Share

Bab 4

11.00am

Irfan ralit menyiapkan kerja-kerja yang berlambak di atas meja. Tugasnya di pejabat agama Jelebu ini tampak mudah namun jika tidak cukup ilmu di dada, akan menjadi serba tidak kena. Irfan terlibat dalam hal ehwal undang-undang kekeluargaan Islam, yakni perkahwinan, penceraian, nafkah dan penjagaan anak. 

Tuk! Tuk! Tuk!

"Masuk", Irfan bersuara kepada si pengetuk pintu. Pintu berkenaan kemudian dibuka daripada luar. Kelihatan seorang wanita bersama pasangan lelaki dan perempuan yang sedikit berusia masuk ke dalam bilik pejabat ini. Wanita muda itu membawa sehelai kertas lalu ditunjukkan kepada Irfan.

"Pakcik dan makcik, jemput duduk ya", kata wanita itu dengan tag nama Maria di bahagian tudung sebelah kanan. Irfan hanya membaca borang berkenaan. Borang itu adalah borang yang perlu diisi oleh setiap pasangan jika mempunyai masalah rumah tangga. 

Irfan mengeluh sendirian. Dia bukan tidak kenal pasangan suami isteri ini. Masuk kali ini, sudah tiga kali mereka berdua berjumpa dengan dirinya bagi berbincang tentang masalah perkahwinan mereka. Irfan melihat rakan sekerjanya lalu tersenyum sebelum mengucapkan terima kasih. Maria membalas senyuman berkenaan lalu beredar meninggalkan bilik pejabat ini.

Sebaik sahaja Maria beredar, lelaki tua itu bersuara kepada Irfan. "Encik Irfan, saya sebenarnya malu untuk berjumpa dengan encik Irfan. Saya rasa, ini dah kali ketiga kita adakan pertemuan enam mata begini. Tapi, jujur saya cakap. Saya dah tak tahan hidup dengan isteri saya ini. Mulutnya terlalu biadap. Perasaan cemburu butanya sukar dikawal sampaikan dia mula naik tangan ke muka saya sedangkan tubuhnya tak pernah saya jentik waima sekali pun", kata lelaki tua itu kepada Irfan. Jelas pada nada suaranya, lelaki tua itu sudah lama memendam rasa.

Lelaki tua itu berpalingkan mukanya ke bahagian kiri. Terdapat kesan merah lima jari di bahagian kiri pipi tua lelaki itu. Kesannya terlalu ketara. Irfan menghela nafas sedalam-dalamnya. 

"Ini kesan tamparan yang saya dapat semalam. Waktu itu, saya berada di kedai makan bersama jemaah surau yang lain. Kami baru sahaja selesai menunaikan solat Asar secara berjemaah. Selepas itu, kami singgah ke kedai makan yang diusahakan oleh seorang ibu tunggal ini. Kami semua sekadar lepak minum sahaja. Tiba-tiba, Salman datang dan serang saya di hadapan jemaah lain. Jatuh air muka saya Encik Irfan. Saya dah tak boleh dah nak hidup begini dengan dia", jelas lelaki tua itu lagi. 

Irfan memandang pula ke arah wajah si isteri yang bernama Salmah itu. Raut wajahnya agak sugul memandang meja. Si suami pula langsung tidak memandang ke arah isterinya. Lelaki tua itu menyambung lagi, "Perangai cemburu buta dia itu memang menyusahkan saya. Lagi satu, mulut dia terlalu puaka. Setiap hari, saya selalu terima aduan daripada orang-orang taman tentang perangai isteri saya ini. Suka mengata, menghina orang-orang taman. Apabila saya nasihat, dia tak mahu dengar".

Irfan masih lagi berdiam diri. Tidak tahu ingin masuk ke mana memandangkan lelaki tua itu masih terus bercerita tentang perangai buruk isterinya. Namun begitu, dalam pertemuan kali ketiga ini jelas menampakkan yang lelaki tua itu sudah tidak tahan lagi. Dua pertemuan sebelum ini, lelaki tua itu tidak terlalu emosi seperti hari ini.

"Kalau saya ada hati dengan janda itu, dah lama saya lamar dia. Tapi saya tak buat pun kerana saya masih sayangkan isteri saya..", lelaki tua itu terus berkata lagi.

"Pakcik Khidir...", Irfan akhirnya bersuara. Khidir berdiam diri seketika. Irfan meletakkan kedua-dua tangannya yang disilangkan ke atas meja sambil melihat wajah pasangan suami isteri itu. 

"Pakcik tak sayang ke rumah tangga yang pakcik bina selama 35 tahun ini? Setelah bersusah senang selama tiga dekad, banyak kenangan pahit manis kalian berdua bersama-sama. Pakcik tak ingat ke semua itu?", soal Irfan. 

Khidir hanya berdiam diri. Ya! Dia sebenarnya masih sayangkan rumah tangga yang dibina ini. Namun begitu, perangai buruk Salmah seperti tidak ada penawar. Sepanjang perkahwinan mereka sehingga dikurniakan tiga orang anak yang sudah dewasa, sudah tentu ada kenangan manis bersama. Dia akui perkara itu.

