Share

Cinta Tak Kesampaian (Bahasa Malaysia)
Cinta Tak Kesampaian (Bahasa Malaysia)
Author: Fazilah Rahman

Bab 1

"BERAPA banyak pula nak kena bagi? Nanti aku gaji, aku bagi semua gaji aku dekat kau. Baru kau puas hati?" Ainan tersentak mendengar kata-kata Aazad kepadanya. Buntang mata Aazad memandang Ainan.

"Cakap benda betul pun nak mengamuk? Habis tu, Ainan dengan anak-anak dekat sini makan pasir ke? Makan rumput?" bentak Ainan. Berang betul dia apabila permintaannya supaya Aazad lebih mengambil berat tentang keperluan dia dengan anak-anak menimbulkan perbalahan antara mereka.

Mujur saja perbelanjaan Dasuki, ayah Ainan yang tanggung semenjak Ainan tidak bekerja. Nak harapkan Rahim, bekas suaminya memang taklah. Mahkamah tetapkan nafkah Dasuki sebanyak RM 200 sebulan, itulah yang Dasuki dapat. Selebihnya Ainan akan usaha sendiri atau keluarganya yang akan membantu.

"Apa lagi tak cukup? Untung aku dekat sini dengan kau, dengan anak-anak. Anak bini aku dekat sana tu ada dapat perhatian aku? Ada dapat kasih sayang aku? Dorang dapat duit je. Tahu tak?" tengking Aazad. Makin sebal hati Ainan mendengar kata-kata Aazad.

"Jangan tanya apa tak cukup? Abang bukannya buta. Sampai kami ikat perut tak makan. Anak-anak kecil lagi. Apa dorang tahu? Susu pun selalu tak cukup. Abang boleh tanya Ainan apa lagi tak cukup?" Ainan menghamburkan kemarahannya pula. Dia menghenyakkan punggung ke atas tilam.

"Memang duit bukan segalanya. Duit tak boleh beli kasih sayang. Tapi duit perlu untuk hidup. Kami tak perlu makan? Anak-anak tak perlu minum susu? Abang yang terlalu ikut sangat apa pompuan tu nak. Bila Ainan cakap tak nak dengar. Cakap abang je yang betul! Jangan satu hari nanti abang menyesal tak sudah!" marah Ainan lagi.

Bukan dia ingin menidakkan apa yang dikatakan oleh Aazad, namun keperluan dia dan anak-anak juga perlu dititik beratkan. Kebajikan mereka juga perlu dijaga. Memang jika diikutkan, dia dikira beruntung tak perlu tunggu giliran bermalam. Namun mereka juga perlukan duit untuk meneruskan kehidupan.

Ainan bangkit dari duduknya. Segera melangkah ke dapur. Puas sudah dia beristifar memujuk hatinya sendiri.

Mug di dalam kabinet dikeluarkan. Botol nescafe dicapai lalu dicedoknya suku sudu tea dan memasukkan ke dalam mug. Susu di dalam peti sejuk dikeluarkan lantas dituang ke dalam mug sebelum dia mencurahkan air panas.

Bibirnya tidak henti melafaz zikir Ya Latif. Doa dipanjatkan supaya suaminya lembut hati. Lebih bertanggungjawab pada dirinya dan juga anak-anak.

Ainan membawa mug berisi air nescafe kepada Aazad. Namun hulurannya dipandang sepi. mug diletakkan di atas meja kecil di tepi katil, lantas Ainan melangkah keluar meninggalkan Aazad sendirinya di dalam bilik.

Dasuki yang berusia lima tahun itu leka mewarna sementara Safwan dan Umairah sudah kelihatan mengantuk. Ainan membelai mereka dengan penuh kasih sayang. Permainan yang bersepah, dikutipnya satu persatu. Usai mengemas, Ainan menyalin pampes mereka sebelum membawa mereka masuk ke dalam bilik untuk ditidurkan.

Dasuki hanya memerhatikan Ainan masuk ke dalam bilik. Kertas lukisan di atas meja di pandang sepi silih berganti dengan bilik tidur Ainan. Dasuki bangun membawa lukisannya kepada Ainan yang sedang menyusukan Umairah.

"Mama," panggil Dasuki takut-takut. Ainan segera memandang Dasuki.

