Share

Bab 3

Kereta Myvi milik Ben memasuki sebuah bangsal yang agak usang. Di situ, ada tiga orang lelaki sedang berdiri tegak di bahagian sisi kereta pacuan empat roda yang berada di situ manakala seorang lagi duduk dibahagian bonet enjin. Mereka bertiga memeluk tubuh sendiri sambil memerhatikan sahaja Ben memberhentikan kereta serta mengeluarkan lelaki tua yang sudah mati itu.

Lelaki yang duduk di atas bonet enjin itu lekas turun lalu menuju ke arah Ben yang mengheret mayat Eddie ke arah mereka. Ben berhenti daripada melangkah. Lelaki tadi tersenyum sambil melihat sekujur tubuh lelaki tua tersebut.

"Bagus ya, Marco. Budak kau yang satu ini memang hebat buat kerja. Aku memang suka berurusan dengan kalian", kata lelaki itu kepada Marco, yang berdiri di bahagian sisi kiri kereta pacuan empat roda itu. Tubuhnya tinggi dengan rambutnya berwarna perang ala blonde. Namun begitu, gaya potongan rambutnya pelik seperti buah nanas.

"Kau pasti ke, dia ini memang sihat betul? Tak ada sakit jantung, darah tinggi atau apa-apa jenis penyakit. Aku tak nak nanti, bila dah buat pemeriksaan kantoi ada macam penyakit. Memang aku minta balik duit kami", kata lelaki tadi sambil memandang ke arah Ben. Punggungnya mencangkung sambil matanya sesekali melihat ke arah tubuh Eddie.

"Kalau ikut apa yang dia tulis dekat novel dia, memang dia ini sihat walafiat. Kalau tidak, tak akan sampai berpuluh perempuan yang dia balun. Bangga pula itu dengan apa yang dia buat", balas Ben sambil tangannya mengeluarkan pod yang digantung pada lehernya.

"Jadi sekarang macam mana Kuma? Kami dah dapatkan mayat ini. Kau jangan cakap tak jadi ambil pula. Kita dah susah payah susun pelan nak bunuh dia, kalau kata tak jadi kau jangan tanya kenapa kalau kau tiba-tiba rebah nanti", kali ini lelaki di bahagian sisi sebelah kiri kereta pacuan empat roda itu bersuara pula. Tubuhnya tinggi namun sedikit gempal. Raut wajahnya agak menakutkan dengan keras torehan pada bahagian wajahnya.

Kuma tertawa sambil memandang ke arah tiga pemuda itu. "Tenanglah kawan, kita jenis bukan cakap kosong. Kalau kita kata mahu, kita mesti ambil punya. Jangan risau ya Bob", kata Kuma sambil ketawa sinis.

Lelaki yang bernama Bob itu mengangguk. Selepas itu, sebuah van Toyota model Hiace Super GL berwarna hitam berhenti di hadapan mereka berempat. Lima lelaki berbangsa India keluar daripada Van berkenaan lalu mendekati Kuma. Kuma berkata sesuatu kepada mereka.

Walaupun lelaki itu berbual dalam bahasa Tamil, Ben, Marco dan Bob hanya melihat sahaja lima lelaki tadi mula memindahkan mayat lelaki tua itu masuk ke dalam van hitam tersebut. Setelah selesai, Kuma bersama tiga lagi anak buahnya dengan membawa sebuah beg besar menuju semula ke arah mereka bertiga. Kuma membuka beg berkenaan yang mengandungi sejumlah wang.

"Ini jumlah wang yang kita janjikan itu. RM 300 ribu. Tak lebih, tak kurang", kata Kuma kepada Marco. Marco memeriksa setiap ikatan wang berwarna ungu itu. Oleh sebab terlalu lama memeriksa dan mengira, Kuma mula menjadi bengang.

"Deyy, ingat kita tipu kau orang semua ke. Betullah RM 300 ribu. Kalau korang nak kira satu persatu, sampai esok pun belum tentu habis", kata Kuma. Marco hanya berdiam diri sahaja.

"Kita mesti kena cek dahulu. Buatnya kami ditipu, macam mana?", soal Bob pula. Kuma menyeringai kerana geram.

"Adoi, tak ada tipu lah. Ingat kita samseng ke mahu tipu-tipu? Kita orang berniaga sahaja. Jual organ manusia yang dah mati. Apa kami dapat kalau tipu?", kata Kuma dengan nada berang. Marco kemudian menutup beg bimbit berkenaan lalu menghulurkan tangan untuk berjabat salam dengan Kuma.

"Terima kasih, Kuma. Gembira dapat berurusan dengan kau. Kalau ada apa-apa lagi, kau boleh hubungi kami", kata Marco. Senyuman diwajahnya terpancar jelas. Bayangan RM 100 ribu setiap seorang adalah satu jumlah yang banyak. Pelbagai perkara boleh dilakukan dengan duit itu.

