Share

Abandoned Promise (Bahasa Malaysia)
Abandoned Promise (Bahasa Malaysia)
Author: Miss Noi

Bab 1

"ZARIF! Kau pergi mana ha? Kau tau tak sekarang dah jam berapa? Kau ingat cafe ni bapak kau punya?" Suara lantang wanita yang duduk di kaunter bayaran itu menyapa telingaku. Untuk seketika, mataku dan Zara saling berbalas pandang. Sedikit terganggu dengan suara lantang wanita itu.

"Maaf kak... aku-"

"Siapa kakak kau? Miss B, panggil aku Miss B!" Kulihat tangan Miss B menepuk kuat dadanya.

"Maaf Miss B... aku tak sengaja."

"Banyak kau punya tak sengaja? Harini dah hari ketiga kau lambat. Dah, pergi buat kerja. Gaji kau aku potong lagi harini."

Aku nampak jejaka yang dipanggil Zarif itu terus berlalu ke arah dapur. Tidak lama kemudian, dia keluar semula dengan apron merah di badan. Uniform rasmi pekerja Jebat Cafe. Mukanya masih selamba, seolah-olah kemarahan Miss B langsung tidak memberi kesan kepadanya.

"Psst… Fish... boleh tahan garang Miss B ni." Zara bersuara sambil menahan gelak. Kelakar agaknya melihat muka garang Miss B. Dengan rambut ikal seperti Maggie, muka putih terlebih bedak, bibir merah menyala dan mata terjegil ketika marah.

"Ish kau ni. Tak baiklah."

Zara mencebik melihat responku. Nampak sangat aku kurang berminat dengan drama sebabak tadi.

"Fish, kau tengok mamat nama Zarif tu..." meleret suara Zara kali ini.

Aku yang ralit menatal tab di tangan mengangkat muka ke arah Zara. "Apa dia?"

"Tu... tengok sana." Zara meluruskan jari telunjuknya ke arah Zarif yang sedang mengambil pesanan tiga orang gadis remaja.

"Apa yang menariknya?" tanyaku. Pelik melihat wajah teruja kawan baikku satu-satunya ini.

"Aku rasa aku dah jatuh cintalah. Hati aku dah tergolek ni. Tolong aku, Fish. Nafas aku rasa dah semput ni. Takut kejap lagi hilang nyawa." Zara tarik nafas dalam dan hembus. Tarik lagi, hembus lagi. Alahai, drama sungguhlah si Zara sorang ni.

Tak lama selepas itu, dia sambung semula. "Kau tengoklah dia. Tak kurus sangat tak sado sangat. Sedang 'herlok' orang kata. Hidung dia Fish, hidung dia. Bukan hidung jambu, tapi mancung macam hidung pak Arab. Pandangan mata dia tajam, Fish. Boleh menusuk tembus jantung aku Fish. Ya Allah, indahnya kejadian..."

Pap!

"Sakitlah!" Zara mendengus kuat. Baru hormon adrenalin dan serotoninnya nak bekerja, aku dah matikan.

"Ngoklah kau ni. Bila masa je kau tak jatuh cinta? Dengan ane kedai mamak depan cafe aku pun kau boleh jatuh cinta, kan? Shah Rukh Khan lah sangat." Aku baling tisu ke muka Zara. Geram dengan tingkah mengada Zara.

"Ish kau ni. Serius sangat. Patutlah sampai sekarang tak ada boyfriend."

Mata kujulingkan ke atas saat Zara menyebut perihal boyfriend. Bukan dia tidak tahu yang aku ni macam mana. Bab-bab kekasih hati tidak pernah menjadi agenda utama. Berbeza dengan Zara yang sudah banyak kali putus cinta. Tu pun, masih tak serik-serik lagi.

"Ha, cakap pasal cafe kau. Kenapa kita makan kat sini harini? Kenapa tak makan kat cafe kau je? Jimat sikit duit aku." Zara tayang sengih.