"Pakcik fikirkan semula, apa pandangan anak-anak pakcik, cucu pakcik nanti bila dapat tahu tentang perkara ini. Apa yang saya boleh katakan, pakcik banyakkan bersabar. Berdoa banyak-banyak kepada Allah. Nescaya, setiap kesabaran pasti akan ada manis di hujungnya", kata Irfan sambil matanya tepat memandang ke wajah Khidir.

"Cemburu ini sebenarnya bagus makcik. Itu tanda kita sayang dengan pasangan kita. Tapi, jangan terlalu ketara nanti pasangan kita rimas. Apa yang saya boleh kata, makcik pun kena berikan kerjasama. Berubah, tinggalkan perangai buruk kita", kata Irfan kepada Salmah. Dialog yang sama pernah diucapkan pada dua pertemuan sebelum ini.

Tiba-tiba, Khidir bersuara; "Saya datang sini sebenarnya bukan nak minta kaunseling seperti biasa, tetapi saya nak kamu jadi saksi".

Irfan tergamam seketika. Tak mungkin! Dia tidak mahu menjadi saksi akan perkara ini. "Pakcik, pakcik fikir masak-masak tentang perkara ini. Perkara ini walaupun sah dalam Islam, tetapi Allah s.w.t sangat benci akan penceraian", kata Irfan.

"Saya dah tak tahan lagi Irfan. Berapa lama lagi saya nak bersabar dengan dia ini. Lebih baik saya lakukan sekarang sebelum menyesal di kemudian hari. Orang putih kata apa, better late then never", kata Khidir. Kerusinya diperbetulkan. Wajahnya tepat memandang ke arah isterinya yang dinikahi selama 3 dekad ini. Jika sebelum ini, Salmah umpama singa lapar yang gemar bergaduh dan bermusuh dengan sesiapa sahaja, tetapi tidak untuk hari ini. Wanita itu hanya diam menikus sahaja.

"Wahai, Salmah binti Minhat. Bersaksikan Irfan, aku ceraikan kau dengan talak...", Khidir mengangkat jari telunjuknya ke arah Salmah. Irfan terbeliak biji matanya.

"Pakcik. Fikir masak-masak sebelum...", belum sempat Irfan bersuara, Khidir telah melafazkan kalimat yang paling dibenci oleh Allah s.w.t.

"Aku ceraikan kau dengan talak tiga!", kata Khidir dengan sekali nafas. Salmah berpaling kerana terkejut. Suaminya tampak sudah nekad. Lafaz itu sah di hadapan Irfan, maka berakhirlah hubungan sah yang diikat selama 35 tahun ini. Salmah menangis hiba.

Irfan termangu menyaksikan perkara itu. Hari ini, tiang Arasy bergegar kerana bercerai sepasang suami isteri di pejabat agama Jelebu. Irfan hanya melihat Khidir keluar daripada bilik meninggalkan Salmah yang bangun mengejar bekas suaminya. 

****

11.30pm

Irfan duduk di atas katil dengan kakinya dilunjurkan lurus. Tangannya leka memegang telefon pintar, melihat akaun media sosial F******k miliknya. Berita tentang bola sepak, hal-hal isu semasa, semuanya dibaca di situ. Pada zaman yang serba canggih ini, tidak perlu membeli surat khabar untuk mengetahui perkembangan terkini.

S

ementara itu, isterinya yang mesra disapa Tati sedang duduk di hadapan almari solek. Tangannya ralit menyapu losyen ke atas tubuhnya terutama di bahagian tengkuk, lengan dan kaki. Tubuhnya. memakai baju tidur satin berwarna merah jambu bertali di pinggang. Rambutnya yang berwarna perang coklat itu dilepaskan daripada ikatan berbentuk ekor kuda lalu disisir rapi.

Irfan yang masih ralit dengan telefon pintar miliknya terkejut apabila Izzati merangkak ke atas katil lalu berbaring di sebelahnya dengan senyuman manis. "Sibuknya sayang. Tengok apa itu hah?", soal Izzati dengan senyuman manis sambil wajahnya rapat ke kepala Irfan.

Irfan tersenyum sahaja. "Abang baca artikel bola sepak nukilan Ameen Typewriter. Dia cerita tentang skuad emas Internazionale era Jose Mourinho. Bagus tulisan dia", kata Irfan sambil membuka gambar setiap pemain yang dimuat naik oleh admin halaman rasmi Football Timezone Malaysia itu. 

"Cuba sayang tengok dia ini. Namanya Javier Zanetti. Kalau sayang tengok muka dia waktu muda dan tua, tak ada beza pun. Tetap kekal begitu sahaja", kata Irfan sambil menunjukkan wajah bekas pemain Argentina itu yang kini menjadi vice president untuk kelab Milan serba biru hitam itu.

Izzati tersenyum melihat gambar maskulin lelaki berbangsa Latin itu. Tiba-tiba, timbul idea untuk membuat ayat yang dipanggil sebagai pickup line kepada suaminya. "Abang nak tahu tak, apa beza abang dengan Zanetti itu?", soalnya. Irfan tersenyum sambil menggeleng. Sekali sekala mahu juga dia dengar ayat itu daripada isterinya.

