, huh? Apa? Ingat janda ni kerjanya mengatal dengan laki orang je?" Kemarahan Ainan sudah tidak dapat dikawal. Akhirnya dia jatuh terjelepok. Menangis dia semahunya di situ. Langsung tidak dihiraukan orang ramai yang memerhati.

"Ainan... bangunlah. Abang minta maaf sebab abang, Ainan jadi macam ni." Aazad berusaha untuk memujuk. Mencerlung mata Ainan memandang Aazad.

"Tu je abang mampu cakap? Itu je ke?" tengking Ainan. Air matanya dikesat kasar.

"Ainan minta abang bersihkan nama Ainan dekat family Ainan. Ainan tak perlukan kata maaf abang!" Semakin meninggi suara Ainan ketika itu.

"Apa pun masalah abang laki bini, perlu ke jadikan Ainan ni sebagai sebab? Tolong cakap dengan bini abang tu, jangan kejutkan singa yang tengah tidur. Jangan sampai, aku seret muka dia dekat jalan tar ni." Ainan terus berlalu pergi meninggalkan Aazad yang terpinga-pinga.

Buat pertama kali dalam hidupnya dia melihat Ainan marah sebegitu sekali. Aazad meraup mukanya kasar sebelum masuk ke dalam kereta dan memandu pulang ke rumah.

Sampai saja di rumah, Aazad terus menarik isterinya masuk ke dalam bilik.

"Masalah apa pulak yang Imah timbulkan kali ni?" Imah buat muka tak bersalah. Lengannya yang digenggam Aazad direntap kasar.

"Yang balik nak marah-marah ni apahal?" Buntang mata Aazad memandang Imah.

"Kau jangan jadi manusia tak reti bersyukur. Jangan jadi macam anjing yang tersepit! Orang dah tolong, kau gigit balik." Kali ni Aazad betul-betul hilang sabar dengan Imah.

Masuk minggu lalu, hampir lima kali Ainan membantu keluarganya dalam bulan itu. Tapi lain pula yang dibalas oleh isterinya.

"Ala, bukan buat apa pun," jawab Imah bersahaja. Sakit hati Aazad mendengar jawapan Imah.

"Jangan cabar kesabaran saya, Imah. Berapa kali awak nak buat onar, huh?" Aazad pula naik hantu.

Ini bukanlah kali pertama Imah menabur fitnah. Sebelum Ainan, ada seorang rakan sekerjanya turut difitnah Imah sehinggakan gadis tomboy itu menangis akibat terluka dengan perbuatan Imah.

"Yang awak over sangat ni kenapa?" soal Imah geram.

"Kalau dah tak ada apa-apa hubungan tak perlu sampai nak naik hantu macam tu," tempelak Imah. Langsung tak ada rasa hormat pada suaminya.

"Kalau kau tak bersihkan semula nama Ainan, aku bersumpah aku akan kahwin dengan Ainan. Tak kira apa jadi sekali pun. Ada bini tapi perangai tak semenggah. Solat tak tinggal, dosa memfitnah pun tak tahu, kan?" Aazad menghamburkan amarahanya pada Imah.

Deringan telefon bimbit memecahkan lamunan Aazad. Melihat nama yang tertera diskrin telefon membuatkannya malas untuk menjawab panggilan itu.

Hampir lima kali telefonnya berdering, akhirnya Aazad mengalah lalu menjawab panggilan itu.

"Haa... nak apa pula kali ni?" soal Aazad keras.

"Kalau dengan Imah tak pernah nak cakap baik-baikkan? Imah ada dekat Setia Alam ni dengan anak-anak. Tak nak ke jumpa Imah dengan anak-anak?" Aazad terdiam seketika.

"Tengoklah kalau sempat malam ni abang datang." Terus saja talian dimatikan.

Tidak lama Aazad duduk melengu, akhirnya dia segera bersiap untuk pulang ke rumah. Dia ingin menemui anak-anaknya. Rindu pada mereka bukan kepalang. Sudah berbulan tidak berjumpa. Jadi ini peluang untuk dia bermesra dengan mereka.

Kaugnay na kabanata

Pinakabagong kabanata

DMCA.com Protection Status