Share

Bab 2

"NAH ambil duit ni!" Sekepuk not RM 50 diletakkan di atas meja sisi katil. Ainan yang sedang menyusukan Umairah terkesima seketika dengan tindakan Aazad. Dia langsung tidak menyedari yang Aazad telah pulang.

Ainan bangun lalu mencapai not RM 50 yang diletakkan oleh Aazad lalu mengejar Aazad yang ingin melangkah keluar dari rumah.

"Saya bukan pompuan mata duitan. Tak perlu awak nak bagi kalau awak tak ikhlas. Yang saya minta cuma tanggungjawab awak sebagai suami dan sebagai seorang ayah. Tapi kalau yang itu awak tak mampu bagi, saya tak boleh buat apa. Awak ambil duit awak ni balik. Pandai-pandailah saya anak beranak nak hidup macam mana. Paling tidak pun, kami mati kebulur. Tak perlu susahkan awak." Ainan terus meletakkan duit itu ke dalam genggaman Aazad.

Dia terus berlalu masuk ke dalam bilik lantas mengunci pintu bilik. Tersandar dia dipintu itu sebelum tubuhnya melorot jatuh ke lantai dan akhirnya empangan air matanya pecah.

Konflik kewangan antara dia dan Aazad semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Pesanan mesej yang yang diterima oleh Aazad beberapa hari lalu cukup merobek hatinya. Entah mengapa pada hari itu dia tergerak hati untuk memeriksa telefon Aazad.

Abang tu dah kena mandrem agaknya dengan pompuan tu. Sebab tu tak ingat langsung Imah dengan anak-anak. Tanggungjawab pun entah ke mana.

~Imah

Hancur luluh hatinya ketika itu. Walaupun dia jahil. Tapi, tak pernah terlintas pun dek akal fikirannya untuk buat perkara terkutuk itu. Sejak dari itu, Ainan semakin tertekan.

Ketukan di pintu Ainan abaikan. Dia tak mahu berdepan dengan Aazad. Cukuplah hatinya hancur. Hancur dengan semua yang berlaku. Penat rasa jiwa dan raganya untuk berdepan dengan Aazad.

Selama ini dia cuba menjadi isteri yang terbaik buat Aazad. Tidak pernah meminta lebih dari yang sepatutnya. Tak! Salah tu. Ainan tidak penah meminta apa-apa untuk dirinya. Bahkan, keperluan untuk penjagaan dirinya sendiri pun, dia akan iktiar dan usaha sendiri.

"Ainan buka pintu ni." Keras sekali suara Aazad mengarahkan Ainan membuka pintu bilik. Serasa mahu roboh pintu itu diketuknya. Aazad tidak mempunyai kunci pendua. Itu yang menyukarkan dia membuka pintu bilik mereka. Timbul pula rasa kesal kerana tidak memyimpan kunci pendua.

Ainan tidak mengendahkan arahan Aazad. Dia terus menerus menangis. Mujur saja anak-anaknya telah lena dibuai mimpi. Dasuki pula bermalam di rumah orang tuanya.

Ainan memeluk kedua belah kakinya. Teresak-esak dia menangis di lututnya. Terbang semua kekuatan dan kesabarannya pada hari itu.

Aazad tidak pernah langsung berusaha untuk menjaga hatinya. Aazad tidak pernah berusaha untuk memahami keadaannya. Hanya dia yang berusaha untuk memahami keadaan Aazad sehingga dirinya sendiri terseksa.

"Ainan, abang kata buka pintu ni!" Aazad mula meninggikan suara.

"Pergilah. Tadi nak sangat keluarkan? Pergi! Jangan ganggu Ainan!" Ainan menjerit. Melepaskan segala rasa sakit di hatinya.

"Ainan, jangan buat abang macam ni." Rayu Aazad. Suaranya mula mengendur.

"Ainan minta maaf sebab jadi beban dalam hidup abang selama ni. Pergilah. Kalau tu yang membahagiakan abang. Pergi balik dekat anak bini abang sana. Dorang je yang ada dalam hati abang. Dorang je yang tak menyusahkan abang." Aazad tersepuk mendengar luahan hati Ainan. Sungguh hatinya terguris dengan kata-kata Ainan.

Tiada daya lagi untuk dia memujuk. Akhirnya dia pasrah. Aazad duduk di sofa sambil memandang lesu pintu bilik mereka.

'Ya Allah... apa yang dah aku lakukan?' Aazad merintih dalam hati. Tangisan Ainan masih kedengaran. Aazad raup muka penuh kekesalan.

Semenjak mengahwini Ainan, dirinya terasa hidup. Dia menikmati satu nikmat yang tidak pernah dirasai selama ini.