"Kalau aku ada 10 orang kawan macam kau, boleh bankrupt aku." Mengekek Zara gelak mendengar kata-kataku. Dia tahu aku cuma bergurau.

"Aku nak try puding raja sini. Viral baru ni, kata sedap."

Bulat mulut Zara seolah menyebut huruf 'o' sambil mengangguk laju. "Kau rasa sedap tak?" Zara tuding jari ke arah mangkuk puding raja yang masih berbaki separuh.

"Erm... bolehlah." Aku teguk air kosong di hadapanku. Tab yang setia di tangan sejak tadi kuletakkan ke tepi.

"Lidah kau ni cerewet betullah."

"Padanlah dengan aku yang buka cafe ni. Kalau tak cerewet mana nak dapat makanan sedap."

Zara meluruskan jari telunjuk dan menggoyangkan jarinya ke arahku. Setuju dengan pernyataanku.

"Zarif, sini!" Jeritan Miss B kedengaran lagi. Agaknya Miss B ni tertelan microphone mungkin. Suara nyaring sampai sebatu pun boleh dengar.

Aku memerhati sahaja gerak geri Zarif yang sedang berjalan ke arah Miss B. Kasihan pula aku dengan jejaka bernama Zarif yang asyik menjadi mangsa kemarahan Miss B. Zara pula sudah tersengih bila Zarif semakin menghampiri kaunter bayaran itu. Bersih lagilah matanya kena cuci.

*         

AKU sudah kembali ke pejabat kecil di cafeku selepas makan tengah hari dengan Zara tadi. Sahabat baikku Zara pula sudah selamat sampai ke pejabatnya. Zara seorang Eksekutif Pemasaran di syarikat ayahnya sendiri. Syarikat pelancongan yang dibangunkan oleh pak cik Zainal sejak 15 tahun lepas. Melalui pak cik Zainallah aku banyak belajar selok belok perniagaan.

"Cik Fish, wakil dari Kachak Studio dah datang," ujar Solehin, salah seorang barista di cafeku.

"Eh, saya lupa pula ada appointment dengan dorang harini." Aku garu kepala yang tak gatal. Sungguh aku tak ingat.

"Oh, saya tak pasti pula sebab semalam Ayu tak cakap apa-apa pun." Ayu, pembantu pemasaran di cafeku. Kebetulan hari ini Ayu ambil emergency leave. Terpaksalah aku handle sendiri wakil dari Kachak Studio.

"Tak apa. Kejap lagi saya ke depan."

Solehin berlalu selepas mendapat jawapan daripadaku. Handbag aku buka, mencari tab yang selalu aku kelek ke mana jua. Semua benda aku simpan di dalamnya. Semua pasal pengurusan, perancangan dan kewangan cafe. Tak ketinggalan resipi. Ya, aku suka kumpul resipi. Lagi-lagi kalau resipi berkaitan sweet dessert. Sebab aku suka benda manis. Sebab tulah cafe aku ni namanya Sweety Sweets Cafe atau juga dikenali sebagai SS Cafe.

Eh, mana pula tab aku ni? Biasa ada dalam handbag ni. Time ni la pula nak hilang. Aku geledah pula meja kerjaku. Tiada. Semua laci yang ada aku buka. Tiada juga. Oh, tadi aku bawa ke Jebat Café. Mesti tertinggal dalam kereta. Kunci kereta segera kucapai dan laju saja aku berlari keluar, melalui pintu belakang cafe, ke arah kereta yang diparkir betul-betul di sebelah pintu.

Sampai di depan pintu kereta baru aku teringat yang tadi aku keluar dengan kereta Zara. Ha, pasti ada dalam kereta Zara. Laju tanganku mencari nama Zara dalam senarai kontak. Erm... dia tak angkat pula. Hantar W******p jelah. Nanti dia replylah tu.