"Mari sini," panggil Ainan lembut. Dasuki segera melangkah menuju ke hujung kaki Ainan sebelum dia memanjat naik ke katil.

"Mama, cantik tak?" soal Dasuki sambil menayang lukisannya. Ainan segera mencapai lukisan yang ditunjukkan oleh Dasuki.

"Cantik sayang. Siapa lukis ni?" Dasuki tersenyum lebar mendengar pujian Ainan.

"Suki lukis. Cikgu suruh." Ainan memulangkan semula kertas lukisan Dasuki.

"Suki kemas meja, pergi kencing lepas tu masuk tidur ye. Mama nak tidurkan Umairah." Dasuki pandang Safwan yang sudah lena. Satu kucupan diberikan ke pipi Safwan.

"Okey." Dasuki berlalu turun semula dari katil Ainan dan terus melangkah keluar.

Ainan menjerling Aazad yang masih leka dengan tabnya. Semenjak ada tab ni, Aazad semakin kurang memberi perhatian padanya dan juga anak-anak.

Ainan tepis air mata yang mula jatuh ke pipi. Ada pun serupa tak ada. Apa untungnya Aazad bermalam di sini, jika hanya jasad di sini. Tapi jiwa dan hatinya entah di mana.

Aazad ralit dengan gadget. Diri Ainan dan anak-anak langsung tidak dipedulikan. Ainan semakin jauh hati. Dibulatkan tekad dalam dirinya. Dia perlu lakukan sesuatu untuk dirinya dan juga anak-anaknya lebih-lebih lagi Dasuki.

Tak apalah jika Aazad ingin lepas tangan, semoga satu hari nanti Allah SWT bukakan pintu hati Aazad. Lena saja Umairah, Ainan segera mendapatkan Dasuki di bilik tengah. Dasuki sedang duduk di meja belajarnya. Meja Spideman itu Ainan belikan untuk Dasuki apabila melihat Dasuki semakin ralit dengan lukisan dan mewarna.

Sebenarnya alasan paling kukuh adalah apabila melihat Dasuki dimarahi Aazad kerena melukis diruang tamu sehinggakan berebut dengan Safwan. Semenjak ada meja belajar itu, Dasuki akan melukis aatau mewarna di dalam bilik kerana tidak mahu diganggu oleh Umairah dan Safwan. Sayu hati Ainan memandang Dasuki. Sudahlah ayah kandung tidak peduli, ada ayah tiri tidak dapat menumpang kasih.

Awalnya dulu, Aazad dan Dasuki memang sangat rapat. Ainan sendiri tidak tahu dimana silapnya apabila Aazad sering memarahi Dasuki dan sering mencari salah Dasuki. Ainan mengusap lembut kepala Dasuki dari belakang. Dasuki segera berpaling dan memeluk Ainan.

"Kenapa tak tidur lagi?" soal Ainan lembut. Dasuki sekarang menjadi anak yang sangat sensetif. Hatinya mudah saja tersentuh. Jika salah sikit, pasti dia akan menangis.

"Suki tunggu mama." AInan tersenyum lantas mengajak Dasuki ke katil. Tanpa sebarang bantahan, Dasuki naik ke katil. Ainan menarik selimut lalu menyelimutkan tubuh Dasuki.

"Sekarang ni, Suki tidur. Esok sekolah. Mama nak kemas dapur dulu. Nak basuh pinggan mangkuk. Suki anak yang baik, kan?" Dasuki menganggu. Ainan memegang kedua belah pipi Dasuki lantas mendaratkan ciumannya ke dahi dan kedua belah pipi Dasuki.

Ainan segera ke dapur dan mengemas apa yang patut. Selesai saja kerjanya di dapur, dia menjengah pula bilik Dasuki. Melihat Dasuki yang telah lena, Ainan terus masuk ke dalam bilik setelah menutup lampu ruang tamu.

Aazad masih begitu. Leka dengan gadget, air yang dibancuh Ainan langsung tidak disentuhnya. Ainan mengusap air matanya yang mengalir. Dia benar-benar berkecil hati dengan sikap Aazad. Akhirnya Ainan lena ditemani air mata. Tanpa dia sedari, Aazad mengusap lembut sisa air mata di pipi Ainan. Dikucup lembut dahi Ainan.

