Share

Bab 2

9.00pm

Restoran Azhaar Maju, Senawang

"Teh o panas ya".

Pelayan mamak itu menghantar minuman panas yang dipesan ke meja seorang pengunjung. Air panas itu kepunyaan seorang lelaki yang agak berusia dalam lingkungan 50an berdasarkan rambutnya yang sudah beruban sedikit. Namun begitu, tubuhnya masih kelihatan sihat. Tidak bongkok, malah masih tegap lagi. 

"Terima kasih", kata lelaki tua itu kepada pelayan tadi. Pelayan tadi mengangguk sebelum beredar menyambung semula tugasannya. 

Tiba-tiba, telefon pintar model IPhone 11 berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Nama Ben Beckham tertera di skrin berkenaan. Lelaki itu menjawab panggilan tersebut.

"Hello",

"...",

"Oh ya? Baik. Saya pakai baju T berwarna merah. Encik nampak tak?", soalnya kepada pemanggil di hujung talian.

"...",

Bahu lelaki itu ditepuk daripada belakang. Kelibat seorang lelaki berpakaian kulit serba hitam tersenyum kepada lelaki tua itu. Mereka berjabat tangan sesama sendiri sebelum lelaki tua itu mengarahkan individu berkenaan duduk berhadapan dengannya.

"Gembira saya dapat berjumpa dengan encik Eddie. Lama ke encik tunggu saya tadi?", soal lelaki berpakaian serba hitam itu. Lelaki itu adalah Ben Beckham, yang menghubungi lelaki tua tadi.

Eddie hanya tersenyum. "Tak lama pun Ben, dalam dua minit macam itu sebelum awak telefon saya dah sampai di sini", katanya sambil menghirup air teh o panas di cawan. 

"Kamu dah makan ke? Kalau belum, boleh buat pesanan dahulu", soal Eddie setelah selesai menghirup air panasnya.

"Boleh juga", Ben segera mengangkat tangan memanggil pelayan restoran ini untuk membuat pesanan. Perutnya juga telah berasa lapar. 

"Mamak, bagi saya Maggie goreng double, tak nak sayur ya. Tambah dua biji telur mata", kata Ben lagi memesan makanan tersebut kepada pelayan itu. 

"Minum?", soal pelayan tadi.

"Ais kosong sahaja".

"Lapar betul ya. Sampai dua biji telur mata", kata Eddie selepas pelayan tadi beredar daripada situ. Ben hanya tersengih sahaja. Dirinya memang begitu. Jika terlalu lapar, dia akan pesan makanan itu dua kali ganda. 

Telefon pintar milik Ben bergetar di atas meja. Mesej daripada seseorang bernama Marco diterima melalui aplikasi W******p. Ben segera membuka screen lock lalu membaca mesej berkenaan.

Aku dah sampai. Kau buat kerja kau, aku buat kerja aku.

Mesej itu dibiarkan begitu sahaja. Ben  menutup data internet telefonnya lalu meletakkan semula telefon pintar jenama Samsung di atas meja makan itu. Eddie menyedari tingkah laku Ben mula menegur.

"Makwe mesej ke?", soal Eddie. Sekadar soalan kosong sahaja. Tidak ada niat lain untuk tahu.

Ben tersentak. Renungan tajam diberikan namun bibirnya mengukirkan senyuman kepada lelaki tua itu. "Eh, tak. Kawan serumah saya. Dia bagitahu dia nak balik kampung sebentar", kata Ben sambil tersengih. 

"Oh. Kamu duduk menyewa dengan kawan ya. Tinggal di mana?", soal Eddie.

"Taman Jujur, Sikamat. Abang pula tinggal mana?", soal Ben menggantikan perkataan 'encik' kepada abang. Biar tampak seperti tidak terlalu formal.

"Abang tinggal di kawasan sini sahaja", balas Eddie. 

5 minit kemudian, makanan yang dipesan oleh Ben sudah sampai. Ben tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepada pelayan yang menghantar makanan tadi. "Saya makan bang ya", kata Ben.

"Haa, silakan. Bismillah", balas Eddie.

****

Ben tersenyum selepas perutnya yang kosong tadi sudah penuh diisi dengan makanan tadi. Minumannya juga sudah habis. Kini, barulah dia boleh memulakan tugasannya dengan Eddie. "Baiklah bang, jadi kita teruskan kepada topik utama kita ya", kata Ben sambil mengeluarkan satu jenis tab besar dan meletakkan di atas meja.

Eddie tersenyum sambil mengangguk. Ben berdehem beberapa ketika untuk memulakan perbualan utama. "Baiklah, Eddie atau nama pena di W*****d juzthin_eddie. Betul kan?", soalan Ben itu dibalas dengan anggukan kepala sahaja.