Mengingatkan ada tetamu yang sedang menunggu, aku kembali melangkah ke bilik pejabatku. Pakaian dan tudung dirapikan sebaiknya. Ya, aku bertudung tapi tudungku singkat. Selalu mama tegur, minta aku labuhkan tudung. Tapi entahlah, hati aku masih liat nak bertudung labuh macam mama. Mungkin suatu hari nanti.

"Cik Fish..." suara Solihin kedengaran lagi.

"Coming..."

*

"APA perancangan you untuk masa terdekat? Mungkin dalam masa enam bulan dari sekarang?" Wakil Kachak Studio bernama Haziq bertanya.

Sudah hampir setengah jam temu bual ini berlangsung. Seronok juga berbual dengan Haziq ni. Peramah dan tak kering idea orangnya. Sesuailah personalitinya dengan kerjayanya sekarang. Wartawan dan editor Kachak Studio. Ya, orangnya pun kacak. Mungkin itu salah satu kriteria wajib untuk menjadi kakitangan syarikat tersebut.

"Insyaallah dalam masa enam bulan akan datang, I jangkakan buah tangan terbaharu Sweety Sweets Cafe akan mendapat tempat di hati peminat dessert tanah air."

"Wow. Boleh you share dengan I, apa buah tangan terbaharu SS Cafe?"

"Well, semestinya sesuatu yang sweet, sesuai dengan nama cafe I."

Tergelak Haziq mendengar jawapanku. Biarlah aku rahsiakan dulu produk terbaharuku kerana resipinya masih dalam kajian lagi.

"Sesuai juga dengan ownernya, sweet."

Amboi! Kemain si Haziq ni puji aku. Sorry, aku kalis pujian. Tak mudah terpedaya dengan kata-kata manis.

Temu bual akhirnya tamat selepas Haziq mengambil beberapa keping gambarku di sekitar cafe. Sememangnya banyak port menarik untuk ambil gambar di dalam cafeku. Almaklumlah, cafe hipster.

Haziq memilih Burnt Cheesecake dan Hazelnut Latte setelah puas dipujuk oleh Solehin untuk menjamu selera sebelum beredar. Nak tak nak, aku duduk juga di hadapan Haziq. Tak manis pula rasanya aku biarkan dia makan sorang-sorang.

“Kenapa Fish?”

Aku tergelak mendengar persoalan Haziq. Sudah semestinya ini bukan kali pertama aku mendapat soalan ini. Sesiapa yang baru berkenalan denganku pasti akan bertanyakan soalan yang sama.

“Falisha… buang je ‘ala’, tinggallah Fish.”

Kuat pula suara Haziq ni gelak. Sampaikan pelanggan di meja sebelah pun dok jeling-jeling ke arah kami. Aku hanya tersengih, tayang gigi.

Melihat nama Zara muncul di skrin telefon bimbit, laju sahaja tanganku menekan icon hijau. Tangan diangkat tanda meminta maaf kepada Haziq kerana terpaksa menjawab panggilan telefon.

"Zara, ada tak tab aku?"

"Tak ada la Fish. Kau letak mana? Jangan-jangan kat cafe Zarif tadi tak?"

Cafe Zarif? Oh, Jebat Cafe yang ada pelayan nama Zarif tu. Aku tepuk dahi. Baru teringat yang aku letak tab atas meja makan tadi. Harap-harap masih adalah tab aku kat sana.

Tab you hilang?” soal Haziq selepas aku menamatkan panggilan.

Aku hanya mengangguk dan memberi penjelasan ala kadar. Cukup sekadar memaklumkan yang aku ingin cepat untuk mendapatkan kembali tabku.

*         

AKU sampai ke Jebat Cafe tepat jam empat petang. Kelihatan tidak ramai pelanggan. Mungkin disebabkan masa makan tengah hari sudah berlalu. Mataku meliar ke arah meja berdekatan kaunter bayaran. Kosong. Tidak kelihatan sebarang petunjuk adanya tabku di situ. Miss B nampak ralit menatal telefon bimbitnya. Aku hayun langkah laju ke arah Miss B.