"Abang dengan Zanetti sama-sama kacak. Zanetti berjaya tawan pandangan mata Tati. Tapi abang, berjaya tawan mata, dan hati Tati", bisik Izzati dengan nada manja. 

Irfan tersenyum sahaja. Telefon pintar itu terus diletakkan ke tepi katil. Izzati tersengih sambil menjelirkan lidahnya. Tahu apa yang akan berlaku sebentar nanti dan dia bersedia untuk perkara itu.

****

2.00am

Malam itu, sekali lagi Irfan terjaga daripada tidurnya. Mimpi yang sama berulang lagi untuk kesekian kalinya. Mimpi yang memaparkan kisah silamnya yang sukar untuk dilupakan. Berbeza dengan semalam, hanya dirinya sahaja yang terjaga. Irfan duduk termenung di atas katil.

Pelukan Izzati dilepaskan lalu diselimutkan semula wanita itu. Langkah kakinya diatur ke bilik air bagi membersihkan diri. Irfan dapat merasakan lebih baik dia melakukan sesuatu agar mimpi buruk itu tidak lagi menghantui tidurnya.

Selepas 15 minit, Irfan kembali ke dalam bilik tidur dengan tuala yang sudah dililit menutupi bahagian pinggangnya. Dia mula memakai pakaian baju Melayu berwarna hijau serta kain pelekat. Sejadah yang dihamparkan ke atas lantai itu dijadikan tempat untuknya berdiri. Niat solat sunat Tahajjud dibaca perlahan sebelum takbir diangkat.

20 minit kemudian, Irfan duduk di atas sejadah sambil menadah tangan. Malam itu, linangan air matanya jatuh menuruni pipinya. Segala isi hatinya dilepaskan di dalam doa itu agar dia dapat melupakan kejadian lama tersebut. Selepas selesai berdoa panjang, Irfan tersentak kerana bahunya ditepuk perlahan daripada belakang.

Irfan berpaling ke arah Izzati yang sudah terjaga daripada tidurnya. Tubuh bogel wanita itu sudah disarung semula dengan baju tidurnya tadi. Wajahnya tersenyum sambil menyeka air mata di pipi suaminya. "Abang mimpi lagi perkara itu. Abang tak tahu, tapi firasat abang kuat mengatakan yang perkara itu akan berulang kembali", kata Irfan dengan nada sayu.

"Abang tak dapat lupakan perkara itu? Walaupun perkara itu dah lama berlalu?", soal Tati sambil tangannya menyapu wajah Irfan. Irfan mengangguk sambil memegang tangan isterinya yang ralit menyapu wajahnya.

"Abang ada perasaan dendam. Perasaan itu sangat bahaya sayang. Itu sebab abang sukar untuk melupakan perkara tersebut", kata Izzati dengan nada lembut. 

Irfan hanya berdiam diri. Apa yang dikatakan oleh isterinya adalah benar. Satu ketika, dia memasang dendam yang mendalam terhadap darah dagingnya sendiri. Dendam terhadap insan yang melahirkan dirinya, melihat dunia serba indah. Jika tidak, pasti dia tidak mengenali siapa itu Nur Izzati Munirah, isterinya yang baru dinikahi sebulan yang lalu.

"Tati", seru Irfan dengan nada lembut.

"Ya bang".

"Janji dengan abang, yang Tati tak akan tinggalkan abang", kata Irfan. Izzati terkejut. Ternyata kesan daripada mimpi buruk itu menyebabkan lelaki tercintanya berkata demikian.

"Sayang, abang kena tahu setiap hubungan pasti akan ada perpisahan. Tati dapat berjanji akan sentiasa bersama dengan abang selagi diri ini masih bernafas", balas Tati sambil mengucup pipi lelaki itu. Tindakan itu dibuat bagi menghilangkan rasa gundah gelana pada lelaki itu.

"Abang juga berjanji, akan selalu ada di sisi sayang walau apa terjadi sekalipun. Biarlah kita dipisahkan dengan kematian, bukan dengan...", Izzati menutup mulut lelaki itu dengan kucupan hangat di bibir suaminya. Kucupan itu kemudiannya dilepaskan.

"Abang jangan fikir yang bukan-bukan. In Sha Allah, kita jaga hubungan ini biar berkekalan selamanya. Dalam masa yang sama, kita berdoa kepada Tuhan agar dijauhkan daripada perkara-perkara negatif yang boleh menjejaskan hubungan kita", kata Izzati. 

Izzati menarik tangan suaminya naik ke atas katil semula. Walaupun jam sudah hampir 3 pagi, itu tak bermakna mereka tidak boleh bersama semula. Sejadah yang digunakan untuk solat itu tidak dilipat. Tiba-tiba, sehelai kain pelekat mendarat tepat ke atas sejadah itu disusuli dengan baju Melayu berwarna hijau.

Comments (1)
goodnovel comment avatar
RED SCARLET
ciaciacia.... hihihii
VIEW ALL COMMENTS

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status