Share

Bab 5

8.00am

Izzati tersedar daripada tidur. Tubuhnya terasa berat namun wajahnya tersenyum melihat suaminya yang masih terlena tertiarap di atas tubuhnya. Oleh sebab keletihan, mereka terlena begitu sahaja sehingga terlepas solat fardhu Subuh.

"Abang. Bangun, dah pagi", bisik Izzati sambil tersenyum. Tangannya mengusap belakang kepala Irfan. Tidak lama kemudian, lelaki itu memberikan tindak balas. Tubuhnya perlahan-lahan bangkit lalu duduk di atas katil. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain sebelum masing-masing ketawa.

"Teruk betul abang ini, dengan sejadah tak lipat, terus terkam sayang.  Tengok, tak pasal-pasal kita terlepas Subuh", kata Izzati dengan nada merengek. Irfan hanya tertawa sahaja.

"Dah sayang romantik sangat malam tadi. Abang tak boleh, mesti turn on sahaja", balas Irfan sambil menepuk kaki isterinya.

"Sudah lah itu, jom bangun. Hari ini kan kita cuti. Apa kata kita tengok wayang nak? Tak silap abang, hari ini dah bermula tayangan One Piece; Stampede", kata Irfan yang sudah bangkit daripada katil. Tangannya ralit mengutip baju dan kain pelekatnya lalu disarung pada tubuhnya. Sejadah juga dilipat lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan.

Izzati duduk di atas katil sambil mengikat rambutnya. "Tati ikut sahaja mana-mana. Lagipun, kita dah lama tak keluar bersama kan", balas Izzati lagi.

"Baiklah. Dah, jom mandi. Kemudian, tolong abang masak. Hari ini, abang rasa nak beraksi di dapur pula", kata Irfan sambil mengusik hidungnya dengan ibu jari. Izzati mencebik sambil tertawa. Menyampah dengan tindakan lelaki itu. Ianya adalah simbolik berada dalam keyakinan yang tinggi, atau erti kata lain; mood poyo.

"Poyo betul mamat ini. Pandai ke awak itu masak sayang oi?", kata Izzati dengan senyuman mengejek. Sepanjang mereka berkahwin buat masa ini, belum pernah lagi suaminya itu turun ke dapur untuk memasak.

Irfan mula mendabik dada. "Cakap baik sikit, jangan pandang rendah kepada kami kaum lelaki ini. Walaupun beras kami beli, tak bermakna kami hanya tahu masak nasi sahaja tau. Segala jenis lauk semua kita tahu. Dah, abang nak mandi. Kejap lagi nak bertungkus lumus di dapur. Awak jangan datang dapur pula. Abang tak suka diganggu bila abang sedang fokus", kata Irfan sambil kakinya berlalu meninggalkan isterinya.

Berkerut dahi wanita itu sewaktu mendengar ucapan daripada Irfan. Keyakinan lelaki itu terlalu tinggi sehingga Irfan kelihatan sungguh poyo. 'Baik, kalau tak sedap siap lah', getus Izzati di dalam hati.

****

Izzati duduk di atas sofa sambil matanya fokus kepada rancangan di kaca televisyen. Oleh sebab dia tidak memasak, maka wanita itu hanya mengemas ruang tamu rumah sahaja termasuk bilik tidur mereka. Selepas selesai, wanita itu duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen yang sedang menayangkan siri animasi Omar&Hana.

Oleh sebab tiada rancangan menarik, saluran Astro Ceria yang disediakan khas untuk kanak-kanak itu dijadikan sebagai tontonan. Sebenarnya, Izzati ingin menolong suaminya di dapur walaupun dihalang oleh Irfan di dalam bilik tidur sebelum ini. Baginya, dapat tolong potong memotong bahan memasak pun sudah berbaloi.

Namun begitu, Irfan berkeras tidak mahu wanita itu menolongnya di dapur waima potong memotong sekalipun. Boleh dikatakan, jangan jejakkan kaki langsung ke dapur buat masa ini.