"Baiklah, macam yang Eddie tahu. Saya adalah self publisher untuk novel-novel di Malaysia. Mana-mana karya yang laku keras di aplikasi W*****d itu, saya akan cari penulis itu untuk jadikan karyanya sebagai fizikal. Eddie tahu kan, kelebihan fizikal ini banyak. Antaranya, orang dapat simpan buku kita untuk beberapa tempoh yang lama".

"Dah lama sebenarnya saya ikuti cerita karya Eddie yang berjudul Cinta Di Tirai Kelengkang itu. Oleh sebab itu, saya DM Eddie di ruangan chat untuk tahu kesahihan cerita itu. Memandangkan kisah itu pun adalah kisah benar encik, jadi saya fikir untuk ajak encik hantar manuskrip encik itu pada saya. Saya akan print dan serahkan kepada encik", ujar Ben dengan panjang lebar.

Eddie tersenyum sahaja. Tawaran lelaki tadi nampak menarik. Namun begitu, dia berasa karya olahannya tidak layak untuk dijadikan sebagai novel fizikal. "Boleh ke encik, cerita macam itu dijadikan sebagai novel fizikal? Kalau ikutkan, cerita saya itu adalah cerita dewasa. Banyak unsur-unsur blue dalam cerita itu", katanya.

"Saya tahu. Itu sebab saya ajak encik buat fizikal dengan saya kerana saya selfpublisher, bukan daripada syarikat penerbit. Segala jenis cerita yang memikat hati saya, saya akan hubungi penulis itu untuk ajak berbincang. Itu sebab saya mesej encik Eddie", kata Ben sambil tersenyum.

Eddie mengangguk faham mendengar penjelasan daripada Ben. Dia teringat akan perbualannya dengan seseorang di ruangan chat aplikasi W*****d itu. Mesej daripada seorang individu bernama ben_beckmann mengajaknya untuk bertemu secara berhadapan bagi membincangkan perkara ini. Tak sangka, perkara itu benar-benar berlaku. Bermula daripada situ, mereka berdua menukar nombor telefon. Kini, mereka bertentang mata antara satu sama lain.

"Saya fikir, ini peluang terbaik untuk encik berkenalan dengan dunia penulisan. Sampai bila nak tulis secara percuma sahaja di aplikasi itu? Lebih baik encik gunakan bakat dan peluang encik untuk jana pendapatan dengan menghasilkan karya-karya baru encik. Sebagai langkah pertama, encik buat debut pertama dengan Cinta Di Tirai Kelengkang itu. Duit jualan semua encik punya. Encik hanya sediakan duit untuk cetakan sahaja. Macam mana?", soal Ben selepas selesai memberikan penjelasan yang panjang lebar.

Eddi hanya berdiam diri. Tawaran lelaki ini ternyata menarik minatnya. Memang sejak dahulu dia ingin bergelar sebagai seorang penulis. Sengaja dia jadikan pengalaman hidupnya sebagai bahan untuk penghasilan karyanya supaya dapat menarik jumlah follower akaunnya. 

Wajahnya tersenyum, Eddie mengangguk. "Saya setuju. Lagi bagus kalau ada secara fizikal kan. Kalau biar terperap di W*****d, silap-silap kena plagiat dengan orang lain", kata Eddie kepada Ben.

"Alhamdulillah, jadi kira setuju ya. Kalau macam itu, kita teruskan perbincangan kita tentang cover buku dan percetakkan", kata Ben sambil menyambung semula diskusinya. 

Dalam masa yang sama, telefon pintar milik Ben berbunyi lagi. Mesej daripada Marco masuk ke aplikasi W******p. Ben yang sempat membaca mesej itu sekadar tersenyum penuh makna.

Done! Jumpa tempat yang dijanjikan.

Ben menutup kembali telefon pintarnya. Malas nak balas tetapi faham dengan arahan daripada mesej itu.

****

10.30pm

Eddie berjalan keluar daripada restoran mamak itu selepas selesai mesyuaratnya bersama Ben. Mereka berpisah menuju ke kenderaan masing-masing. Eddie tersenyum sahaja sambil membayangkan bagaimana hasil jualan karyanya kelak. Menurut Ben, karyanya boleh jadi laku keras memandangkan jumlah follower Eddie sudah mencecah 2.15 ribu orang.

Namun begitu, senyuman lelaki tua itu hilang serta merta. Motosikal Honda Ex5 miliknya kelihatan rosak tayar. Kedua-dua tayar motosikalnya menjadi kempis tanpa sebarang angin. Eddie berasa hairan dengan apa yang berlaku.

'Macam mana boleh pancit begini. Tadi elok sahaja'.