"Sama-sama kawan. Kalau kau susah nak cari penderma organ, hubungi kami. Segala jenis organ manusia kita ada. Apa-apa kau hubungi kami di website biasa itu ya", kata Kuma. Lelaki India itu kemudian berpaling lalu masuk ke dalam kereta model Mitsubishi Evo 10 miliknya sementara lima lagi anak buahnya menaiki van hitam tadi.

Marco, Bob dan Ben hanya melihat sahaja dua kenderaan itu. Setelah menghilang, giliran mereka pula bersurai untuk menuju ke sebuah lokasi, yakni markas rahsia mereka bertiga.

****

12.00am

Bob dan Ben tersenyum lebar melihat habuan RM 100 ribu setiap seorang di dalam pelukannya manakala Marco sedang leka menghadap komputer riba. Di bahagian sisinya juga ada beberapa ikat duit not RM 100 ringgit yang banyak jumlahnya.

Terima kasih kerana berurusan dengan kami. Urusan sangat mudah dan ringkas. Pekerja anda juga tidak banyak karenah. Kami daripada pihak Blood Hunter sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada Donor Corporation.

Setelah selesai menaip, butang enter ditekan. Mesej sebagai feedback dihantar kepada lama web rasmi Donor Corporation.

"Duit dah banyak ini, apa kata kita melancong luar negara nak? Aku teringin nak pergi Rom, Itali", kata Ben dengan senyuman di wajahnya.

"Daripada pergi luar negara, baik kita naik bot cruise. Biasanya dalam bot mewah macam itu, ramai awek hot tau", balas Bob pula.

"Okay juga itu kan. Boleh kita feeling macam naik Titanic. Tapi, buatnya jadi apa-apa atas bot itu, naya kita nanti", Ben membalas ayat Bob tadi.

"Alahai kau ini. Kemalangan mana-mana boleh berlaku. Kalau kau nak kapal terbang, lagi lah. Jatuh terhempas, mayat tak jumpa weh. Wush, seriau aku", Bob kemudian berpaling ke arah Marco yang masih khusyuk dengan komputer riba di meja makan itu.

"Weh, kau apa cerita? Sibuk betul ya", soal Bob kepada Marco. Marco hanya berdiam diri sahaja. Tangannya menaip sesuatu di atas papan kekunci komputer riba itu.

"Ada orang nak guna servis kita. Tak sangka betul, ramai orang Malaysia boleh tahu website Blood Hunter ini", kata Marco.

Blood Hunter adalah sebuah laman web rasmi yang tidak ada di carian internet biasa. Jika dicari di G****e, pasti tidak jumpa kerana laman web berkenaan boleh dijumpai di dalam web yang paling dalam iaitu dark web. Laman internet yang digunakan dalam kehidupan seharian kita sebenarnya hanya 20 peratus sahaja. Selebihnya ada pada deep web dan dark web.

Di dark web, carian apa sahaja yang dimahukan pasti akan jumpa. Pembelian senjata api ala-ala Shopee, pemerdagangan manusia, malah ada juga yang membuat live video untuk menyeksa seseorang di mana penonton boleh minta seksaan apa yang mahu dipertontonkan di ruangan komen. Tidak mudah sebenarnya untuk melayari dark web ini. Jika tersalah langkah, kemungkinan maut bakal menanti.

"Korang. Kita dapat job baru. Selepas selesai kerja ini, baru kita bercuti. Boleh?", soal Marco kepada Ben dan Bob.

"Kali ini siapa pula yang kita kena habiskan?", soal Ben pula. Raut wajahnya tampak berminat dengan kerja ini.

"Sophia Jane, seorang selebriti Malaysia. Kata si pengadu, wanita ini jalinkan hubungan dengan suaminya sampaikan suaminya berubah hati dengan pengadu", kata Marco sambil menunjukkan mesej yang diterima di peti masuk website rasmi mereka.

Ben membaca mesej berkenaan. "Jadi, kita kena habiskan Sophia sahaja? Tak nak habiskan suaminya sekali?", soal Ben.

Mereka bertiga kemudian melihat ruangan peti mesej itu di mana pengadu sedang menaip sesuatu. Selepas itu, mereka bertiga tersenyum membaca mesej berkenaan. "Bagi pengajaran ya. Kalau bab ini, aku boleh. Kau habiskan Sophia, aku ajar mamat poyo itu. Sial, ada isteri tapi gatal telur nak jalinkan hubungan sulit", kata Bob sambil memegang kesan parut pada wajahnya. Parut yang meninggalkan kesan buruk pada wajah dan emosinya.

"Jadi, kira setuju ya", kata Marco. Ben dan Bob mengangguk. Mereka bertiga tersenyum. Satu lagi kerja bersama bayaran lumayan akan diperoleh mereka nanti.

Comments (2)
goodnovel comment avatar
RED SCARLET
betul... psikopat pon byk dlm tu
goodnovel comment avatar
RED SCARLET
lma xberlakon dh dia ni huhuhu
VIEW ALL COMMENTS

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status