Share

Bab 1

Tuk! Tuk! Tuk!

Ketukan pintu bilik hotel itu terlalu kuat. 7 orang lelaki berdiri termasuk seorang kanak-kanak lelaki di hadapan pintu bilik hotel ini. Salah seorang daripada berwajah bengis. Hatinya panas disebabkan sesuatu. Bahu lelaki itu ditepuk perlahan oleh salah seorang daripada mereka.

"Hei, sial! Buka pintu ini", jerkah lelaki itu dengan wajahnya yang merah padam. 

"Sabar Kamarul", ucap lelaki di sebelahnya. Ketukan kuat itu akhirnya berhenti selepas pintu hotel itu dibuka daripada dalam oleh seorang lelaki. Tanpa menunggu lama, Kamarul terus menerpa ke arah lelaki terbabit lalu menumbuk muka lelaki itu. Tersungkur lelaki itu dibuatnya ke atas lantai.

"Jantan sial! Apa yang kau buat dengan isteri aku hah? Kau sedar tak apa yang korang buat ini?", Kamarul memijak tubuh lelaki itu berkali-kali walaupun dihalang oleh 2 daripada rakannya.

"Ka..Ka..kami tak buat apa-apa pun bang. Kami cuma bincang tentang kerja sahaja", balas lelaki berkenaan. Bahagian bibirnya pecah selepas ditumbuk oleh Kamarul. Tubuhnya berasa sakit selepas dipijak namun saki itu hanya biasa. Hatinya ketika bergelojak disebabkan ketakutan yang melampau.

"Mama...", tiba-tiba kanak-kanak lelaki yang berada di antara 6 orang lelaki dewasa memanggil seorang wanita. Wanita itu baru sahaja keluar daripada tandas selepas mendengar kekecohan di dalam bilik. Riak wajahnya jelas dalam keadaan terkejut. 

"Haa, ini yang kau kata ada urusan kerja itu? Hah? Kau nak bersedap dengan jantan lain kan. Kau memang isteri tak guna lah Zulaikha", Kamarul kemudian terus menerpa ke arah wanita yang dipanggil Zulaikha lalu menampar kuat pipi wanita itu. 

Zulaikha rebah di atas katil sambil menangis teresak-esak selepas pipinya ditampar oleh suaminya sendiri. Buat pertama kali lelaki itu naik tangan ke tubuhnya. Kamarul menggigil kerana terlalu marah. Matanya tajam memandang tepat ke arah isterinya yang sudah dinikahi selama 10 tahun itu.

"Apa kak long dah buat ini? Kak long sedar tak? Waras lagi tak? Tergamak kak long buat abang Arul macam ini. Tak sangka, Eri ada kakak jalang macam kak Long ini", Hezri, adik bongsu kepada Zulaikha mengeluh sambil melepaskan kemarahan kepada kakak sulungnya. Dia menarik tangan kanak-kanak lelaki itu untuk berada di belakangnya. Tidak tegar untuk membiarkan kanak-kanak itu melihat apa yang berlaku ketika ini.

Zulaikha duduk tegak di atas katil. Keberanian dikumpulkan untuk melihat wajah setiap seorang di dalam bilik ini. "Demi Allah bang, kami tak buat apa-apa pun", balas Zulaikha sambil memegang pipinya. Air mata wanitanya jatuh sambil diseka oleh tangannya.

Kamarul mara ke atas katil untuk bertindak dengan lebih lagi namun pantas dihalang oleh lelaki di sisinya. "Sabar Arul, sabar. Aku tahu kau tengah marah tapi jangan bertindak berlebihan. Kita serahkan kepada jabatan agama yang akan datang sekejap lagi", kata lelaki itu sambil memegang bahu Kamarul.

"Kau tak faham Saiful. Isteri aku yang aku cinta, yang aku percaya selama 10 tahun ini boleh buat macam ini dekat aku. Apa salah aku Zue? Apa yang tak cukup? Selama 10 tahun kita kahwin, kau isteri yang sempurna di hadapan aku. Mak yang baik untuk 3 anak kita. Tapi kenapa kau buat macam ini? Apa salah aku?", kata Kamarul dengan nada bengis namun kedengaran sayu pada suaranya.

Zulaikha bersuara lagi. "Sumpah bang, kami tak buat apa-apa pun. Percayalah", balasnya dengan nada sayu. Memang benar, mereka tidak melakukan apa-apa lagi. 