"Maafkan abang, Ainan. Abang cuba jadi suami yang terbaik buat Ainan tapi abang sendiri tersepit antara cinta abang pada Ainan serta tanggungjawab abang pada isteri pertama abang walaupun kami dah tak sebumbung." Perlahan sekali Aazad meluahkan isi hatinya ke telinga Ainan.

AINAN melangkah lesu menuju ke rumah orang tuanya yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Hanya dipisahkan oleh beberapa blok.

Safwan dan Umairah masing-masing telah dibuai mimpi. Panas mentari sedikit mengganggu lena mereka. Ainan mencapai kain selimut lantas menutup bahagian depan stroller untuk menghalang cahaya mentari dari terus mengganggu lena Safwan. Wajah Umairah yang lena dalam gendongannya juga ditutup dengan sapu tangan.

Ainan bukanlah seorang wanita yang gemar membawa payung di bawah terik mentari. Ainan lebih suka begitu. Walau adakalanya kedengaran mulut-mulut longkang yang mengata Ainan, namun dia tidak menghiraukannya.

"Ya Allah... kenapa tak pakai payung? Panas budak-budak ni?" Ainan cuma tayang senyum mendengar soalan yang diajukan.

"Sengih pula dia. Demam budak-budak ni nanti." Ainan garu kepala.

"Macam mana nak bawa payung? Mana nak tolak stroller, nak dukung Umairah lagi. Dah tu, macam mana nak pegang payung?" Akhirnya Ainan lepaskan juga apa yang terbuku selama ni.

Nampak mudah. Tapi orang tak teliti pun keadaannya ketika itu. Dia cuma ada dua belah tangan. Sebelah digunakan untuk menolak stroller, sebelah lagi digunakan untuk memegang belakang Umairah yang berada di dalam baby carrier.

Jadi tangan yang mana harus digunakan untuk memegang payung?

"Haaa... tulah kau. Beranak rapat-rapat sangat siapa suruh?" Merah telinga Ainan mendengar sindiran dari mak cik bawang sorang ni.

"Alhamdulillah mak cik. Allah bagi saya rezeki anak. Tak adalah rapat mana pun. Selang dua tahun je. Kalau dah bukan tertulis rezeki anak pada saya, hari-hari saya pulun buat anak pun tak menjadi jugak anaknya, kan?" Ainan menghamburkan rasa geramnya. Terus dia berlalu pergi. Lagi lama, lagi panas telinganya. Nanti tak memasal dicop kurang ajar.

"Kak Ainan!" Langkah kaki Ainan terhenti sebaik saja mendengar namanya dipanggil. Segera dia menoleh. Kelihatan adiknya Syazana berlari anak menghampirinya.

"Panas ni. Meh Sya tolak Safwan." Syazana mengambil stroller dari Ainan.

"Pergi mana?" soal Ainan.

"Beli barang nak masak. Nasib baik tak pergi rumah akak tadi." Tersengih Ainan dibuatnya.

"Sya aku ingat nak cari kerjalah." Langkah kaki Syazana terhenti. Dia memandang Ainan penuh makna. Dia tahu setiap suka duka, susah senang kakaknya itu.

"Kau dah fikir masak-masak ke? Abang Aazad cakap apa?" Bertubi soalan diajukan oleh Syazana. Ainan mengeluh. Dia belum pun menyuarakan hasratnya kepada suaminya.

"Aku belum bagitahu Abang Aazad lagi. Tapi sampai bila aku nak macam ni? Kesian dekat budak-budak ni. lagi-lagi Dasuki tu." Riak wajah Ainan berubah sedih. Mula terfikir bagaimana jika suaminya enggan menerima cadangannya.

"Malam nanti kau, bincang dulu dengan abang. Kalau abang izinkan, aku takde masalah pun setakat nak jaga budak-budak ni." Ainan diam membatu.

Dia bukan tidak bersyukur dengan apa yang ada tetapi dia sudah terlalu letih untuk mengadap kerenah isteri pertama dan anak-anak tirinya yang langsung tak tahu bersyukur. Mungkinkah ini adalah karmanya kerana berkahwin dengan suami orang? Ainan hanya mampu mengeluh.

Langkah kakinya terus diatur mengekori Syazana yang telah pun melangkah ke depan. Hari ini Dasuki akan pulang bersama atuknya. Pagi-pagi lagi dia dah berpesan supaya meminta atuknya yang menjemput balik sekolah.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status