"Duduk depan lah Tati. Jangan kacau abang. Nanti abang rasa malas nak buat bila awak ada. Pergi tengok TV di sana. Abang nak buat kejutan pagi ini, kalau awak ada tak jadilah kejutan".

Kesudahannya, Izzati duduk di ruang tamu sahaja. Memang terasa janggal tetapi sesekali merasa air tangan suami tercinta, tidak salah pun.

Tung! Tung! Tung! Tung!

"Makanan dah siap!"

Izzati terkejut kerana mendengar bunyi ketukan yang datang daripada dapur itu. Dia mendengus sambil tersenyum. Kepalanya juga menggeleng kerana terhibur dengan karenah suaminya. 'Ada ke patut panggil orang makan dengan ketuk belakang kuali sahaja? Dah macam panggil budak asrama pula', getus Izzati sendirian di dalam hati.

Apabila sampai di dapur, Izzati tertawa melihat penampilan Irfan. Kain bandana berwarna hitam diikat kemas menutupi seluruh rambutnya di kepala, apron berwarna putih dipakai menutupi bahagian hadapan tubuhnya. Lelaki itu tersenyum sambil tangannya menarik kerusi meja makan di situ.

"Sila duduk, wahai ratu hatiku", kata Irfan dengan nada suara yang sengaja dibuat supaya kelihatan macho. Izzati tertawa lagi namun dia hanya melayan sahaja. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi sebelum kerusi berkenaan ditolak masuk perlahan-lahan oleh Irfan.

"Terima kasih kekandaku", jawab Izzati dengan senyuman di wajahnya. Pandangan wanita itu ditujukan pula ke arah meja makan tersebut. Hatinya berasa kagum dengan menu yang disediakan oleh lelaki itu. Juadah mi kari berserta lauk pauk lain sudah siap terhidang di atas meja.

"Mari duduk bang, makan. Abang mesti lapar", kata Izzati menjemput suaminya duduk di sebelahnya. Irfan hanya berdiri tegak sambil kedua-dua tangannya menutupi bahagian pusatnya.

"Oh, kalau seorang isteri sedang bersarapan pagi, kanda mesti menjadi hakim", balas Irfan dengan raut wajah serius. Maka meletus ketawa yang agak kuat daripada isterinya. Dialog daripada filem Tiga Abdul diucapkan oleh Irfan dengan gaya yang sama dilakonkan oleh arwah Ahmad Nisfu.

"Wow, ini undang-undang yang sangat bagus. Undang-undang ini dinamakan sebagai economic", balas Izzati sambil ketawa lagi. Irfan yang berwajah serius itu tertawa juga.

"Sayang rasa dahulu, kuah dan mi itu. Selagi abang tak dengar komen sayang, abang tak nak duduk makan", kata Irfan yang sudah berdiri di sebelah Izzati. Beliau mula menyenduk mi kuning ke dalam pinggan isterinya. Kuah kari yang masih berasap itu juga dicedok ke dalam pinggan Izzati.

Izzati tersenyum mesra menerima layanan istimewa daripada suaminya. Selepas itu, Irfan kembali berdiri tegak berhadapan dengan isterinya.

Dengan lafaz Bismillah, wanita itu kemudiannya menghirup kuah kari yang masih berasap itu. Mi kuning itu juga dimakan bersama kuah tersebut. Izzati tersenyum senang sambil memandang suaminya. Dalam masa yang sama, terkejut dan kagum kerana mi kari hasil air tangan daripada Irfan ini sangat enak.

"Sedapnya bang. Pandai abang masak", kata Izzati dengan nada manja. Mendengarkan perkara itu, Irfan tersenyum lebar. Lantas dia duduk di kerusi lalu mengambil pinggan untuk dirinya pula.

"Hmm, sedapnya bang. Mana abang belajar masak ini?", kata Izzati dengan riak wajah kagum. Telahannya sebelum ini menyangka yang lelaki itu ingin memasak nasi goreng sahaja. Rupa-rupanya, mi kari.