"Kalau dah duduk sebilik begini, kau boleh kata tak buat apa-apa. Kalau kami tak datang, silap-silap dah bersedap bagai!", tempik Kamarul lagi. 

"Betul bro, kami tak buat apa-apa pun. Kami bincang pasal kerja sahaja", kata lelaki itu yang sudah didudukkan oleh 3 lagi lelaki lain. Tangannya dipegang kemas oleh mereka bertiga. Hezri yang mendengar suara daripada individu itu lantas berpaling. Dia menuju ke arah lelaki tersebut lalu menumbuk bahagian hidung lelaki itu.

"Ada aku suruh kau bersuara? Hah? Jantan sial. Siapa nama kau?", soal Hezri sambil menarik bahagian hadapan rambut lelaki itu. 

"Yu...Yu...Yusuf", balas lelaki itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Yusuf. Matanya tertutup dengan dahinya berkerut kerana kesakitan yang melampau di bahagian hidungnya. Ada lelehan berwarna merah keluar daripada bahagian hidung lelaki itu.

Sementara itu, Kamarul masih memandang tepat ke arah Zulaikha. Wajah wanita itu kelihatan sedih memandang ke arah lelaki yang bernama Yusuf itu. Tiba-tiba, hati lelakinya sekali lagi berasa tercabar. 

"Sedih tengok kekasih gelap kena pukul? Hah? Habis aku ini kau tak sedih? Ini, kau tengok budak ini. Kau tak sedih bila tengok muka dia. Anak yang kau kandungkan selama 9 bulan, tahu tentang perangai jalang kau. Tengok Irfan, ibu yang kau sayang-sayang sangat. Ibu pergi mana semua kan, haa ini ada depan mata kau. Dia dah tak sayang kita lagi Irfan", kata Kamarul dengan nada tegas namun sebak. Tubuh Irfan yang berusia 8 tahun itu dibawa berhadapan dengan ibunya.

Zulaikha berasa sedih melihat wajah polos anak sulungnya. Raut wajah anak lelakinya yang bernama Irfan itu kelihatan sayu sahaja.

****

"Arrgghh".

Tiba-tiba, seorang lelaki bangun daripada tidurnya sambil menjerit. Tangannya menggosok hebat kepalanya. Tubuhnya yang tidak berbaju itu basah dengan air peluh walaupun bilik tidurnya sejuk dengan penghawa dingin. 

Lelaki berkenaan adalah Irfan Haziq. Mimpi tadi adalah peristiwa lampau hidupnya ketika berusia 8 tahun. Walaupun peristiwa itu sudah berlalu hampir 20 tahun, namun sukar untuk dia melupakan peristiwa pahit itu. Peristiwa yang telah memisahkan kebahagiaan keluarga mereka.

"Abang, kenapa ini?", seorang wanita di sisinya bangun daripada tidur sambil memegang bahu suaminya. Dia terkejut dengan jeritan lelaki itu menyebabkan dia tersedar daripada lena.

"Tak ada apa-apa Tati. Abang cuma bermimpi. Mimpi pahit yang pernah hancurkan hidup abang satu masa dahulu", balas Irfan kepada isterinya, Izzati. Wanita itu mengusap lembut bahu dan belakang tubuh lelaki berkenaan.

"Kalau kita mimpi buruk dan menakutkan, lebih baik kita beristighfar. Mimpi itu kan mainan tidur sahaja", kata Izzati sambil tangannya masih mengusap lengan lelaki itu.

Irfan hanya diam. Kemudian kedengaran suara kecilnya melafazkan kalimah agung itu berulang kali. Perasaan gelisah dan takut telah beransur hilang. Mereka berdua kemudian kembali berbaring di atas katil itu. 

"Maafkan abang ya Tati, sebab ganggu tidur sayang", kata Irfan yang membiarkan isterinya melabuhkan kepalanya di atas lengan miliknya. Izzati hanya tersenyum sahaja. Tangannya melingkar ke atas dada suaminya sebelum beliau terlena kembali. Sisa keletihan selepas berhubungan badan sebelum ini masih bersisa lagi menyebabkan Izzati kembali tertidur.

30 minit telah berlalu, Irfan masih terkebil-kebil memandang siling. Matanya tidak boleh tidur. Hatinya resah dan risau dengan peristiwa dahulu. Perlahan-lahan di dalam hatinya berdoa, memohon daripada Tuhan agar dijauhkan daripada peristiwa itu berulang kembali dalam hidupnya. 

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status