Nikmat hormatnya seorang isteri kepada suami. Nikmat layanan seorang isteri. Makan minum serta pakainya tak pernah diabaikan oleh Ainan. Semuanya siap. Lengkap. Melainkan ketika itu memang tiada apa untuk dimakan.

Pernah satu ketika Ainan rebah kerana tiada tenaga, akibat dua hari tidak menjamah sebarang makanan. Ayah mertuanya yang kebetulan datang untuk melawat cucu-cucunya terkejut melihat Ainan yang tidak sedarkan diri serta anak-anak yang menangis akibat kelaparan. Mujur saja dia mempunyai kunci pendua.

Namun, Ainan langsung tidak menceritakan apa sebenarnya yang berlaku sehinggalah ayah mertuanya sendiri ke dapur dan memeriksa barangan dapur. Betapa hancur hati ayah mertuanya ketika itu. Teruk Aazad ditazkirah.

Aazad mengeluh mengenangkan satu persatu peristiwa yang berlaku sepanjang perkahwinannya dengan Ainan. Betapa sabarnya seorang Ainan sehingga Aazad langsung tidak mempedulikan tanggungjawabnya sebagai suami dan juga bapa.

Akhirnya Aazad terlena sendirian di sofa itu. Ainan hanya membuka pintu bilik apabila Safwan merengek inginkan susu. Tubuh Aazad yang terbaring di sofa, dipandang kosong. Hatinya sakit. Tidak ada sedikit pun perasaan simpati saat melihat tubuh suaminya merengkot di sofa itu.

Ainan masuk ke dalam bilik tanpa mengunci pintu. Pintu biliknya dibuka luas. Akhirnya dia turut terlena disisi Safwan.

Pagi itu Ainan terjaga lewat dari kebiasaannya. Umairah dan Safwan tiada disisinya. Kelam kabut Ainan bangkit mencari anak-anaknya. kepalanya yang terasa sakit tidak dipedulikan. Risau bila memikirkan anak-anaknya.

Melihat Aazad yang sedang menyuapkan Safwan dan Umairah makan, Ainan kembali ke dalam bilik lalu melelapkan semula matanya. Kepalanya berdenyut-denyut. Mungkin kerana terlalu banyak menangis

Entah bila dia terlena, dia sendiri tak pasti. Dia terjaga apabila Aazad mengejutkannya untuk makan. Namun pelawaan Aazad tidak diendahkan. Dia tidak berdaya untuk bangun. Tekaknya terasa perit. Wajahnya membahang. Matanya juga terasa panas.

"Jamahlah sikit bubur ni. Ainan demam. Nanti dah makan bubur, makan ubat pula." Aazad memujuk. Namun Ainan tetap juga tidak mengendahkannya. Hatinya masih lagi sakit dengan tindakan Aazad. Tanpa sedar, air matanya jatuh lagi. Ainan segera menepis air mata itu.

Safwan meluru masuk ke dalam bilik lantas memeluk Ainan. Ainan tersenyum melihat telatah Safwan. Diusapnya kepala Safwan. Dipeluknya kejab. Mengharap sedikit kekuatan dari anaknya itu. Umbum-umbun Safwan dikucup lembut.

"Makan ye. Kesian anak." Aazad masih lagi memujuk. Akhirnya Ainan akur apabila melihat Safwan tidak mahu melepaskan pelukannya. Ainan tidak mahu anak-anaknya dijangkiti demam pula.

Ainan ingin mencapai mangkuk berisi bubur di tangan Aazad, namun tindakannya dihalang oleh Aazad.

"Abang suapkan." Ainan menjeling Aazad sebelum akhirnya dia akur. Cukup tiga suapan, Ainan mula menolak. Tekaknya teramat perit.

"Sikit sangat tu. Makanlah lagi sikit," pujuk Aazad.

"Tak nak. Tekak Ainan perit." Ainan segera mencapai panadol lalu dia melelapkan mata. Aazad yang masih duduk disisinya dia tidak hiraukan.

Aazad mengeluh kesal. Safwan yang berbaring disebelah Ainan didukungnya keluar.

Pagi tadi ketika dia ingin bersiap untuk ke tempat kerja, Ainan mengigil kesejukan. Apabila Aazad meletakkan kekura tangannya ke dahi Ainan, dahi Ainan terasa panas. Terus saja dia menghubungi tempat kerjanya untuk mengambil cuti kecemasan.

Niatnya hanya untuk memberi ruang supaya Ainan dapat berehat dan sembuh sepenuhnya. Jika Ainan sakit, siapa yang akan menguruskan kerja-kerja rumah dan juga anak mereka. Kerana itu, Aazad mengorbankan satu hari kerjanya untuk mengambil alih tugas Ainan.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status