Irfan hanya berdiam diri sambil mengunyah mi kari di dalam mulutnya. Selepas tiada lagi isi di dalam mulut, barulah Irfan bersuara; "Abang belajar dengan Mak Su waktu remaja dahulu. Bila cuti sekolah sahaja, abang akan cuba belajar memasak dengan dia. Saja suka-suka", kata Irfan.

"Terima kasih ya bang sediakan menu sarapan pagi untuk kita. Lepas ini, boleh lah Tati nak rasa masakan abang yang lain", kata Izzati dengan nada ceria.

"Boleh sayang", balas Irfan dengan senyuman.

Mereka berdua menikmati juadah berkenaan dengan ceria. Sesekali Izzati tertawa apabila suaminya menceritakan pengalamannya belajar memasak bersama ibu saudaranya dahulu.

****

Palm Mall, Seremban

Pasangan suami isteri, Irfan dan Izzati berjalan beriringan untuk beratur di kaunter pembelian bertih jagung. Mereka sudah membuat pembelian secara dalam talian. Filem yang akan ditonton adalah One Piece: Stampede, yang sudah ditayangkan bermula sejak dua hari lalu.

Ini adalah kali kedua Izzati keluar bersama Irfan bagi menonton filem daripada siri anime Jepun popular, One Piece. Sebelum ini, mereka berdua pernah menonton One Piece: Gold, juga di tempat yang sama cuma ketika itu mereka belum berkahwin.

"Tak sabarnya sayang. Sekejap lagi dah nak mula. Apa agaknya harta yang mereka semua cari itu kan? Katanya harta penting daripada bekas Raja Lanun, Gol D Roger. Dah lah banyak watak ada dalam filem ini. Sabo, Boa... Eii, tak sabarnya", kata Irfan setelah selesai membeli bertih jagung dan air.

Izzati hanya menggeleng sahaja sambil tersenyum. Faham benar dengan sikap suaminya yang satu ini, iaitu peminat tegar siri anime Jepun itu. Dia meminta bungkusan bertih jagung tersebut kerana Irfan kelihatan sukar untuk membawa tiga bekas termasuk dua air sekaligus.

Irfan menghulurkan bungkusan bertih jagung tersebut kepada Izzati. Dua lagi bekas air berada di tangannya. Mereka berdua berdiri di ruangan kosong sambil melihat nombor bilik di kaunter masuk ke dalam panggung. Lampu pada angka 6 masih belum menyala.

Tiba-tiba, Irfan terpandang akan sebuah keluarga yang agak ramai sedang berbual sesama sendiri. Mereka kelihatan gembira bersama. Hatinya secara tiba-tiba menjadi geram, berang dengan keluarga berkenaan.

'Apa kau buat di sini?'.

Irfan memandang tajam ke arah wajah seorang lelaki bersama pasangannya yang merangkap isteri kepada lelaki itu. Irfan sangat mengenali wanita itu begitu juga dengan lelaki berkenaan. Lelaki yang telah memecah belahkan kebahagiaan keluarganya satu masa dahulu.

"Bang. Oh bang...", Izzati bersuara sambil menepuk lengan Irfan. Lelaki itu tidak memberi maklum balas. Kepalanya masih memandang ke arah keluarga itu.

"Sayang".

Irfan terkejut selepas mendengar suara Izzati yang agak kuat sedikit. "Jom masuk, lampu itu dah menyala", kata Izzati sambil menunjukkan lampu nombor 6 sudah menyala seperti yang diperkatakan. Izzati sempat melihat ke arah keluarga itu.

"Okay, jom masuk", kata Irfan dengan senyuman manis. Izzati tahu, senyuman itu adalah senyuman yang dibuat-buat. Mereka berdua berjalan bersama memasuki pintu masuk panggung wayang itu.

Izzati mengeluh berat ketika menaiki tangga escalator itu. Irfan masih berdiam diri, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Melihatkan suaminya diam, Izzati juga hanya berdiam diri sahaja. Tidak mahu merosakkan emosi lelaki itu.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status