"Assalamualaikum, Miss B."

"Waalaikumussalam. Ha, ada apa?" Amboi, garangnya Miss B.

"Saya Falisha. Tengah hari tadi saya ada datang lunch kat sini dan rasanya macam tertinggal tab kat meja tu." Jari telunjukku lurus ke arah meja sebelah kaunter bayaran.

"Tak ada."

Eh, tak ada?

"Cik, ni cik punya ke?" Zarif tiba-tiba muncul di sebelah Miss B. Tangannya menuding ke arah tab di hadapan Miss B. Ada pun tab dengan sticker cupcake ni.

"Aah. Saya punya. Macam mana-"

"Apa bukti ni kau punya?" soal Miss B. Matanya dibesarkan ke arah Zarif. Herot-herot bibirnya. Agaknya marah bila Zarif masuk campur.

"Tab ni ada password. Biar saya masukkan password," ujarku.

"Ni bukan kau punya." Laju sahaja Miss B simpan tab itu ke dalam laci. Geram pula aku dengan Miss B ni. Takkan dia nak curi tab aku depan mata aku? Dahsyat…

"Miss B, tu tab saya. Tolong pulangkan tab saya."

"Tab tu aku punyalah. Tiba-tiba saja nak claim dia punya." Miss B jeling aku dengan ekor matanya.

Aku kerling Zarif yang masih tegak di sisi kaunter. Mukanya nampak serba salah.

"Boleh saya jumpa pengurus cafe?" soalku kepada Zarif. Malas aku nak berurusan dengan Miss B.

"I pengurus." Laju Miss B menjawab.

"Okay, bagi saya jumpa owner cafe."

"Owner cafe dah serahkan semua kat I. Apa-apa cakap dengan I."

Geramnya aku tengok muka berlagak Miss B ni. Kalau tak disebabkan tab aku dalam ‘tahanan’ dia sekarang tak ada maknanya aku nak berlembut dengan dia.

"Zarif, awak boleh tolong saya? Saya nak jumpa owner cafe ni." Aku paling ke arah Zarif.

"Kau… kalau kau contact Encik Haidar, siap kau. Aku berhentikan kau harini jugak," ugut Miss B sambil jari telunjuknya dihala lurus ke arah Zarif.

"Kalau cik nak jumpa Encik Haidar-"

"Zarif, kau tanggalkan apron tu sekarang. Sekarang juga kau aku pecat!" Miss B sudah menjerit.

Zarif hanya buat muka selamba. Dia tanggalkan apron merahnya dan menggamit aku untuk mengekornya ke luar kedai. Aku turutkan sahaja langkah Zarif. Timbul rasa kasihan bila dia kena pecat sebab aku.

"Kalau cik nak jumpa encik Haidar, aku boleh bagi nombor." Zarif keluarkan telefon bimbitnya. Nokia 3310 yang diikat dengan getah di bahagian baterinya.

Sebak pula aku tengok telefon bimbit Zarif. Masih ada yang pakai telefon tu rupanya. Selesai mendapatkan nombor telefon encik Haidar, aku serahkan bussiness cardku kepada Zarif.

"Call saya atau datang sini." Aku tunjuk alamat cafeku kepadanya. Kasihan dia kena pecat sebab nak tolong aku. Teragak-agak Zarif ambil kad di tanganku.

"Terima kasih," ujarku dengan senyuman.

Zarif hanya mengangguk dan terus berlalu. Nombor encik Haidar aku dail tapi panggilanku tidak diangkat. Kejap lagilah cuba lagi. Sekarang ni aku nak bersemuka lagi sekali dengan Miss B. Berani betul dia nak menipu aku. Dah sah-sahlah tab tu aku punya.

Belum sempat aku melangkah masuk ke dalam Jebat Café, kedengaran namaku dilaung oleh seseorang.

“Fish!”

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status