Sambil menggaru kepala, Eddie mundar mandir di sekeliling motosikalnya. Kedua-dua tayarnya terlalu kempis tanpa angin. Tangannya mengeluarkan telefon pintar untuk menghubungi isterinya. 

Tin! Tin!

"Bang, kenapa itu?".

Eddie berpaling ke belakang. Ben yang berada di dalam kereta Myvi putih miliknya bersuara daripada dalam kereta. Lelaki itu kemudiannya keluar daripada kereta dan berjalan ke arah Eddie.

"Moto saya ini. Entah, tadi elok sahaja. Bila nak balik ini, tengok tayar tak ada angin pula. Aduhai", balas Eddie sambil menggaru kepalanya.

"Buka lagi ke bengkel waktu begini?", soal Ben. 

Eddie mengangkat kedua-dua bahunya tanda tidak tahu. Ben juga menggaru kepalanya. "Hmm, apa kata saya hantar abang balik rumah dahulu. Esok, abang uruskan sendiri dengan isteri abang nanti. Alang-alang saya pun nak balik rumah juga. Boleh tumpangkan abang sekali", balas Ben kepada Eddie.

Eddie hanya berdiam diri. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia menelefon isterinya supaya menjemputnya di sini. Namun difikirkan balik, tidak mahu menyusahkan wanita itu. Baik tumpang dengan lelaki ini. 

"Baiklah, saya ikut kamu sahaja", kata Eddie. 

Eddie mengunci terlebih dahulu motosikalnya. Walaupun model lama, namun bimbang juga jika ada yang berani mencuri motosikal miliknya ini. Setelah selesai, mereka berdua masuk ke dalam kereta dan berlalu meninggalkan kawasan ini.

Mereka berdua hanya berdiam diri sahaja. Telinga masing-masing seronok melayan lagu-lagu yang diputarkan oleh DJ Lin di slot Suria Cinta di Suria FM. Kini, kereta yang dipandu oleh Ben berhenti di lampu isyarat merah.

"Gelap betul ya, tinted kereta ini", kata Eddie memulakan perbualan setelah masing-masing lama berdiam diri. "Nak projek dengan awek ke apa memang senang ini", katanya lagi sambil tertawa.

Ben hanya tersenyum sinis. "Bukan setakat projek awek sahaja bang, nak bunuh orang dalam kereta ini pun boleh", balas Ben sambil tertawa. Eddie terdiam seketika mendengar kata-kata daripada lelaki itu.

"Bang, nak tahu satu benda tak?", soal Ben. Eddie berpaling melihat wajah lelaki itu. 

"Sebenarnya, watak Zika yang abang cerita di novel abang itu adalah kakak ipar saya. Macam abang cerita dalam novel abang itu, betul. Dia dah berkahwin lama dengan suaminya tapi masih belum dikurniakan anak. Entah kenapa, tiba-tiba satu hari itu dia minta abang saya supaya ceraikan dirinya. Katanya, dia tak bahagia lagi dengan suaminya itu. Tapi, rupa-rupanya...", Ben berdiam diri sahaja selepas itu.

Eddie yang mendengar cerita tentang Zika, iaitu salah seorang skandal sulitnya mula berasa bimbang. Di dalam kereta ini adalah adik ipar kepada Zika. "Tak sangka, dia boleh berkenalan dengan kau di pejabat tempat korang bekerja. Siap bangga pula itu ya, masuk dalam novel", kata Ben sambil tertawa sinis. 

"Anyway, macam saya cakap tadi. Cermin ini memang gelap gila. Orang luar tak akan nampak apa yang berlaku di dalam...", tangan Ben pantas mengeluarkan sepucuk pistol yang dipasang silencer. Pistol itu diacu tepat ke kepala Eddie. Buntang mata Eddie kerana terlalu terkejut. Tubuhnya bagaikan terkunci tidak sempat berbuat apa-apa.

Bam! Bam! Bam!

Tiga das tembakan dilepaskan dalam jarak dekat tepat ke kepala Eddie. Darah membuak membasahi cermin kereta ini. Eddie mati dengan matanya terbeliak kerana terkejut. 

Lampu isyarat merah bertukar kepada warna hijau. Ben menekan pedal kanan lalu bergerak ke sebuah lokasi lain bersama jasad yang sudah tidak lagi bernyawa. Sebelah tangannya membuka telefon pintar miliknya lalu membuka mesej daripada Marco yang belum dibalas lagi. 

"Kerja aku pun dah selesai. Aku dalam perjalanan sekarang ini", kata Ben menggunakan voice note sahaja. Voice note yang dihantar itu menunjukkan tanda biru, menandakan Marco sudah mendengar suara pesanan itu. 

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status